Showing posts with label jutawan. Show all posts
Showing posts with label jutawan. Show all posts

Wednesday, 19 October 2011

Ananda tidak akan disiasat


KUALA LUMPUR 18 Okt. – Kes yang difailkan oleh Biro Siasatan Pusat India (CBI) terhadap taikun Malaysia dan pemilik Maxis, T. Ananda Krishnan tidak memberi impak kepada industri telekomunikasi negara.

Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang Gandum berkata, pihak berkuasa Malaysia tidak akan menjalankan siasatan terhadap jutawan itu.

"Buat masa ini, ia hanya penyiasatan (oleh CBI). Tidak ada siasatan di pihak Malaysia memandangkan kita cukup telus dalam menguruskan industri telekomunikasi,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Forum Komunikasi dan Rangkaian Masa Depan 2011 bagi pihak menterinya, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Terdahulu dalam teks ucapan Rais yang dibacanya, memberitahu menerusi Inisiatif Jalur Lebar Kebangsaan, negara telah mencapai kadar penembusan hampir 61.5 peratus dan menyasarkan peningkatan sehingga 75 peratus pada akhir 2015. – BERNAMA.

Izyan buka galeri tropika mewah

Izyan mendapat kepercayaan pelanggan bagi menyiapkan
hiasan dalaman berkonsep rumah tropika.

KEDIAMAN yang berkonsep menjadi pilihan bagi golongan yang tidak berkira dalam berbelanja untuk menghias rumah.

Suatu ketika konsep Bali menjadi kegilaan, sebelum beralih kepada gaya zen, oriental, moden, kontemporari dan sebagainya.

Terkini konsep tropika yang menyamai gaya resort mampu memberikan ketenangan dan kedamaian kepada penghuninya sebaik melangkah masuk.

Daripada ruang dalam rumah termasuk ruang tamu, bilik tidur, ruang makan, dapur sehingga ke laman akan dihiasi dan ditanami dengan pokok-pokok menghijau dan bunga-bunga jenis tropika seperti bermacam jenis haleconia.

Bagi sesebuah rumah yang berkonsep tropika perlu ada lima deria, iaitu memandang, mendengar, bau, menyentuh dan rasa.

Demikian kata Pengarah Urusan yang juga pemilik Tropical Lifestyles Home & Living Gallery, Izyan Salleh,semasa ditemui di galerinya ini yang terletak di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Galeri ini yang boleh dikunjungi melalui temujanji membekalkan keseluruhan perabot dan perhiasan rumah gaya tropika daripada ruang dalaman hingga luaran bagi sesebuah rumah yang berkonsep sedemikian.

''Galeri ini bukan sahaja menjual barangan perhiasan atau perabot untuk rumah konsep tropika malah pelanggan boleh berbincang jika mereka berkeinginan untuk membuat sebuah rumah sedemikian.

''Kami menyediakan perunding, arkitek dan pereka hiasan dalaman sendiri di mana pelanggan boleh bertanya atau berbincang tentang konsep yang dikehendaki.

"Sebab itu kami hanya menerima tiga kumpulan pelanggan dalam sehari, iaitu pagi, petang dan malam kerana perbincangan ini biasanya mengambil masa berjam-jam dan kami mahu pelanggan selesa tanpa gangguan orang lain.

''Pelanggan yang datang akan berasa seperti di rumah tropika kerana terdapat bermacam-macam barangan khusus untuk konsep tersebu di galeri ini.

"Selain itu mereka akan dilayan seperti vip dan kami akan menghidangkan teh bersama makanan ringan, makan tengah hari atau makan malam.

''Mereka boleh merasai sendiri produk contoh seperti kerusi yang boleh mereka duduk untuk mengetahui keselesaannya, lampu-lampu yang cantik, perhiasan kayu, pinggan mangkuk berkualiti tinggi dan apa sahaja yang pelanggan inginkan,'' kata Izyan yang turut dibantu oleh bapanya Salleh Samad seorang ahli perniagaan yang telah banyak menimba pengalaman di seluruh dunia.

Tambah gadis penerus legasi perniagaan keluarga ini lagi, golongan yang datang terdiri daripada golongan vip dan jutawan yang tidak selesa membeli barangan rumah di tempat-tempat yang terbuka dan dilihat oleh ramai orang.

Izyan, 27, menambah, biasanya golongan kerabat raja, vip atau jutawan yang datang akan memintanya membuatkan rumah mereka dengan konsep tropika atau resort.

Kos untuk rumah seperti ini katanya, menelan perbelanjaan di antara tiga hingga lima juta ringgit termasuk tanah dan barangan untuk setiap ruang.

Terdapat juga pelanggan yang menjadi kaya-raya pada usia muda dan inginkan sebuah rumah tropika tetapi tidak mengetahui bagaimana hendak menggayakan konsep ini.

Izyan bersama bapanya akan membimbing pelanggan ini daripada cara makan yang betul, penggunaan sudu, garpu dan sebagainya, pemilihan pakaian, kasut dan sebagainya.

''Projek untuk menyiapkan rumah tropika ini dilakukan oleh kumpulan pekerja kami yang mengambil masa di antara satu setengah hingga dua tahun.

''Daripada jenis-jenis batu, kayu, perhiasan, jubin, dan sebagainya diimport dari negara luar supaya disesuaikan dengan sebuah rumah tropika seperti dari Thailand, Vietnam, Bali, China, India, Myanmar dan Itali.

"Namun ada juga sesetengah barangan yang dari Malaysia sendiri. Pendek kata galeri ini boleh diibaratkan sebagai pusat sehenti untuk rumah tropika yang diimpikan.

''Kebiasaannya pemilik rumah akan mengupah arkitek, pereka hiasan dalaman dan kontraktor berbeza untuk menyiapkan rumah mereka namun di sini pemilik tidak perlu risau kerana serahkan segalanya pada kami dan tunggu sahaja rumah mereka siap,'' ujar pemegang Ijazah Perniagaan Antarabangsa daripada Universiti Teknologi Mara (UITM) ini.

Jika berminat dengan cenderahati dan rumah tropikal, boleh berhubung dengan Izyan di 012-2514090.

Terminal kapal angkasa pertama Virgin Atlantic dibuka secara rasmi

Richard Branson (tengah) mengejutkan para hadirin apabila muncul bersama
artis menuruni dinding bangunan menggunakan tali di hangar Spaceport America
di New Mexico, Amerika Syarikat, kelmarin. - AP

LONDON 18 Okt. - Jutawan Britain, Richard Branson hari ini merasmikan pembukaan lapangan terbang kapal angkasa yang pertama di dunia bernilai AS$209 juta (RM627 juta) bagi memberi peluang kepada pelancong untuk terbang ke orbit.

Terminal itu dibina di kawasan gurun di New Mexico dan akan memulakan operasi pada tahun depan.
Terminal tersebut akan menempatkan kapal angkasa Virgin Galactic, pusat kawalan misi dan kawasan menunggu khas apabila penerbangan pertama dijangka berlepas pada akhir 2012.

Semasa upacara pembukaan, jutawan tersebut disertai Gabenor New Mexico, Susana Martinez, angkasawan Buzz Aldrin serta orang ramai bagi menyaksikan ciptaan unik itu.

Syarikat Virgin kini dalam usaha melakukan ujian roket di lapangan terbang itu.
"Lapangan terbang itu sangat hebat dan menjadi antara yang paling unik di dunia.

"Kami berharap mempunyai sumber kuasa yang mencukupi untuk melakukan penerbangan ke angkasa lepas menjelang 2012," kata Branson.

Sementara itu, kira-kira 450 orang telah membeli tiket untuk menyertai penerbangan ke orbit dengan 150 daripada mereka hadir pada upacara pembukaan tersebut.

Sebelum memasuki kawasan hangar, pengunjung disajikan dengan simulator penerbangan kapal angkasa WhiteKnightTwo yang akan menjadi kapal utama untuk membawa penumpang ke orbit.

Tambang bagi penerbangan ke orbit menaiki kapal angkasa WhiteKnightTwo melibatkan kos sebanyak AS$200,000 (RM600,000) bagi perjalanan pergi balik.

Penerbangan ke orbit itu dijangka mengambil masa selama dua jam setengah dan penumpang berpeluang menyaksikan Bumi dari orbit serta berada dalam keadaan terapung-apung, yang sebelum ini hanya dialami oleh angkasawan. - AGENSI

Monday, 17 October 2011

Jutawan Ekspress Mutiara - tiada hasrat lupus harta

KOTA BAHARU 16 Okt. - Seorang jutawan hari ini membuat aku janji di Mahkamah Tinggi Syariah di sini yang beliau sama sekali tidak berhasrat untuk menukar, menjual atau melupuskan harta milik sepencarian bersama arwah isterinya seperti yang dituntut 11 orang anaknya.

Che Ibrahim Che Ismail, 56, yang merupakan pemilik syarikat bas Ekspres Mutiara membuat aku janji itu di hadapan Hakim Abu Bakar Abdullah Kutty setelah mahkamah mahukan kepastian seperti dalam tuntutan anak-anak jutawan itu.

"Saya tidak berhasrat untuk memindah milik harta-harta berkenaan sebaliknya mahu membangunkan lagi di tanah yang ada (bagi tujuan pembangunan)," kata Che Ibrahim.

Ketika ditanya Abu Bakar apakah pembangunan yang mahu dilakukan akan menjadikan nilai hartanah itu terus bertambah, Che Ibrahim berkata: "Ya diyakini nanti akan terus bertambah". Pada prosiding itu anak-anak Che Ibrahim diwakili anak sulung Khalilullah, 31 dan anak keempatnya, Khairul Anam, 26, yang kesemua mereka menuntut satu perintah interim secara exparte bagi menghalang bapa mereka daripada melakukan sebarang transaksi terhadap harta sepencarian milik ibu mereka itu.

Tanpa diwakili peguam syarie, Khairul Anam ketika berhujah berkata kesemua harta berkenaan adalah milik sepencarian bersama arwah ibu mereka iaitu Paizah Mohd. Yusoff yang telah meninggal dunia pada 2008 akibat kemalangan jalan raya, empat tahun sebelum itu.

"Harta-harta ini adalah harta sepencarian bersama arwah ibu kami dan kami juga mempunyai hak ke atas harta-harta berkenaan," katanya.

Abu Bakar, selepas mendengar aku janji Che Ibrahim yang diwakili peguam syarie Mohd. Alawi Mohd. Rosid kemudiannya turut bertanya kepada Khairul Anam apakah mereka berpuas hati dengan aku janji berkenaan dan Khairul Anam berkata mereka bersetuju dan meminta mahkamah merekodkan keterangan itu serta mengambil tindakan jika bapa mereka melanggar akuan itu.

Selain Khalilullah dan Khairul Anam, sembilan lagi anak-anak Che Ibrahim bersama arwah isterinya yang turut dinamakan sebagai plaintif ialah Tamtini, 30; Amalina, 29; Khairul Azhan, 28; Khairul Adnin, 24; Salsabila, 20; Siti Nahwan, 18; Muhammad Atifuddeen, 16; Muhammad Amar, 11, dan Nurul Aufa, 13.

Abu Bakar selepas itu memutuskan agar Che Ibrahim berpegang kepada aku janji berkenaan dan sebarang keputusan lain yang mahu dilakukan, jutawan itu perlu mendapat kebenaran daripada mahkamah itu.

Pada 2 Oktober lepas, kesemua anak jutawan itu memfailkan tuntutan terhadap Che Ibrahim menuntut harta sepencarian dipercayai bernilai jutaan ringgit milik ibu mereka.

Mereka selaku plaintif menuntut harta berkenaan bermula dari tarikh perkahwinan arwah dengan Che Ibrahim pada 22 Februari 1979 sehingga ibu mereka meninggal dunia pada 24 September 2008.

Kes itu bagaimanapun akan didengar di mahkamah yang sama pada 22 November. - BERNAMA

Saturday, 15 October 2011

Menjadi jutawan melalui penternakan burung walet

TAHUKAH anda dunia perladangan sarang burung adalah merupakan satu dunia perniagaan yang memberi pulangan yang cukup lumayan. Untuk menjadi seorang pengusaha burung Walet ianya tidaklah susah dan sukar sekiranya ianya dapat dijalankan dengan teratur dan baik. Tahukan anda bahawa kedai yang tidak diduduki ataupun sedang diduduki mempunyai potensi untuk mendapat lebih pulangan modal yakni dengan memberi ‘sewa’ kepada  penternak burung Walet.

Untuk memulakan perniagaan burung Walet ini, anda perlulah memahami ciri-
ciri burung Walet itu dengan lebih serius. Ciri-ciri penting itu adalah :-
  • Deskripsi-yakni segi fizikal burung Walet ianya mempunyai banyak persamaan dengan burung Layang-Layang (Hirundinidae), burung Pipit (Passeride) dan burung Walet Rumah (Apus Affinis)
  • Jarak geografi dan habitat
  • Diet- memakan serangga yang terbang seperti kumbang, nyamuk, semut, lebah, lalat dan lain-lain.
  • Status populasi burung Walet Gua- gugusan yang paling terbesar di Malaysia adalah di Gua Niah, Serawak
  • Perpindahan burung Walet dari gua ke rumah burung Walet
  • Kitaran hidup / Struktur sosial

Rumah Burung Walet

5 bahagian anda perlu tahu iaitu:-
  • Bahagian 1 – Burung Walet
  • Bahagian 2 – Sarang Burung Walet
  • Bahagian 3 – Ciri-Ciri Perniagaan
  • Bahagian 4 – Rumah Burung Walet
  • Bahagian 5 – Bagaimana Untuk Membina Sebuah Rumah Burung Walet Yang Berjaya
Burung Walet adalah sejenis burung yang mempunyai pelbagai karenah.
Antara keunikan burung ini adalah ianya mampu terbang sejauh 50 kilometer
di dalam masa sehari, mempunyai daya ingatan yang kuat terutama untuk
kembali ke tempat tinggal, bertelur tiga kali dalam setahun, menghasilkan dua
biji telur pada setiap sesi bertelur, burung jantan dan betina akan membantu
di dalam proses pembinaan sarang yang mana lazimnya akan dibuat pada
waktu malam, dan kedua-dua juga mengambil giliran untuk mengeram telur.

Burung Walet sedang membuat sarang

Sarang Burung Walet yang telah dicuci

Bagi memulakan proses pembinaan rumah burung Walet antara perkara yang
perlu diambil kira adalah pastikan kawasan yang dipilih adalah bebas daripada
pencemaran udara, pemangsa semula jadi, mempunyai bekalan makanan
yang tinggi dan tidak akan kehabisan, terletak di kawasan pantai di mana
suhu purata tidak berubah dengan mendadak yakni antara 28 – 30 darjah
Celsius, kelembapan di antara 75 – 85 peratus, kekuatan cahaya di antara 2 –
3 lux dan ketinggian tanah tidak lebih daripada 2,800 meter.

Terdapat juga perbezaan dan persamaan bagi sarang rumah dan sarang gua.
Bagi sarang rumah dan gua ianya mempunyai persamaan di mana terdapat
Karbohidrat, Glycoprotein dan asid Amino. Burung  sarang rumah mudah
dihadam manakala bagi di gua ianya adalah sebaliknya. Sarang di rumah lebih
segar berbanding di gua ianya berlaku pengoksidaan dan kehilangan nutrient.
Untuk di rumah pula ianya adalah lebih bersih dan kurang dicemari manakala
di gua ianya lebih kotor. Harga sarang burung yang dihasilkan dari sarang
rumah adalah lebih murah sedikit berbanding di gua kerana kos risiko
keselamatan semasa pengambilan dibuat. Sarang burung di rumah juga
kurang kandungan sodium dan tidak mengandungi kandungan mineral. Untuk
sarang burung rumah penyediaan  perebusan cara cina mengambil masa
selama 30 minit manakala yang diperolehi daripada gua adalah selama 3 jam.

Penternakan burung Walet ini hendaklah dibuat dengan :-
  • Memohon lesen daripada pihak berkuasa tempatan, di mana perlu.
  • Sebarang perubahan yang dibuat pada bangunan yang hendak dijadikan sarang hendaklan mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa.
  • Pembersihan tahi burung pada lantai premis hendaklah dipatuhi dengan mengikut jadual untuk mengelak wujudnya parasit.
  • Pastikan polusi bunyi-audio kicauan burung hanya boleh dimainkan di antara 7 pagi hingga 7 petang dan  pembesar suara harus diarahkan pada sudut 60 darjah ke arah langit.
  • Kekuatan pembesar suara tidak boleh melebihi 40 desibel.
  • Faktor kebersihan amat penting.
  • Rumah burung Walet hanya boleh dibina pada tanah pertanian, kawasan perkilangan ringan dan bukan kawasan perumahan.
  • Paras rupa bangunan tidak ditukar sepenuhnya untuk mengelak perubahan imej kota dan sebagainya.

Antara kompenan-kompenan penting yang perlu adalah pada rumah burung
Walet adalah mesti ada lubang masuk, kawasan penerbangan dan kawasan
pembinaan sarang. Terdapat 2 jenis lubang masuk iaitu reka bentuk kandang
anjing / menara ataupun reka bentuk bumbung terbuka. Bagi faktor kawasan
penerbangan ianya hendaklah memberi ruang kepada burung Walet bermain.

JK: Saya ada rakan yang buat bisnes ni, so jika ada sesiapa yang berminat boleh maklum pada saya.

Harga Cicak Tokek (Pokke) Cecah Jutaan Ringgit

Cicak Tokek atau Tokay Gecko (orang pantai timur panggil "Pokke") dikatakan boleh mengubati pelbagai penyakit terutamanya bagi penyakit HIV/AIDS. Cicak Tokek yang kebanyakkan boleh didapati di negara-negara Asia seperti Malaysia, Indonesia, Thailand dan sebagainya dikatakan dijual sehingga jutaan ringgit seekor.






JK: Betul ke benda alah ni harganya camtu skali? Siapa pembelinya? Tak salah ke mengikut undang-undang? Berapa ramai dah jadi jutawan hasil jual tokek ni?

Tertuduh pertama ada urusan

SHAH ALAM 13 Okt. – Tertuduh pertama, N. Pathmanabhan didakwa berjanji untuk berbuka puasa bersama seorang rakannya yang juga pesara polis di Subang Jaya dekat sini pada pukul 7 malam, hari Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi dikatakan dibunuh pada Ogos tahun lalu.

Bekas Penolong Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Mohamad Jamil Mohamad Hassan, semasa memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini berkata, bekas peguam itu bagaimanapun memaklumkan tidak dapat hadir pada waktu yang dijanjikan kerana mempunyai urusan untuk diselesaikan.

Menurut saksi pendakwaan ke-60 itu, beliau hanya menemui Pathmanabhan pada pukul 10.20 malam, 30 Ogos 2010 di kaunter pendaftaran masuk Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya sebelum mereka keluar makan dan berbual-bual di sebuah kafe di SS 15.

“Oleh kerana tiada panggilan, saya berasa tidak sedap hati. Kalau dia tidak dapat hadir, saya kena buat perancangan untuk buka puasa di tempat lain.

“Empat atau lima minit selepas pukul 7 malam, saya hubungi Pathmanabhan. Dapat jawapan. Dia beritahu tidak dapat hadir sebab dia dikehendaki menyelesaikan urusan yang belum selesai. Tetapi dia beritahu akan datang jumpa saya pada malam itu. Pukul berapa tidak ditetapkan,” jelas beliau.

Mohamad Jamil berkata demikian semasa disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusof sewaktu sesi pemeriksaan utama dalam perbicaraan kes yang dihadapi oleh Pathmanabhan, 42; bersama tiga pekerja ladangnya.

Bekas peguam itu bersama T. Thilaiyalagan, 20; R. Matan, 21; dan R. Kathavarayan, 31; didakwa membunuh jutawan kosmetik, Sosilawati, 47; pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, 38.

Kejadian didakwa berlaku di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.

Keterangan dua saksi yang merupakan anggota polis sebelum ini mengesahkan kereta BMW dengan nombor pendaftaran AAJ 5 milik Ahmad Kamil ditemui di tempat letak kereta di Jalan SS12/1B, berhadapan Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya pada 6 September tahun lalu.

Sementara kereta BMW X5 hitam dengan nombor pendaftaran WTL 11 yang dinaiki Sosilawati dan Kamaruddin pula ditemui di Flat Angsana, USJ 1, Subang Jaya pada hari yang sama.

Menurut Mohamad Jamil, ketika berada di rumahnya di Subang Jaya, Pathmanabhan menghubungi telefon bimbitnya pada pukul 1.30 petang, 30 Ogos tahun lalu dan mempelawanya berbuka puasa kerana beliau akan berada di kawasan itu pada pukul 7 malam.

Saksi itu yang mengenali Pathmanabhan sejak dua atau tiga tahun lalu turut memberitahu, beliau menghantar semula tertuduh ke Hotel Grand Dorsett sebelum pukul 12 tengah malam dan terus pulang ke rumah.
Beliau berbuat demikian kerana rakannya itu memberitahu dia datang dan akan balik bersama-sama adiknya ke Banting walaupun kelibat lelaki itu langsung tidak dilihat pada malam tersebut.

Berhubung panggilannya kepada Pathmanabhan, saksi memberitahu, beliau memanggil tertuduh ‘Datuk’ selepas rakannya itu memaklumkan dia mendapat gelaran tersebut daripada Sultan Kelantan.

‘‘Dua tiga hari selepas berjumpa pada malam 30 Ogos 2010, saya menerima panggilan daripada Pathmanabhan memberitahu banyak aktiviti siasatan dilakukan oleh pihak media dan polis di Banting membabitkan satu kes bunuh.

‘‘Dia memberitahu media ada menyebut suspek ialah seorang peguam bergelar Datuk. Saya kata kepada Pathmanabhan, awak seorang peguam, awak boleh atasi sendiri masalah ini. Dia beritahu ‘media tidak berlaku adil kepada saya’. Saya kata, tunggu dan lihat apa yang berlaku,’’ katanya.

Terdahulu, Hakim Datuk Akhtar Tahir memutuskan untuk tidak menerima kenyataan K. Sarawanan yang dirakamkan oleh pihak polis di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah pada 26 Oktober 2010 untuk digunakan dalam prosiding mencabar kebolehpercayaan saksi itu.

Beliau memutuskan demikian dengan alasan saksi yang sedang menjalani hukuman penjara 20 tahun bagi kesalahan melupuskan mayat Sosilawati dan tiga lagi mangsa itu tidak diberikan amaran dalam bahasa Tamil sebelum kenyataannya dirakam.

Di samping itu, kata beliau, anggota polis yang bertindak sebagai penterjemah tidak membuat sebarang catatan tentang soalan daripada pegawai perakam yang ditanya semula dalam bahasa Tamil termasuk tiada sebarang catatan menunjukkan lima percanggahan turut diterjemah.

Perbicaraan yang masuk hari ke-41 bersambung pada 1 November ini.

Mr.Bean menghibur seluruh dunia

TIADA siapa kenal Rowan Sebastian Atkinson sepantas mereka mengecam Mr. Bean yang telah diulang tayang berpuluh-puluh kali di televisyen Malaysia.

Malah, malam kelmarin semasa filem Johnny English ditayangkan di televisyen, anak lelaki saya berusia kurang tiga tahun berkata, ‘‘itu Mr. Bean”.

Watak lelaki dungu, kiasu dan sentiasa tidak mahu kalah yang jarang berkata-kata ciptaan Atkinson ini adalah ikon komedi global. Ia juga sudah dikartunkan, menambah kesan ikonik pada golongan kanak-kanak untuk memastikan Mr. Bean kekal di ingatan dua generasi lagi. Mungkin jika ada orang rajin menyelidik, rancangan lawak tanpa dialog Mr. Bean yang diulang-ulang itu boleh menyamai tahap kekerapan ulangan filem-filem P.Ramlee.

Sama seperti lawak P.Ramlee, lawak Mr.Bean tidak jemu-jemu ditonton. Malah, saya secara peribadi menggemari episod Mr. Bean memandu kereta mini dari atas sofa yang diikat pada bumbung. Kemudi sterengnya dikawal menggunakan batang penyapu. Tidak ada logik langsung pemanduan sedemikian dan ia hanya lawak televisyen, itu anda fikir. Tetapi Atkinson telah memberi demonstrasi pemanduan itu di hadapan penonton di litar lumba Goodwood, Britain pada 2009.

Walaupun ramai lebih intim dengan Mr.Bean sebagai watak tanpa dialog dan lebih menekankan pergerakan badan serta paling utama, mimik muka plastiknya, Atkinson juga dikenali dengan dialog monolog yang luar biasa. Satu daripada persembahan lucu beliau boleh ditonton di YouTube mengisahkan Atkinson sebagai ‘penyambut tetamu’ di neraka. (Jangan bimbang, ia tidak menyentuh sensitiviti agama atau menimbulkan syirik).

Watak penyambut tetamu itu sebenarnya setan bernama Toby yang memberitahu ‘tetamu baru’ bahawa mereka dipisahkan mengikut kumpulan. ‘‘Pembunuh sila kumpul di sini. Pencuri ke sebelah kiri saya... awak boleh sertai peguam. Kaki porno... oh ramainya. Penzina sila berkumpul di depan mesin pemancung kecil...”

Kekuatan skrip seumpamanya dibantu oleh dua rakannya, Richard Curtis dan Howard Goodall yang mula dikenalinya semasa menyertai Festival Edinburgh Fringe pada 1976 semasa mengikuti pengajian di Oxford. Atkinson bukan sedungu watak Mr.Bean kerana beliau sebenarnya lulusan Kejuruteraan Elektrik dari Universiti Oxford.

Populariti Atkinson juga tidak terhad kepada watak Mr.Bean tetapi diingati dalam sketsa komedi Not The Nine O‘Clock News dan sitcom Blackadder dan The Thin Blue Line. Oleh kerana hanya Mr.Bean sahaja yang disiarkan di televisyen Malaysia, anda boleh menonton sitcom berkenaan menerusi YouTube.


Lucu

Nama Atkinson juga tersenarai dalam 50 pelakon paling lucu dalam komedi British oleh akhbar The Observer dan undian sesama kalangan pelawak pada 2005.

Kemasyhuran Mr.Bean juga telah menyaksikan ia diangkat ke filem yang menerima sambutan hebat, terutama di pasaran Amerika Syarikat iaitu Bean dan Mr.Bean‘s Holiday. Menurut laporan terbaru, Atkinson berkata, sketsa Mr.Bean tidak akan disambung bagi memastikan ‘Mr.Bean tidak berusia’ kerana beliau yang kini menjangkau usia 56 tahun sudah tidak sesuai lagi memegang watak itu. Begitupun, Blackadder mungkin disambung.

Filem terbarunya, Johnny English Reborn yang sedang ditayangkan sekarang, adalah kesinambungan nama watak perisik British yang meniru James Bond baik daripada segi kesegakan penampilan, alat senjata canggih, kereta hebat (Roll Royce Phantom) dan sentiasa menang di akhir cerita, walaupun dengan penuh dramatik dan kedunguan tetapi sarat dengan lawak. Filem ini sesuai untuk seisi keluarga.

Sebelum filem Johnny English ditayangkan, Atkinson menjadi tajuk berita berikutan kejadian kemalangan kereta yang dipandunya. Dan ia bukan sebarang jenis kereta, sebaliknya McLaren F1 yang tergolong dalam kategori supercar dan hanya mampu dimiliki oleh jutawan sahaja.

Atkinson bukan seorang peminat kereta setelah menjadi kaya. Sebaliknya beliau diiktiraf memiliki pengetahuan yang mendalam mengenai kereta. Beliau pernah menulis ulasan mengenai kereta yang disiarkan dalam majalah kereta British seperti Octane, Evo dan SuperClassics.

Beliau diuji oleh Jeremy Clarkson dalam program popular Top Gear daripada segi pengetahuan (walaupun dengan penuh kelucuan) dan juga di atas litar sebagai pemandu terpantas menewaskan pelakon lain seperti Tom Cruise dengan kepantasan 1 minit 42.2 saat. Atkinson bukan memandu McLaren F1 tetapi hanya Kia Cee‘d.

Dengan kekayaan dianggarkan £100 juta (kira-kira RM500 juta), Atkinson memiliki koleksi kereta yang pelbagai. Selain McLaren F1 yang telah dibinasakan dalam kemalangan, Atkinson dilaporkan memiliki satu lagi kereta berprestasi tinggi iaitu Honda NSX dan kereta keluarga (mungkin!) iaitu Rolls-Royce, Mercedes-Benz dan Aston Martin serta kereta berusia 30 tahun, Morris Traveller. Paling luar biasa, Atkinson memiliki lesen memandu lori yang diperolehinya pada 1981. Ia didorong oleh minat anehnya pada lori.

Di sebalik kerjayanya sebagai pelawak, Atkinson di luar waktu kerja adalah seorang yang menjaga privasinya dengan ketat. Beliau memilih tinggal di rumah kawasan kampung dan menurut isterinya sendiri, Sunetra Sastry yang mengaku kedua-dua mereka tidak gemar ditemubual oleh media.

Merenung sejenak latar belakang Atkinson, jelas beliau adalah seorang profesional yang membezakan dengan jelas siapa dirinya semasa bekerja dan kembali menjadi manusia normal apabila di rumah atau dengan orang sekitar. Selain kisah kemalangan McLaren F1 yang dipandunya, tidak mungkin kita akan membaca kisah liar Atkinson dibaling gelas oleh pengarahnya atau berpoya-poya dengan artis lain atau dicemuh kerana buat lawak tidak kena tempat di khalayak ramai.

Semasa membuat kajian mengenai Atkinson (termasuk ‘terpaksa’ menonton Johnny English Khamis lalu), saya terbaca mengenai Maharaja Lawak Sepah yang kini sudah menjadi Sepahtu. Berpecah juga akhirnya Maharaja Lawak Malaysia 2011 ini. Tindakan terpaksa diambil kerana ia masalah serius, antara alasan diberi.

Rupa-rupanya pelawak ini yang kita ingat sentiasa gembira dan membuat kita bergelak ketawa adalah orang yang serius. Tetapi bagaimana pula orang yang kita harap seharusnya serius seperti ahli-ahli politik tetapi berkelakuan seperti pelawak?

Thursday, 6 October 2011

Artis Popular Kate Winslet Antara Yang Terselamat Dalam Kebakaran Rumah Jutawan Richard Branson

Selasa, 23 Ogos 2011 

LONDON: Beberapa tetamu Sir Richard Branson termasuklah artis popular, Kate Winslet terselamat dari maut apabila rumah peranginan milik jutawan penerbangan itu yang terletak di sebuah pulau di Caribbean terbakar akibat dilanda ribut tropika.

Pemilik Kumpulan Virgin itu berkata, ketika kejadian, seramai 20 orang termasuk Winslet dan anak-anaknya sedang berada dalam rumah agam lapan bilik itu yang terletak di British Virgin Islands.
Pulau tersebut adalah milik peribadi Branson.

Ketika kejadian itu berlaku, Branson berkata, beliau dan isterinya Joan serta anak lelakinyaSam, 25, berada di dalam sebuah lagi rumah agam yang hanya terletak 100 meter dari rumah yang terbakar itu.

Katanya, api mula disedari merebak pada lebih kurang jam 4 pagi Isnin sewaktu pulau berkenaan sedang dilanda ribut tropika dengan kilat yang agak kuat.

Anak Branson, Sam berjaya membantu menyelamatkan Winslet, anak-anaknya serta para tetamu yang lain keluar dengan selamat dari rumah yang terbakar itu.

Ribu Tropika yang dinamakan "Irene" telah melanda keseluruhan kawasan Virgin Islands dalam perjalanan menuju ke arah Puerto Rico pada lewat Ahad dan awal pagi Isnin.

Menurut Branson lagi, selain Winslet, turut berada di rumah itu ialah ibunya yang berusia 90 tahun dan anak perempuannya bernama Holly, 29.

Sementara itu, jurucakap Winslet, Sara Keene, mengesahkan kejadian itu dan berkata, aktres tersebut berada dalam keadaan selamat dan tidak tercedera.

Branson berkata, rumah agamnya itu musnah sama sekali dan turut terbakar ialah beribu keping foto pengembaraan peliknya yang tersimpan di rumah tersebut. Rumah itu juga merupakan pejabat percutiannya di Caribbean.

Branson, 60, membeli keseluruhan pulau berkenaan pada awal tahun 1980-an dan mula membina rumah agamnya itu pada tahun 1982.

Beliau juga adalah rakan baik pemilik AirAsia dan juga kelab bolasepak Liga Perdana Inggeris, QPR, Tan Sri Tony Fernandes.

Anak Cameron Highlands Jadi Jutawan Arang Batu Di Australia

MELBOURNE: Siapa sangka, seorang lelaki daripada keluarga kurang berada berasal dari Cameron Highlands, kini muncul sebagai anak Malaysia paling kaya di Australia dengan harta bernilai A$950 juta yang diperoleh melalui perusahaan lombong arang batu.

Setelah sekian lama berjaya menyembunyikan diri daripada pengetahuan ramai, akhirnya, rahsia Sam Chong, 68, terdedah juga minggu lepas apabila majalah Business Review Weekly (BRW) menyiarkan nama beliau dalam senarai orang terkaya "Rich 200".

Chong, jurutera perlombongan yang tidak menggemari publisiti dan jarang dijadikan bahan berita oleh media Australia, tetap keberatan untuk menceritakan kisah kejayaannya apabila dihubungi Bernama di kediamannya di Brisbane.

Beliau juga enggan berbicara tentang dedikasi, ketekunan dan berapa lama beliau mengambil masa untuk mengumpul kekayaan yang dimilikinya sekarang.

BRW melaporkan bahawa kedudukan Chong melonjak sebagai antara orang terkaya di Australia berikutan kenaikan harga "coking coal" (arang batu kok) yang digunakan untuk menghasilkan besi.

Chong memiliki sejumlah besar saham dalam Jellinbah Resources, syarikat yang mengusahakan dua lombong arang batu dan sedang dalam proses untuk mengusahakan sebuah lombong lagi.

Pengeluaran lombong itu mencapai lapan juta tan setahun, manakala rancangan pembesaran operasinya dijangka melonjakkan jumlah pengeluaran lombong itu kepada 12 juta tan setahun menjelang 2013.

BRW berkata Chong juga banyak mendapat manfaat daripada bijih berkualiti tinggi yang terdapat di kawasan perlombongannya.

"Harga arang batu kok jauh lebih tinggi daripada arang batu yang digunakan dalam penjanaan tenaga elektrik dan permintaan China terhadap bahan itu menyebabkan harganya semakin melonjak.

Selepas bersekolah rendah di Tanah Rata, Cameron Highlands, Chong melanjutkan pelajaran di sebuah sekolah menengah di Ipoh sebelum meneruskan pengajian dalam bidang kejuruteraan di Taiwan.

Pada 1973, beliau mengikuti pengajian peringkat pasca ijazah dalam jurusan kejuruteraan perlombongan di University of New South Wales, Australia.

Setelah tamat pengajian, Chong bekerja dengan beberapa syarikat dan akhirnya menetap di Bowen Basin, Queensland, kawasan yang menghasilkan hampir dua pertiga daripada jumlah arang batu kok dunia.

BRW berkata Chong seolah-olah terpijak permaidani emas apabila beliau bekerja dengan Queensland Coal Mine Management bersama-sama bekas anggota "Rich 200" Jim Gorman dan Ken Talbot pada 1980-an.

"Kehadiran Chong di situ dikatakan tidak ternilai harganya apabila syarikat berkenaan menguasai sejumlah besar deposit mineral dan mula memajukan lombong Jellinbah East," kata majalah itu.

Apabila Talbot meninggalkan syarikat itu dan Gorman pula menjual sahamnya kepada Marubeni Coal dari Jepun, maka tinggallah Chong sebagai seorang sahaja pengarah asal Jellinbah.

Kini, Chong menyandang jawatan pengarah bukan eksekutif Jellinbah sambil menjadi pelabur dalam bidang lain.
"Di samping membina kekayaan daripada arang batu, Chong juga menceburkan diri dalam perniagaan bijih besi dan hartanah," kata BRW.

Beliau menjalin usaha sama dengan Fox Resources untuk membangunkan projek bijih besi di Pilbara, sebuah wilayah di Australia Barat.

Dalam tempoh lima tahun lepas, Chong membeli dua bangunan pejabat di Brisbane dan mendapat kelulusan untuk membina hotel setinggi 33 tingkat berharga A$70 juta di bandar itu.- BERNAMA

Tuesday, 4 October 2011

Irfan Khairi bantu artis























TUJUAN hidup bagaikan berada di kemuncaknya apabila ada kuasa, harta yang melimpah dan popular. Namun ada juga yang memiliki elemen itu tetapi masyarakat belum kenal siapa dia. Lalu bagaimana cara untuk menjadi insan dikenali ramai bagi menyempurnakan laluan hidupnya?

Monday, 3 October 2011

AIM peruntuk RM1.5 billion bagi pinjaman perniagaan tahun ini



















TEMERLOH: Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) memperuntukkan RM1.5 bilion sebagai pinjaman kepada golongan miskin menjalankan perniagaan pada tahun ini, berbanding RM800 juta tahun lepas.
Pengerusi Lembaga AIM Datuk Amihamzah Ahmad berkata pertambahan peruntukan itu adalah bukti kesungguhan kerajaan membantu peniaga dan penjaja serta golongan miskin meningkatkan taraf hidup mereka.

Peneroka diminta waspada elak jadi mangsa penipuan

Zainal Abidin Ahmad beramah mesra bersama anak-anak peneroka selepas menghadiri jamuan hari raya di Balai Raya Felda Lui Timur, semalam.

JEMPOL 23 Sept. - Peneroka di daerah ini dinasihatkan supaya tidak terlalu tamak dengan bertindak memajak atau menjual tanah kepada orang tengah yang menjanjikan tawaran lumayan kerana dibimbangi mereka akan menjadi mangsa penipuan.

Sunday, 2 October 2011

10 Lelaki Terkaya Di Dunia 2011

Tidak kira apa keadaan ekonomi, orang kaya menjadi lebih kaya dan miskin menjadi lebih miskin dan satu kajian baru-baru ini oleh Jeffery Thompson dan Elias Leight menunjukkan yang kaya menjadi lebih kaya membuat yang miskin menjadi lebih miskin. Sama telah berlaku dengan kekayaan ini lelaki terkaya di dunia, sembilan daripada sepuluh lelaki terkaya di dunia telah mendapat kekayaan mereka berbanding dengan tahun lepas. Satu-satunya orang itu yang melihat satu pengurangan ialah hartawan perniagaan India Mukesh Ambani. Di sini ialah sepuluh lelaki terkaya dunia dalam 2011.

10) Li Ka-shing














Nilai Kekayaan: $26 Billion
Orang paling kaya kesepuluh di dunia ialah berpangkalan di Hong Kong, Li Ka-shing dengan kekayaan dianggarkan $26 Billion. Berumur 83 tahun ialah seorang ahli perniagaan usaha sendiri dan ialah pengerusi Cheung Kong Holdings, Hutchison Whampoa and Li Ka Shing Foundation. Mr.Li yang merupakan pelajar yang berhenti sekolah tinggi dipilih sebagai Most Powerful Man Asia pada 2001 oleh Asiaweek. Dia juga dikenali kerana kedermawanannya dan telah menderma $1.41 Billion sehingga hari ini.

Jutawan cuba rasuah polis dengan kereta Maserati


LONDON: Jutawan fesyen, George Davies menawarkan dua anggota polis sebuah kereta Maserati berharga £100,000 (RM500,0000) jika mereka membebaskannya selepas ditangkap kerana memandu dalam keadaan mabuk.

Sebuah mahkamah di sini diberitahu semalam, jutawan yang mengasas syarikat Next and George at Asda berusia 69 tahun itu diarah oleh anggota polis terbabit menjalani ujian pernafasan selepas dia ditahan kerana memandu kereta Quattroporte selaju 272 kilometer sejam.

Ujian itu mendapati kandungan alkohol dalam pernafasannya melebihi had.
Dia juga gagal berhenti meskipun diekori oleh anggota berkenaan sejauh lapan kilometer dari rumahnya.

Majistret di mahkamah Worcester diberitahu, jutawan itu menawarkan polis yang menahannya kereta Maserati itu ketika mereka membawanya ke balai polis.

Konstabel Jonathon Rice berkata: “Dia yang mabuk berkata, kami boleh mengambil kereta Maseratinya jika kes itu digugurkan.

“Saya menganggap dia tidak bermaksud demikian kerana dia mabuk ketika itu.” Davies menafi membuat kenyataan itu.

Dia bagaimanapun didapati bersalah malam tadi. Majistret mengharamkan dia memandu selama 12 bulan dan mendendanya £1,000 (RM5,000). - Agensi

Tony dipilih jadi hos ‘The Apprentice’ Asia
















KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Bhd, Tan Sri Tony Fernandes (gambar), akan menjadi hos edisi Asia siri televisyen yang digemari ramai, ‘The Apprentice’ yang diterbitkan Mark Burnett Productions, selepas kejayaan siri program itu yang dihoskan jutawan Donald Trump pada 2004.

Perkara itu diumumkan semalam oleh pengeluar program realiti Asia, RGM, iaitu sebuah syarikat filem dan televisyen yang berpangkalan di Singapura. Program itu difrancaiskan pada peringkat antarabangsa, termasuk di United Kingdom, dihoskan oleh Lord Sugar.

Ketua Pegawai Eksekutif RGM, Devesh Chetty berkata, program itu mencatatkan kejayaan selepas kemunculan sulung pada 2004 di Amerika Syarikat dengan jutawan Donald Trump sebagai hos dan penerbit eksekutif bersama. “Kami gembira dengan Tony. Beliau seorang ahli perniagaan yang berjaya dan berkarismatik dan tokoh Asia yang boleh dikaitkan dengan kejayaan di seluruh dunia,” katanya ketika mengumumkan perkara itu di Singapura.

Sementara itu, ketika mengulas mengenai perkara itu, Tony berkata ia saat mengujakan untuk menjadi peneraju 'The Apprentice Asia' kerana dapat melihat sesetengah bakat perniagaan yang cemerlang di rantau ini bersaing dari jalanan ke bilik lembaga pengarah. - Bernama

Peserta MMP idam kereta mewah

KUALA LUMPUR: “Hanya satu perkara terlintas di fikiran saya apabila melihat kenderaan mewah seperti Ferrari, Lotus, Audi dan BMW iaitu kenderaan untuk mereka yang kaya raya,” kata salah seorang peserta program Millionaire Mind Power (MMP) Advance, NorAzura Mohd Radzi, 36.

NorAzura adalah antara 40 peserta program MMP Advance yang turut serta dalam lawatan ke bilik pameran Naza Motors yang diadakan di sini, kelmarin. Hadir sama dalam lawatan itu, Pengasas MMP, Profesor Datuk Dr Ibrahim Ahmad dan Penasihatnya, Datin Ira Ghani.

Dibesarkan dalam keluarga berpendapatan sederhana, NorAzura berkata, persepsi itu seakan-akan sudah ditetapkan dalam fikiran menyebabkan impian untuk memilikinya terkubur begitu saja.

“Namun, semuanya berubah sebaik saja menyertai program MMP sejak Jun 2010 lalu. Segala ilmu yang diperoleh membuatkan saya lebih yakin dan tidak mudah memandang rendah pada diri sendiri.

“MMP bukan saja memberikan tips dan ilmu berguna malah turut menjadikan saya lebih yakin untuk berkecimpung dalam bidang perniagaan. “Malah, selepas menyertai MMP, perkara yang bermain di fikiran saya apabila melihat kenderaan mewah adalah ungkapan ‘aku akan memilikinya satu hari nanti’,” katanya.

Sementara itu, Dr Ibrahim berkata, program MMP Advance yang diadakan bertujuan membuka peluang kepada ahli-ahli yang ingin mengetahui gerak kerja serta strategi ke arah mengorak langkah menjadi jutawan.

Menurutnya, lawatan itu bertujuan memberi pendedahan kepada usahawan mengenai dunia kemewahan dan kekayaan sebenar serta merasai sendiri aura jutawan.

Jumlah jutawan Asia Pasifik atasi Eropah


HONG KONG: Jumlah jutawan di Asia Pasifik meningkat mendadak untuk mengatasi Eropah, didorong oleh peningkatan pantas golongan kaya di Hong Kong.
Menurut satu kajian, jutawan di rantau ini, yang memiliki jumlah harta keseluruhan sebanyak AS$11 trilion (RM33 trilion) lebih kaya berbanding rakan mereka di Eropah pada 2009.

Pada masa sama, jumlah mereka kini lebih ramai, 3.3 juta orang berbanding 3.1 juta di Eropah.
Laporan mengenai individu bernilai tinggi (HNWI), yang didefinisikan sebagai seseorang yang memiliki aset yang boleh dilaburkan berjumlah sekurang-kurangnya AS$1 juta (RM3 juta) dikeluarkan oleh syarikat Merrill Lynch Global Wealth Management dan syarikat perunding Capgemini.

“Pencapaian berterusan Asia Pasifik mengukuhkan kepentingan strategik rantau ini kepada setiap syarikat perancang kewangan dengan aspirasi global,” kata Michael Benz, ketua Merrill Lynch Global Wealth Management cawangan Asia Pasifik.

Asia Pasifik berada di tangga kedua selepas Amerika Utara yang mempunyai 3.4 juta jutawan.

Jumlah jutawan di Hong Kong meningkat 33.3 peratus pada 2010 kepada 101,300 berbanding 76,000 pada 2009, tahun kedua berturut-turut yang menyaksikan jumlah penduduk kaya-raya bandar itu meningkat paling banyak.

Peningkatan mendadak itu berpunca daripada pencapaian baik ekonomi serta keuntungan dalam ekuiti dan pasaran hartanah, kata laporan itu.
Ia juga menyatakan, jumlah jutawan India juga meningkat dengan pantas.

Enam daripada 10 negara dengan pertumbuhan tertinggi jumlah jutawan pada 2010 ialah dari Asia Pasifik dengan Vietnam, Sri Lanka, Indonesia dan Singapura melengkapkan senarai itu.

Asia, yang pulih dengan pantas daripada kemelesetan global, menghasilkan beberapa individu paling kaya dunia, termasuk bilionair India, Mukesh Ambani dan Li Ka-shing dari Hong Kong. — AFP

Rupert Murdoch bayar pampasan
















LONDON 20 Sept. - Jutawan media, Rupert Murdoch akan membayar pampasan sebanyak dua juta pound (RM9.8 juta) kepada keluarga seorang remaja perempuan yang mati dibunuh, Milly Dowler.
Dowler, 13, merupakan antara mangsa penggodam telefon oleh akhbar tabloid, News of the World yang dimiliki Murdoch.

Selain pampasan itu, Murdoch juga akan menyerahkan sumbangan peribadi sebanyak sejuta pound (RM4.9 juta) kepada badan amal sebagai langkah penyelesaian terhadap kontroversi berkenaan.
Jurucakap News International semalam mengesahkan syarikat itu telah berunding dengan keluarga remaja terbabit berhubung pembayaran pampasan berkenaan.
Ogos lalu, News of the World telah ditamatkan operasinya selepas terlibat dalam skandal penggodaman telefon.

Akhbar tabloid mingguan Ahad itu juga mencetuskan kontroversi apabila bertindak mendapatkan khidmat penyiasat persendirian untuk menceroboh masuk ke dalam peti mel suara Dowler selepas dia dilaporkan hilang pada 2002.

Sementara itu, peguam kepada keluarga remaja tersebut, Mark Lewis berkata, Murdoch sendiri telah bertemu keluarga Dowler pada Julai lalu untuk meminta maaf atas apa yang telah dilakukan oleh akhbar tersebut.

''Beliau telah berulang kali memohon maaf,'' tambahnya.
Pada 2008, News International membayar pampasan sebanyak 425,000 pound (RM2,082,500) kepada Ketua Eksekutif Pertubuhan Pemain Bola Sepak Profesional (PFA), Gordon Taylor atas kontroversi yang sama.

Pada Mei lalu pula, bintang filem Sienna Miller memenangi 100,000 pound (RM490,000) bayaran pampasan bagi kes gangguan privasi oleh News of the World yang menggodam panggilan telefonnya. - AFP

Kes Sosilawati: Peguam pertikai ketepatan rekod panggilan

30/09/2011 6:38pm

















SHAH ALAM 30 Sept. - Isu ketepatan rekod panggilan yang dikeluarkan oleh sebuah syarikat telekomunikasi menjadi tumpuan pada perbicaraan kes bunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain di Makamah Tinggi di sini hari ini.

Peguam Manjeet Singh Dhillon yang mewakili tertuduh pertama, N. Pathmanabhan, mencabar kesahihan rekod panggilan itu selepas menemui beberapa kesilapan pada dokumen yang dicetak oleh pegawai Unit Siasatan dan Penipuan, DiGi Telecommunications Sdn. Bhd., Mohd. Feisal Zakaria, 43.

Manjeet mendakwa salah satu nombor, 016-8438478 yang direkodkan dalam dokumen itu tidak mempunyai nama pemilik berdaftar.
"Nombor ini didaftarkan di bawah nama siapa,” soal Manjeet.
"Ia tidak dicatatkan,” jawab Mohd. Feisal.
"Terdapat ”tanda soal” di bawah pemilik berdaftar, adakah ini dilakukan oleh komputer,” soal Manjeet.
"Ya”, jawab Mohd Feisal. - Bernama