Tuesday, 18 October 2011

Proton jamin power window seumur hayat kereta


SHAH ALAM 17 Okt. - Kalau sebelum ini kereta Proton sering kali diberikan persepsi negatif akibat kegagalan tingkap kuasanya (power window) berfungsi, perkara itu dijangka tidak mungkin berlaku lagi.

Berbeza dengan pandangan umum, sebenarnya kegagalan itu bukan melibatkan semua jenama Proton dan peratusan yang rosak juga amat kecil.

Namun begitu, mendepani permasalahan dan meyakinkan orang ramai, Proton kini mengumumkan pemberian jaminan ke atas komponen berkenaan sepanjang hayat kenderaan yang dibeli oleh orang ramai.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Proton, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, jaminan itu meliputi kereta yang dijual di pasaran domestik untuk pendaftaran persendirian dan syarikat.

''Kami memberi jaminan bahawa segala kerosakan berkaitan tingkap kuasa itu akan dilindungi selama 10 tahun (jangka hayat bagi sesebuah kereta) atau 250,000 kilometer pada tarikh kereta tersebut didaftarkan.

''Pemilik boleh menukar komponen tingkap kuasa itu seberapa banyak yang diinginkan tanpa ada bilangan tertentu tetapi bergantung kepada kelayakan dan syarat-syarat yang ditetapkan oleh Proton,'' kata beliau dalam satu taklimat di sini hari ini.

Antara komponen yang terlibat di dalam penukaran itu ialah alat kawal atur tingkap kuasa, motor tingkap kuasa, suis tingkap kuasa dan saluran laluan tingkap kuasa.

Pemilik kereta yang menghadapi masalah itu boleh pergi ke mana-mana pusat servis Proton yang bertauliah tanpa dikenakan bayaran upah dan harga komponen yang ditukar.

Beliau berkata, tawaran ini yang jarang diberikan oleh mana-mana pengeluar kenderaan dunia, memperlihatkan komitmen Proton terhadap hak dan kepuasan pengguna dipinggirkan.

''Masalah tingkap kuasa ini bukan luar biasa malah saya pun mengalaminya satu ketika dulu tetapi stigma dan cakap-cakap orang (dijaja dari mulut ke mulut) telah merosakkan imej Proton,'' katanya.

Syed Zainal berkata, mana-mana kenderaan yang didaftarkan sebelum 31 Ogos 2011 dan masih di bawah jaminan pengeluar boleh menuntut kad jaminan dari mana-mana pusat servis bertauliah, Proton Edar Sdn. Bhd., pusat servis EON.

Manakala bagi kereta yang baru didaftarkan selepas 1 September, pemilik kereta secara automatik telahpun didaftarkan di dalam pangkalan data Proton.

Tamatkan status ejen jualan: Peniaga saman syarikat MLM


16/10/2011 8:35pm

KOTA BHARU 16 Okt. – Seorang peniaga produk jualan langsung memfailkan tuntutan saman sebanyak RM1 juta terhadap sebuah syarikat pengeluar produk jualan langsung yang beribu pejabat di Perlis, di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas alasan menamatkan statusnya sebagai ejen jualan tanpa alasan kukuh.

Mohd. Zurah Jusoh, 28, yang memiliki perniagaan Md Zurah Enterprise di Jalan Long Yunus off Jalan Maju di sini diwakili peguam Saharudin Mohammed mendaftarkan tuntunan tersebut di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Nariman Badruddin.

Dalam tuntutan tersebut, plaintif mendakwa dilantik sebagai ejen berstatus pusat jualan langsung pada 1 Oktober 2009 di kawasan Kota Bharu dan mendakwa telah menjalankan perniagaan dengan baik serta memberi keuntungan yang besar kepada pihak defendan.

Bagaimanapun dakwanya, pada 27 Februari 2011, dia menerima surat penamatan sebagai ejen tanpa bukti yang kukuh atau memberi peluang kepadanya membuat penjelasan.

Akibat daripada tindakan tersebut, plaintif mendakwa kehilangan pendapatan, mengalami kerugian kewangan yang teruk, hilang kepercayaan orang bawahan dan pelanggan, tekanan perasaan dan mental di samping jatuh maruah diri, keluarga dan perniagaan.

Plaintif mendakwa telah membuat laporan polis pada 13 April 2011 bagi menafikan isi kandungan surat tersebut dan selepas panggilan kepada pihak defendan tidak dilayan.

Mohd. Zurah menuntut ganti rugi am sebanyak RM500,000 dan ganti rugi teruk teladan RM250,000 atau apa-apa jumlah yang mahkamah fikirkan sesuai.

Tuntutan juga meliputi ganti rugi teruk sebanyak RM250,000, faedah pada kadar lapan peratus setahun daripada tarikh penyerahan writ saman hingga tarikh penghakiman serta faedah ke atas jumlah penghakiman pada kadar lapan peratus setahun daripada tarikh penghakiman hingga akhir.

Plaintif turut menuntut hadiah insentif ta'wun seperti yang pernah ditawarkan oleh pihak defendan melalui surat bertarikh 18 Januari 2011, insentif kategori ketiga iaitu pencapaian enam Pengarah Jati dan ke atas berupa pakej haji.

Selain itu plaintif juga menuntut defendan mengumumkan plaintif layak menerima anugerah Pengarah Jati Mahkota terbaik 2010 yang juga melayakkan dia menerima anugerah Pusat Jualan Terbaik 2010. – Utusan

Monday, 17 October 2011

50,000 kunjungi Halfest 2011

KUALA LUMPUR 16 Okt. - Seramai 50,000 orang pengunjung telah melawat Halal Fiesta Malaysia (Halfest) 2011 yang diadakan dari 12 Oktober hingga 16 Oktober di Pusat Dagangan Dunia Putra.

Pegawai Perhubungan Awam Shapers Malaysia Sdn. Bhd., Liyana Abdul Rahman berkata, bilangan pengunjung begitu membanggakan walaupun ia merupakan acara julung kali diadakan.

Menurutnya, Halfest agak berbeza dengan ekspo-ekspo lain kerana ia menampilkan pameran produk yang diiktiraf halal dalam kehidupan sambil menonjolkan produk-produk buatan syarikat industri kecil dan sederhana tempatan.

"Sebanyak 600 ruang pameran melibatkan 500 syarikat tempatan menyertainya.
"Di samping pameran, turut diadakan program demonstrasi masakan bersama Chef Zam dan Master Chef Noordin Ahmad serta penampilan istimewa ikon industri muzik, Datuk Siti Nurhaliza yang hadir sebagai usahawan produk SimplySiti.

Pada hari ini, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut hadir melawat pameran dan menyaksikan pertunjukan fesyen muslimah yang diadakan sempena hari terakhir Halfest tersebut.

Ceburi perniagaan bernilai tinggi

ORANG ramai mengunjungi Ekspo Halal Fiesta Malaysia 2011 di PWTC yang akan berakhir hari ini.

KUALA LUMPUR 15 Okt. - Usahawan bumiputera disaran mempelopori bidang-bidang perniagaan bernilai tinggi seperti nanoteknologi, bioteknologi, dan teknologi maklumat bagi melonjakkan lagi kemampuan mereka bersaing di pasaran terbuka.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, buat masa ini minat usahawan bumiputera untuk menceburi perniagaan dalam bidang tersebut masih rendah walaupun ramai menyedari ia memberi pulangan tinggi.

"Saya mengharapkan usahawan bumiputera menceburi bidang-bidang baru yang bernilai tinggi kerana sehingga kini penglibatan usahawan bumiputera dalam bidang seperti nanoteknologi, bioteknologi dan teknologi maklumat masih rendah," katanya semasa berucap pada majlis makan malam gala Halfest dan Anugerah Usahawan Mara (AURA) 2011 di sini, malam ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Mara, Datuk Seri Idris Jusoh.
Anugerah AURA menawarkan lima kategori meliputi Usahawan Korporat, Tekno Usahawan, Usahawan Pembuatan, Usahawan Peruncitan dan Usahawan Wibawa.

Kategori Usahawan Korporat yang menawarkan wang tunai RM30,000 beserta plak dan sijil dimenangi oleh syarikat Nor Alfa Holding Sdn. Bhd.

Sementara bagi kategori Tekno Usahawan dimenangi oleh Mysysnet Sdn. Bhd.; Usahawan Pembuatan (Pearl Haya Sdn. Bhd); Usahawan Peruncitan (Oli Collection Sdn. Bhd.) dan Usahawan Wibawa (Adhwa Enterprise).

Masing-masing menerima wang tunai RM20,000.
Halfest diadakan buat julung kali bermula 12 Oktober lepas dan akan berakhir esok. Ekspo selama lima hari itu menyaksikan lebih 600 ruang pameran dibuka membabitkan usahawan industri kecil, sederhana dan syarikat besar yang mempunyai sijil halal mempamerkan produk masing-masing.

Ia merupakan sebuah ekspo pesta halal yang diwujudkan untuk memperkukuh dan merangsang industri halal tempatan sebelum melangkah ke pasaran global.

Dalam pada itu, Mohd. Shafie menyeru kepada Mara dan agensi kerajaan lain supaya mempergiatkan lagi usaha membangunkan masyarakat bumiputera yang masih ketinggalan jauh berbanding pencapaian kaum lain dalam aspek ekonomi.

Katanya, sehingga kini, laporan yang dikeluarkan Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MTEN) menunjukkan 40 peratus isu rumah di Malaysia berpendapatan di bawah RM1,500 sebulan dan daripada jumlah tersebut, 70 peratus adalah golongan bumiputera.

Jutawan Ekspress Mutiara - tiada hasrat lupus harta

KOTA BAHARU 16 Okt. - Seorang jutawan hari ini membuat aku janji di Mahkamah Tinggi Syariah di sini yang beliau sama sekali tidak berhasrat untuk menukar, menjual atau melupuskan harta milik sepencarian bersama arwah isterinya seperti yang dituntut 11 orang anaknya.

Che Ibrahim Che Ismail, 56, yang merupakan pemilik syarikat bas Ekspres Mutiara membuat aku janji itu di hadapan Hakim Abu Bakar Abdullah Kutty setelah mahkamah mahukan kepastian seperti dalam tuntutan anak-anak jutawan itu.

"Saya tidak berhasrat untuk memindah milik harta-harta berkenaan sebaliknya mahu membangunkan lagi di tanah yang ada (bagi tujuan pembangunan)," kata Che Ibrahim.

Ketika ditanya Abu Bakar apakah pembangunan yang mahu dilakukan akan menjadikan nilai hartanah itu terus bertambah, Che Ibrahim berkata: "Ya diyakini nanti akan terus bertambah". Pada prosiding itu anak-anak Che Ibrahim diwakili anak sulung Khalilullah, 31 dan anak keempatnya, Khairul Anam, 26, yang kesemua mereka menuntut satu perintah interim secara exparte bagi menghalang bapa mereka daripada melakukan sebarang transaksi terhadap harta sepencarian milik ibu mereka itu.

Tanpa diwakili peguam syarie, Khairul Anam ketika berhujah berkata kesemua harta berkenaan adalah milik sepencarian bersama arwah ibu mereka iaitu Paizah Mohd. Yusoff yang telah meninggal dunia pada 2008 akibat kemalangan jalan raya, empat tahun sebelum itu.

"Harta-harta ini adalah harta sepencarian bersama arwah ibu kami dan kami juga mempunyai hak ke atas harta-harta berkenaan," katanya.

Abu Bakar, selepas mendengar aku janji Che Ibrahim yang diwakili peguam syarie Mohd. Alawi Mohd. Rosid kemudiannya turut bertanya kepada Khairul Anam apakah mereka berpuas hati dengan aku janji berkenaan dan Khairul Anam berkata mereka bersetuju dan meminta mahkamah merekodkan keterangan itu serta mengambil tindakan jika bapa mereka melanggar akuan itu.

Selain Khalilullah dan Khairul Anam, sembilan lagi anak-anak Che Ibrahim bersama arwah isterinya yang turut dinamakan sebagai plaintif ialah Tamtini, 30; Amalina, 29; Khairul Azhan, 28; Khairul Adnin, 24; Salsabila, 20; Siti Nahwan, 18; Muhammad Atifuddeen, 16; Muhammad Amar, 11, dan Nurul Aufa, 13.

Abu Bakar selepas itu memutuskan agar Che Ibrahim berpegang kepada aku janji berkenaan dan sebarang keputusan lain yang mahu dilakukan, jutawan itu perlu mendapat kebenaran daripada mahkamah itu.

Pada 2 Oktober lepas, kesemua anak jutawan itu memfailkan tuntutan terhadap Che Ibrahim menuntut harta sepencarian dipercayai bernilai jutaan ringgit milik ibu mereka.

Mereka selaku plaintif menuntut harta berkenaan bermula dari tarikh perkahwinan arwah dengan Che Ibrahim pada 22 Februari 1979 sehingga ibu mereka meninggal dunia pada 24 September 2008.

Kes itu bagaimanapun akan didengar di mahkamah yang sama pada 22 November. - BERNAMA

Saturday, 15 October 2011

Menjadi jutawan melalui penternakan burung walet

TAHUKAH anda dunia perladangan sarang burung adalah merupakan satu dunia perniagaan yang memberi pulangan yang cukup lumayan. Untuk menjadi seorang pengusaha burung Walet ianya tidaklah susah dan sukar sekiranya ianya dapat dijalankan dengan teratur dan baik. Tahukan anda bahawa kedai yang tidak diduduki ataupun sedang diduduki mempunyai potensi untuk mendapat lebih pulangan modal yakni dengan memberi ‘sewa’ kepada  penternak burung Walet.

Untuk memulakan perniagaan burung Walet ini, anda perlulah memahami ciri-
ciri burung Walet itu dengan lebih serius. Ciri-ciri penting itu adalah :-
  • Deskripsi-yakni segi fizikal burung Walet ianya mempunyai banyak persamaan dengan burung Layang-Layang (Hirundinidae), burung Pipit (Passeride) dan burung Walet Rumah (Apus Affinis)
  • Jarak geografi dan habitat
  • Diet- memakan serangga yang terbang seperti kumbang, nyamuk, semut, lebah, lalat dan lain-lain.
  • Status populasi burung Walet Gua- gugusan yang paling terbesar di Malaysia adalah di Gua Niah, Serawak
  • Perpindahan burung Walet dari gua ke rumah burung Walet
  • Kitaran hidup / Struktur sosial

Rumah Burung Walet

5 bahagian anda perlu tahu iaitu:-
  • Bahagian 1 – Burung Walet
  • Bahagian 2 – Sarang Burung Walet
  • Bahagian 3 – Ciri-Ciri Perniagaan
  • Bahagian 4 – Rumah Burung Walet
  • Bahagian 5 – Bagaimana Untuk Membina Sebuah Rumah Burung Walet Yang Berjaya
Burung Walet adalah sejenis burung yang mempunyai pelbagai karenah.
Antara keunikan burung ini adalah ianya mampu terbang sejauh 50 kilometer
di dalam masa sehari, mempunyai daya ingatan yang kuat terutama untuk
kembali ke tempat tinggal, bertelur tiga kali dalam setahun, menghasilkan dua
biji telur pada setiap sesi bertelur, burung jantan dan betina akan membantu
di dalam proses pembinaan sarang yang mana lazimnya akan dibuat pada
waktu malam, dan kedua-dua juga mengambil giliran untuk mengeram telur.

Burung Walet sedang membuat sarang

Sarang Burung Walet yang telah dicuci

Bagi memulakan proses pembinaan rumah burung Walet antara perkara yang
perlu diambil kira adalah pastikan kawasan yang dipilih adalah bebas daripada
pencemaran udara, pemangsa semula jadi, mempunyai bekalan makanan
yang tinggi dan tidak akan kehabisan, terletak di kawasan pantai di mana
suhu purata tidak berubah dengan mendadak yakni antara 28 – 30 darjah
Celsius, kelembapan di antara 75 – 85 peratus, kekuatan cahaya di antara 2 –
3 lux dan ketinggian tanah tidak lebih daripada 2,800 meter.

Terdapat juga perbezaan dan persamaan bagi sarang rumah dan sarang gua.
Bagi sarang rumah dan gua ianya mempunyai persamaan di mana terdapat
Karbohidrat, Glycoprotein dan asid Amino. Burung  sarang rumah mudah
dihadam manakala bagi di gua ianya adalah sebaliknya. Sarang di rumah lebih
segar berbanding di gua ianya berlaku pengoksidaan dan kehilangan nutrient.
Untuk di rumah pula ianya adalah lebih bersih dan kurang dicemari manakala
di gua ianya lebih kotor. Harga sarang burung yang dihasilkan dari sarang
rumah adalah lebih murah sedikit berbanding di gua kerana kos risiko
keselamatan semasa pengambilan dibuat. Sarang burung di rumah juga
kurang kandungan sodium dan tidak mengandungi kandungan mineral. Untuk
sarang burung rumah penyediaan  perebusan cara cina mengambil masa
selama 30 minit manakala yang diperolehi daripada gua adalah selama 3 jam.

Penternakan burung Walet ini hendaklah dibuat dengan :-
  • Memohon lesen daripada pihak berkuasa tempatan, di mana perlu.
  • Sebarang perubahan yang dibuat pada bangunan yang hendak dijadikan sarang hendaklan mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa.
  • Pembersihan tahi burung pada lantai premis hendaklah dipatuhi dengan mengikut jadual untuk mengelak wujudnya parasit.
  • Pastikan polusi bunyi-audio kicauan burung hanya boleh dimainkan di antara 7 pagi hingga 7 petang dan  pembesar suara harus diarahkan pada sudut 60 darjah ke arah langit.
  • Kekuatan pembesar suara tidak boleh melebihi 40 desibel.
  • Faktor kebersihan amat penting.
  • Rumah burung Walet hanya boleh dibina pada tanah pertanian, kawasan perkilangan ringan dan bukan kawasan perumahan.
  • Paras rupa bangunan tidak ditukar sepenuhnya untuk mengelak perubahan imej kota dan sebagainya.

Antara kompenan-kompenan penting yang perlu adalah pada rumah burung
Walet adalah mesti ada lubang masuk, kawasan penerbangan dan kawasan
pembinaan sarang. Terdapat 2 jenis lubang masuk iaitu reka bentuk kandang
anjing / menara ataupun reka bentuk bumbung terbuka. Bagi faktor kawasan
penerbangan ianya hendaklah memberi ruang kepada burung Walet bermain.

JK: Saya ada rakan yang buat bisnes ni, so jika ada sesiapa yang berminat boleh maklum pada saya.

Harga Cicak Tokek (Pokke) Cecah Jutaan Ringgit

Cicak Tokek atau Tokay Gecko (orang pantai timur panggil "Pokke") dikatakan boleh mengubati pelbagai penyakit terutamanya bagi penyakit HIV/AIDS. Cicak Tokek yang kebanyakkan boleh didapati di negara-negara Asia seperti Malaysia, Indonesia, Thailand dan sebagainya dikatakan dijual sehingga jutaan ringgit seekor.






JK: Betul ke benda alah ni harganya camtu skali? Siapa pembelinya? Tak salah ke mengikut undang-undang? Berapa ramai dah jadi jutawan hasil jual tokek ni?