SHAH ALAM 13 Okt. – Tertuduh pertama, N. Pathmanabhan didakwa berjanji untuk berbuka puasa bersama seorang rakannya yang juga pesara polis di Subang Jaya dekat sini pada pukul 7 malam, hari Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi dikatakan dibunuh pada Ogos tahun lalu.
Bekas Penolong Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Mohamad Jamil Mohamad Hassan, semasa memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini berkata, bekas peguam itu bagaimanapun memaklumkan tidak dapat hadir pada waktu yang dijanjikan kerana mempunyai urusan untuk diselesaikan.
Menurut saksi pendakwaan ke-60 itu, beliau hanya menemui Pathmanabhan pada pukul 10.20 malam, 30 Ogos 2010 di kaunter pendaftaran masuk Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya sebelum mereka keluar makan dan berbual-bual di sebuah kafe di SS 15.
“Oleh kerana tiada panggilan, saya berasa tidak sedap hati. Kalau dia tidak dapat hadir, saya kena buat perancangan untuk buka puasa di tempat lain.
“Empat atau lima minit selepas pukul 7 malam, saya hubungi Pathmanabhan. Dapat jawapan. Dia beritahu tidak dapat hadir sebab dia dikehendaki menyelesaikan urusan yang belum selesai. Tetapi dia beritahu akan datang jumpa saya pada malam itu. Pukul berapa tidak ditetapkan,” jelas beliau.
Mohamad Jamil berkata demikian semasa disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusof sewaktu sesi pemeriksaan utama dalam perbicaraan kes yang dihadapi oleh Pathmanabhan, 42; bersama tiga pekerja ladangnya.
Bekas peguam itu bersama T. Thilaiyalagan, 20; R. Matan, 21; dan R. Kathavarayan, 31; didakwa membunuh jutawan kosmetik, Sosilawati, 47; pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, 38.
Kejadian didakwa berlaku di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.
Keterangan dua saksi yang merupakan anggota polis sebelum ini mengesahkan kereta BMW dengan nombor pendaftaran AAJ 5 milik Ahmad Kamil ditemui di tempat letak kereta di Jalan SS12/1B, berhadapan Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya pada 6 September tahun lalu.
Sementara kereta BMW X5 hitam dengan nombor pendaftaran WTL 11 yang dinaiki Sosilawati dan Kamaruddin pula ditemui di Flat Angsana, USJ 1, Subang Jaya pada hari yang sama.
Menurut Mohamad Jamil, ketika berada di rumahnya di Subang Jaya, Pathmanabhan menghubungi telefon bimbitnya pada pukul 1.30 petang, 30 Ogos tahun lalu dan mempelawanya berbuka puasa kerana beliau akan berada di kawasan itu pada pukul 7 malam.
Saksi itu yang mengenali Pathmanabhan sejak dua atau tiga tahun lalu turut memberitahu, beliau menghantar semula tertuduh ke Hotel Grand Dorsett sebelum pukul 12 tengah malam dan terus pulang ke rumah.
Beliau berbuat demikian kerana rakannya itu memberitahu dia datang dan akan balik bersama-sama adiknya ke Banting walaupun kelibat lelaki itu langsung tidak dilihat pada malam tersebut.
Berhubung panggilannya kepada Pathmanabhan, saksi memberitahu, beliau memanggil tertuduh ‘Datuk’ selepas rakannya itu memaklumkan dia mendapat gelaran tersebut daripada Sultan Kelantan.
‘‘Dua tiga hari selepas berjumpa pada malam 30 Ogos 2010, saya menerima panggilan daripada Pathmanabhan memberitahu banyak aktiviti siasatan dilakukan oleh pihak media dan polis di Banting membabitkan satu kes bunuh.
‘‘Dia memberitahu media ada menyebut suspek ialah seorang peguam bergelar Datuk. Saya kata kepada Pathmanabhan, awak seorang peguam, awak boleh atasi sendiri masalah ini. Dia beritahu ‘media tidak berlaku adil kepada saya’. Saya kata, tunggu dan lihat apa yang berlaku,’’ katanya.
Terdahulu, Hakim Datuk Akhtar Tahir memutuskan untuk tidak menerima kenyataan K. Sarawanan yang dirakamkan oleh pihak polis di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah pada 26 Oktober 2010 untuk digunakan dalam prosiding mencabar kebolehpercayaan saksi itu.
Beliau memutuskan demikian dengan alasan saksi yang sedang menjalani hukuman penjara 20 tahun bagi kesalahan melupuskan mayat Sosilawati dan tiga lagi mangsa itu tidak diberikan amaran dalam bahasa Tamil sebelum kenyataannya dirakam.
Di samping itu, kata beliau, anggota polis yang bertindak sebagai penterjemah tidak membuat sebarang catatan tentang soalan daripada pegawai perakam yang ditanya semula dalam bahasa Tamil termasuk tiada sebarang catatan menunjukkan lima percanggahan turut diterjemah.
Perbicaraan yang masuk hari ke-41 bersambung pada 1 November ini.
No comments:
Post a Comment