Showing posts with label usahanita. Show all posts
Showing posts with label usahanita. Show all posts

Sunday, 23 October 2011

JCorp tawar peluang jadi usahawan


BATU PAHAT 20 Okt. - Kumpulan Johor Corporation (JCorp) menerusi syarikatnya Usahawan Bistari Ayamas Sdn. Bhd. (UBASB) menawarkan peluang menjadi usahawan pada Karnival Kerjaya Perniagaan dan Kemahiran (Kepak 2011) di Dewan Jubli Intan di sini bermula hari ini.

Syarikat itu mengadakan program Pembangunan Usahawan Bistari dengan tumpuan diberikan kepada suri rumah tangga, ibu tunggal dan mereka yang berminat untuk menambah pendapatan di kampung, rumah pangsa, tanah rancangan seperti Felda dan kawasan bandar.

Eksekutif Jualan dan Pemasaran UBASB, Aishah Lin Abdullah berkata, pemohon yang dipilih menyertai program itu akan menjadi usahawan jualan keluaran Ayamas termasuk produk pek jimat yang tidak dipasarkan di tempat lain termasuk pasar raya atau kedai.

Menerusi program itu, usahawan akan dibekalkan dengan sebuah peti sejuk beku dan sebuah rak pameran malah produk akan dihantar terus ke rumah peserta oleh pengedar produk Ayamas sekali gus dapat membantu mengatasi masalah pengangkutan bagi golongan kurang berkemampuan.

Katanya, sehingga kini 80 peratus peserta program usahawan itu terdiri daripada individu dengan pendapatan isi rumah di bawah RM2,500 yang berdaftar dengan portal e-kasih dan selebihnya ialah usahawan yang mengeluarkan modal sendiri.

"Bagi yang berpendapatan rendah, mereka tidak perlu mengeluarkan modal kerana ia dibiayai geran Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Tenaga Kerja dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

"Mereka yang bukan berpendapatan rendah juga boleh menyertai program ini tetapi perlu menyediakan modal sebanyak RM3,000," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia sempena Kepak di sini.

Karnival anjuran kerajaan negeri selama empat hari bermula hari ini yang berlangsung di Dewan Jubli Intan itu menawarkan pelbagai peluang pekerjaan, perniagaan dan latihan kemahiran kepada orang ramai termasuk orang kelainan upaya (OKU), ibu tunggal dan golongan miskin.

Aishah Lin berkata, UBASB akan memantau perkembangan usahawan tersebut dari pelbagai aspek termasuk kebersihan, kemesraan terhadap pelanggan, kreativiti pemasaran, pengurusan stok dan pengurusan kewangan.

Orang ramai yang berminat menyertai program usahawan itu boleh mengunjungi gerai UBASB pada Kepak atau menghubungi Eksekutif Pembangunan UBASB, Elly Noisna Abu di talian 017-7882726.

Sementara itu, seorang usahawan, Fatimah Abdul Kadir, 42, berkata, program usahawan yang disertainya sejak 2009 banyak membantu meningkatkan pendapatan keluarganya.
Utusan Malaysia adalah media rasmi Kepak 2011.

Tuesday, 18 October 2011

Usahawan wanita ke peringkat global


WANITA memang sudah lama dikenali sebagai tulang belakang gerakan keusahawanan di negara ini, sejak sebelum negara mencapai kemerdekaan lagi.

Namun, usahawan wanita dilihat masih sukar mencapai tahap perkembangan yang diharapkan kerana belum melangkah melangkaui perniagaan kecil dan sederhana.

Demi membawa usahawan wanita ke tahap lebih tinggi, Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera (Usahanita) akan mengorak langkah besar menonjolkan kemampuan wanita tempatan ke peringkat global.

Usahanita dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa, Himpunan Pengusaha Pribumi Indonesia (HIPPI) akan menganjurkan Konvensyen Antarabangsa Wanita Dalam Perniagaan Pertama (1WBC) bermula 25 hingga 27 Oktober ini di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Melaka.

Dengan tema 'Transformasi Perniagaan Wanita melalui Inovasi', isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor akan menyampaikan ucaptama dan merasmikan program tersebut yang akan menyediakan sebuah platform dan peluang untuk semua usahawan wanita seluruh dunia bertemu.

Program ini merupakan susulan daripada Memoradum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani di Bandung pada 28 Januari lalu antara Usahanita dan HIPPI dan dapat dilaksanakan dengan kerjasama HIPPI, Kerajaan Negeri Melaka dan juga Pusat Kecemerlangan untuk Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (CESMED).

Di samping memperakui peranan usahawan wanita yang telah banyak menyumbang kepada ekonomi negara dan juga kemakmuran keluarga, 1WBC akan membolehkan mereka berkongsi dan seterusnya menjalinkan kerjasama perniagaan dan jaringan perniagaan global.

Kira-kira 25,000 ahli Usahanita dan lebih 50,000 usahawan wanita seluruh dunia dijangka akan menerima manfaat secara langsung atau tidak langsung daripada aktiviti di pameran dagangan 1WBC, di samping berkongsi pengalaman, ilmu dan idea daripada ucapan panel persidangan dari seluruh dunia.

Antara negara yang akan turut serta memberi ucapan sepanjang konvensyen 1WBC termasuk dari Amerika Syarikat, Jerman, Hong Kong, Australia, Nepal, Indonesia, Brunei, Singapura, Afrika Selatan dan Filipina.

Para peserta 1WBC juga bertuah kerana berpeluang menghadiri sesi syarahan makan tengah hari bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada hari kedua persidangan.

Persidangan ini bukan sahaja akan mengambil kira usahawan tempatan dan antarabangsa malahan koperasi, akademia, pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), belia dan usahawan muda.

Selain majlis menandatangai MoU antara pihak-pihak yang akan bekerjasama, peserta juga berpeluang menyertai klinik perniagaan bersama agensi-agensi kerajaan berkaitan.

Pameran dagangan pula akan membolehkan para usahawan bukan sekadar mendengar, tetapi juga berinteraksi dengan pengusaha global dalam mencari bahan mentah atau yang sudah siap diproses, seterusnya diinovasikan dari secara pembungkusan dan pemasaran.

Presiden Usahanita Malaysia, Faridah A. Jabbar memaklumkan, sasaran penyertaan 1WBC semakin hampir dicapai dengan sekitar 500 peserta persidangan dan 200 pameran dagangan semakin dipenuhi usahawan wanita tempatan.

"Antara sasaran 1WBC adalah menyediakan landasan untuk peniaga dan usahawan bertemu dan berinteraksi, menjalin jaringan strategik di peringkat tempatan dan global serta mempelajari amalan terbaik dari satu sama lain.

"Mereka juga boleh mempamerkan barangan dan perkhidmatan berkenaan wanita di bawah satu bumbung bagi tujuan promosi serta mendorong kepada transaksi dengan usahawan atau pembeli dalam dan luar negara," jelasnya.

Beliau menegaskan, antara saaran paling penting yang mahu dicapai melalui 1WBC adalah untuk memperkasakan usahawan wanita supaya berpandangan jauh dan mempunyai cita-cita untuk meneroka dan menemui pasaran baru di peringkat global.

Tambahnya, inisiatif mengadakan konvensyen itu juga pasti dapat membantu merealisasikan hasrat Bajet 2012 yang ketara banyak akan membantu usahawan dan peningkatan kapasiti keusahawan terutamanya di kalangan wanita, usahawan mikro serta industri kecil dan sederhana (IKS).

"Tema untuk 1WBC diharap dapat melahirkan usahawan yang dapat menambah nilai dengan menceburkan diri atau memperkembangkan perniagaan mereka berlandaskan inovasi.

"Hasrat kerajaan untuk memperkasakan wanita melalui aktiviti keusahawanan juga sudah tentu dapat dicapai hasil 'limpahan' penganjuran program sebegini," ujarnya.

Menurutnya lagi, melalui tabung Amanah Ikhtiar Malaysia dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN), sudah tentu dapat mengurangkan beban akses kepada dana yang menjadi halangan tradisi bagi usahawan wanita memajukan perniagaan mereka.

"Bagaimanapun, kita berharap lebih banyak syarikat milik kerajaan (GLC) dan agensi berkaitan turut serta dan menaja program ini. Mungkin ada antara mereka yang belum nampak keistimewaan konvensyen 1WBC ini," katanya.

Penasihat 1WBC yang juga Setiausaha Majlis Perundingan Melayu (MPM), Dr. Hasan Mad pula berpendapat pihak penganjur persidangan tersebut telah mencapai kejayaan awal apabila dapat menarik penyertaan beberapa tokoh ternama termasuk bekas Tun Dr. Mahathir dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.

"Idea persidangan sebegini bukan berakhir di sini dan akan menjadi agenda dwitahunan negara-negara anggota dengan penganjuran berikutan pada 2013 akan berlangsung di Indonesia.

"Sebelum ini, program seperti 1WBC dianjurkan agensi-agensi kerajaan tetapi kali ini dianjurkan sendiri NGO yang mewakili usahawan wanita.

"Usahawan wanita perlu berbangga dengan kemampuan mereka dalam menjayakan 1WBC kerana ia merupakan satu tapak besar ke arah membawa mereka ke peringkat global.

Oleh itu, beliau berharap warga korporat dan agensi kerajaan berkaitan dapat memberi sokongan penuh terhadap menjayakan dan mencapai sasaran 1WBC agar menjadi platform terbaik untuk membentuk jaringan kerjasama usahawan wanita seluruh dunia.

Maklumat lanjut 1WBC boleh diperolehi dengan menghubungi sekretariat penganjur di talian 03-89416442, melalui e-mel 1wbc2011@gmail.com atau dengan melayari laman web www.usahanita.org.my.