Sunday 23 October 2011

JCorp tawar peluang jadi usahawan


BATU PAHAT 20 Okt. - Kumpulan Johor Corporation (JCorp) menerusi syarikatnya Usahawan Bistari Ayamas Sdn. Bhd. (UBASB) menawarkan peluang menjadi usahawan pada Karnival Kerjaya Perniagaan dan Kemahiran (Kepak 2011) di Dewan Jubli Intan di sini bermula hari ini.

Syarikat itu mengadakan program Pembangunan Usahawan Bistari dengan tumpuan diberikan kepada suri rumah tangga, ibu tunggal dan mereka yang berminat untuk menambah pendapatan di kampung, rumah pangsa, tanah rancangan seperti Felda dan kawasan bandar.

Eksekutif Jualan dan Pemasaran UBASB, Aishah Lin Abdullah berkata, pemohon yang dipilih menyertai program itu akan menjadi usahawan jualan keluaran Ayamas termasuk produk pek jimat yang tidak dipasarkan di tempat lain termasuk pasar raya atau kedai.

Menerusi program itu, usahawan akan dibekalkan dengan sebuah peti sejuk beku dan sebuah rak pameran malah produk akan dihantar terus ke rumah peserta oleh pengedar produk Ayamas sekali gus dapat membantu mengatasi masalah pengangkutan bagi golongan kurang berkemampuan.

Katanya, sehingga kini 80 peratus peserta program usahawan itu terdiri daripada individu dengan pendapatan isi rumah di bawah RM2,500 yang berdaftar dengan portal e-kasih dan selebihnya ialah usahawan yang mengeluarkan modal sendiri.

"Bagi yang berpendapatan rendah, mereka tidak perlu mengeluarkan modal kerana ia dibiayai geran Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Tenaga Kerja dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

"Mereka yang bukan berpendapatan rendah juga boleh menyertai program ini tetapi perlu menyediakan modal sebanyak RM3,000," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia sempena Kepak di sini.

Karnival anjuran kerajaan negeri selama empat hari bermula hari ini yang berlangsung di Dewan Jubli Intan itu menawarkan pelbagai peluang pekerjaan, perniagaan dan latihan kemahiran kepada orang ramai termasuk orang kelainan upaya (OKU), ibu tunggal dan golongan miskin.

Aishah Lin berkata, UBASB akan memantau perkembangan usahawan tersebut dari pelbagai aspek termasuk kebersihan, kemesraan terhadap pelanggan, kreativiti pemasaran, pengurusan stok dan pengurusan kewangan.

Orang ramai yang berminat menyertai program usahawan itu boleh mengunjungi gerai UBASB pada Kepak atau menghubungi Eksekutif Pembangunan UBASB, Elly Noisna Abu di talian 017-7882726.

Sementara itu, seorang usahawan, Fatimah Abdul Kadir, 42, berkata, program usahawan yang disertainya sejak 2009 banyak membantu meningkatkan pendapatan keluarganya.
Utusan Malaysia adalah media rasmi Kepak 2011.

2 comments:

  1. Available lg ke program neh?

    ReplyDelete
  2. First time reading this blog, thanks for sharing.

    ReplyDelete