Saturday, 15 October 2011

Kendali Kedai Rakyat 1Malaysia

Oleh HASHNAN ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 14 Okt. – Kabinet hari ini bersetuju memberi peluang kepada orang ramai yang berminat untuk mengendalikan Kedai Rakyat 1Malaysia.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat selepas kerajaan menerima banyak permintaan daripada orang ramai yang berminat untuk menjalankan perniagaan tersebut.

“Cuma syarat-syarat dan panduan pengurusannya kita akan tentu sebulan lagi kerana kita baru sahaja mendapat persetujuan daripada Jemaah Menteri,” katanya pada sidang akhbar Pelancaran Program Francais Komuniti di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata, soal modal, kos pengubahsuaian dan lain-lain yang berkaitan akan ditanggung sepenuhnya oleh mereka yang berminat itu.

Katanya, kerajaan hanya memberi kebenaran untuk menggunakan logo Kedai Rakyat.
“Mereka yang memiliki kedai runcit kini mempunyai dua pilihan iaitu menukarkan sepenuhnya atau menempatkan satu rak khas untuk menjual produk Kedai Rakyat.

“Ini kerana, Kedai Rakyat mempunyai 250 jenis produk dan mungkin mereka perlu hanya 50 jenis dan atas sebab itu, tidak perlu buka atau menukar kepada Kedai Rakyat sepenuhnya,” katanya.

Sementara itu, mengenai Program Francais Komuniti, beliau berkata, program terbabit akan memberi peluang kepada usahawan atau peniaga berskala kecil untuk terlibat dalam perniagaan francais.

Katanya, bagi program tersebut, sebanyak 14 buah syarikat bersetuju untuk menjadi francaisor.
“Fokus kita lebih kepada peniaga kecil dengan pinjaman kecil, bersesuaian dengan dana yang diperuntukkan di bawah Skim Pinjaman Kecil yang had maksimumnya adalah RM50,000.

“Untuk itu, siri penerangan dan promosi akan dilaksanakan di seluruh negara dengan lokasinya sekitar taman perumahan, dewan orang ramai, kampung, Felda dan flat,” katanya.

Bahagia berkahwin muda


PERBEZAAN usia sebanyak 10 tahun merupakan antara sebab yang membawa kepada kerukunan rumah tangga Den Wahab dan Nora Tamam.

Den Wahab atau nama sebenarnya Zaharudin Abd. Wahab, 48, mendirikan mahligai bahagia bersama Norassikin Bustamam atau Nora Tamam, 38, ketika Nora baru sahaja memasuki usia 18 tahun.

Ada orang berpendapat jika isteri terlalu muda, mereka sukar hendak dikawal kerana si isteri masih belum puas bersuka ria bersama kawan-kawan.

Tetapi berbeza bagi Nora kerana selepas berkahwin, seluruh kehidupannya hanya untuk suami, anak-anak dan keluarga. Kehidupan remaja ditinggalkan kerana baginya rumah tangga adalah segala-galanya.

Pendapat Den pula, berkahwin dengan Nora yang terlalu muda ketika itu memudahkannya untuk mendidik Nora. Berbanding dengan isteri yang sebaya, mungkin sukar sedikit kerana masing-masing merasakan diri mereka sudah cukup bagus.

Kedua-duanya bertemu buat kali pertama di satu lokasi penggambaran drama Keruh di Muara di Kelantan. Namun pada masa itu, baik Den mahupun Nora tidak menaruh apa-apa perasaan.

Namun kata Den, selepas habis penggambaran dan balik ke Kuala Lumpur, dia terasa seperti kehilangan sesuatu. Den kemudian bertemu Nora dan mereka mula berkenal rapat.

Empat bulan selepas itu, mereka bertunang dan enam bulan kemudian mereka diijabkabulkan iaitu pada 17 Ogos 1991.

Den yang berasal dari Kampung Datuk Keramat berkata, semasa melamar Nora, dia sendiri yang menyatakan hasratnya itu kepada Pak Tamam (bapa Nora) yang terkejut kerana menyangka Den sekadar mahu main-main.

Menurut Nora pula, sikap Den yang bertanggungjawab terhadap ibu dan adik beradiknya memikat hatinya. Semasa di lokasi penggambaran, setiap hari Den tidak akan lupa menelefon ibunya untuk bertanya khabar.

''Sikap tanggungjawabnya itu terbawa-bawa sehingga sekarang kepada dirinya dan anak-anak dan saya rasa selamat,'' ujar Nora yang merupakan anak sulung daripada enam beradik.

Perkahwinan yang dibina selama 20 tahun ini dikurniakan lima orang cahaya mata, iaitu Nurzahira Natasha, 19, yang kini menuntut di KLIUC, Batrisyia Balqis, 16, Farah Ismahani, 13, Danish Haikal, sembilan tahun dan Haziq Ikram, lapan tahun.

Mengenai cabaran yang dihadapi pada awal perkahwinan, ujar Nora, itu adalah adat perkahwinan namun segalanya dapat diatasi.

''Selepas berkahwin, kami terus tinggal bersama mentua. Den anak kesembilan daripada 10 beradik. Saya banyak belajar dengan mentua cara menyesuaikan diri, makanan yang disukai oleh Den dan sebagainya.

Contohnya makanan yang mesti ada setiap hari dan disukai oleh Den ialah sambal lado. Saya pun sudah pakar membuat sambal ini yang wajib ada setiap kali hendak makan nasi.

''Kami masih lagi mengamalkan rutin biasa setiap hari daripada mula berkahwin dahulu sehingga sekarang. Contohnya apabila suami hendak keluar rumah, saya akan mencium tangan dan kedua-dua pipinya. Ada juga kawan-kawan yang cemburu tetapi benda yang baik apa salahnya dijadikan rutin.

''Sebagai ketua keluarga pula, Den bijak menyelesaikan sebarang masalah supaya tidak berpanjangan dan biasanya dia yang banyak beralah dan bertolak ansur. Sebagai seorang artis dan usahawan, masanya tidak terbatas dan saya perlu memahami setiap situasi. Dalam hal ini, saya menjadikan ibu bapa saya sebagai contoh,'' kata Nora lagi.

Bagi lebih mengeratkan hubungan suami isteri, seminggu sekali apabila anak-anak sudah tidur, mereka akan keluar pergi makan-makan, menonton wayang atau bersiar-siar melihat keindahan kota.

Den dan Nora juga tidak pernah lupa hari-hari penting seperti hari jadi mereka dan anak-anak, ulang tahun perkahwinan, hari ibu, hari bapa dan sebagainya.

''Kami latih anak-anak untuk mengingati hari-hari penting ini dan menyuruh mereka mengucapkan selamat kepada yang menyambutnya atau membeli kek dan hadiah. Dengan cara ini kemesraan akan lebih terjalin di dalam keluarga,'' jelas Den pula yang menerbitkan drama bersiri Beret Hijau sebanyak 13 siri melalui syarikatnya sendiri, Global Network Entertainment.

Den juga kini sedang sibuk dengan persiapan persembahan teater komedi berjudul Mail Lambung yang akan dipentaskan di Istana Budaya pada Mac tahun depan.

15,000 dijangka kunjungi pameran kerjaya UMP

Orang ramai mula mengunjungi Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Universiti Malaysia Pahang yang bermula di Kuantan, semalam.

KUANTAN 14 Okt. - Lebih 15,000 pengunjung dijangka menghadiri Karnival Kerjaya dan Keusahawanan anjuran Universiti Malaysia Pahang (UMP) selama tiga hari bermula hari ini di pusat beli-belah Berjaya Megamall, di sini.

Program dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja (JTK) negeri itu menawarkan pelbagai peluang pekerjaan kepada bakal graduan dan orang ramai di samping ceramah kerjaya dan keusahawanan.

Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMP, Prof. Dr. Yusserrie Zainudin berkata, penganjuran karnival itu merupakan usaha universiti membantu bakal graduan meneroka peluang pekerjaan.

"Selain itu, bakal graduan juga mampu berkongsi maklumat mengenai peluang untuk menjadi usahawan berjaya dengan mendapatkan pendedahan dalam dunia perniagaan," katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, pada karnival tersebut, sebanyak 1,000 peluang pekerjaan ditawarkan membabitkan hampir 50 syarikat termasuk dari luar negara.

''Antara syarikat terkemuka yang menawarkan peluang kerja adalah Isuzu Hicom Malaysia Sdn. Bhd., Hicom Automotive Manufacturers Sdn. Bhd., Malaysia Airport (Niaga) Sdn. Bhd., Bukit Gambang Resort City, KFC Holding (M) Berhad, Latifle Sdn. Bhd., dan Rangkaian Delima Plantation Sdn. Bhd.," ujarnya.

Katanya, pada karnival tersebut, mereka yang ingin mencari pekerjaan dinasihatkan membawa dokumen berkaitan kerana beberapa syarikat terlibat menyediakan proses temu duga secara terbuka di situ.

Sementara itu, pengarah program, Calvin Lee Weng Leong berkata, selain pameran kerjaya, pelbagai aktiviti menarik turut disediakan kepada pengunjung sepanjang karnival berlangsung.

Tertuduh pertama ada urusan

SHAH ALAM 13 Okt. – Tertuduh pertama, N. Pathmanabhan didakwa berjanji untuk berbuka puasa bersama seorang rakannya yang juga pesara polis di Subang Jaya dekat sini pada pukul 7 malam, hari Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi dikatakan dibunuh pada Ogos tahun lalu.

Bekas Penolong Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Mohamad Jamil Mohamad Hassan, semasa memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini berkata, bekas peguam itu bagaimanapun memaklumkan tidak dapat hadir pada waktu yang dijanjikan kerana mempunyai urusan untuk diselesaikan.

Menurut saksi pendakwaan ke-60 itu, beliau hanya menemui Pathmanabhan pada pukul 10.20 malam, 30 Ogos 2010 di kaunter pendaftaran masuk Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya sebelum mereka keluar makan dan berbual-bual di sebuah kafe di SS 15.

“Oleh kerana tiada panggilan, saya berasa tidak sedap hati. Kalau dia tidak dapat hadir, saya kena buat perancangan untuk buka puasa di tempat lain.

“Empat atau lima minit selepas pukul 7 malam, saya hubungi Pathmanabhan. Dapat jawapan. Dia beritahu tidak dapat hadir sebab dia dikehendaki menyelesaikan urusan yang belum selesai. Tetapi dia beritahu akan datang jumpa saya pada malam itu. Pukul berapa tidak ditetapkan,” jelas beliau.

Mohamad Jamil berkata demikian semasa disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusof sewaktu sesi pemeriksaan utama dalam perbicaraan kes yang dihadapi oleh Pathmanabhan, 42; bersama tiga pekerja ladangnya.

Bekas peguam itu bersama T. Thilaiyalagan, 20; R. Matan, 21; dan R. Kathavarayan, 31; didakwa membunuh jutawan kosmetik, Sosilawati, 47; pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, 38.

Kejadian didakwa berlaku di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.

Keterangan dua saksi yang merupakan anggota polis sebelum ini mengesahkan kereta BMW dengan nombor pendaftaran AAJ 5 milik Ahmad Kamil ditemui di tempat letak kereta di Jalan SS12/1B, berhadapan Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya pada 6 September tahun lalu.

Sementara kereta BMW X5 hitam dengan nombor pendaftaran WTL 11 yang dinaiki Sosilawati dan Kamaruddin pula ditemui di Flat Angsana, USJ 1, Subang Jaya pada hari yang sama.

Menurut Mohamad Jamil, ketika berada di rumahnya di Subang Jaya, Pathmanabhan menghubungi telefon bimbitnya pada pukul 1.30 petang, 30 Ogos tahun lalu dan mempelawanya berbuka puasa kerana beliau akan berada di kawasan itu pada pukul 7 malam.

Saksi itu yang mengenali Pathmanabhan sejak dua atau tiga tahun lalu turut memberitahu, beliau menghantar semula tertuduh ke Hotel Grand Dorsett sebelum pukul 12 tengah malam dan terus pulang ke rumah.
Beliau berbuat demikian kerana rakannya itu memberitahu dia datang dan akan balik bersama-sama adiknya ke Banting walaupun kelibat lelaki itu langsung tidak dilihat pada malam tersebut.

Berhubung panggilannya kepada Pathmanabhan, saksi memberitahu, beliau memanggil tertuduh ‘Datuk’ selepas rakannya itu memaklumkan dia mendapat gelaran tersebut daripada Sultan Kelantan.

‘‘Dua tiga hari selepas berjumpa pada malam 30 Ogos 2010, saya menerima panggilan daripada Pathmanabhan memberitahu banyak aktiviti siasatan dilakukan oleh pihak media dan polis di Banting membabitkan satu kes bunuh.

‘‘Dia memberitahu media ada menyebut suspek ialah seorang peguam bergelar Datuk. Saya kata kepada Pathmanabhan, awak seorang peguam, awak boleh atasi sendiri masalah ini. Dia beritahu ‘media tidak berlaku adil kepada saya’. Saya kata, tunggu dan lihat apa yang berlaku,’’ katanya.

Terdahulu, Hakim Datuk Akhtar Tahir memutuskan untuk tidak menerima kenyataan K. Sarawanan yang dirakamkan oleh pihak polis di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah pada 26 Oktober 2010 untuk digunakan dalam prosiding mencabar kebolehpercayaan saksi itu.

Beliau memutuskan demikian dengan alasan saksi yang sedang menjalani hukuman penjara 20 tahun bagi kesalahan melupuskan mayat Sosilawati dan tiga lagi mangsa itu tidak diberikan amaran dalam bahasa Tamil sebelum kenyataannya dirakam.

Di samping itu, kata beliau, anggota polis yang bertindak sebagai penterjemah tidak membuat sebarang catatan tentang soalan daripada pegawai perakam yang ditanya semula dalam bahasa Tamil termasuk tiada sebarang catatan menunjukkan lima percanggahan turut diterjemah.

Perbicaraan yang masuk hari ke-41 bersambung pada 1 November ini.

Latih usahawan: AIM cadang tubuh akademi usahawan


10/10/2011 12:14pm

TEMERLOH 10 Okt – Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) merancang menubuhkan sebuah akademi usahawan untuk melatih usahawan niaga yang dilahirkan oleh agensi berkenaan.

Pengerusi AIM, Datuk Amir Hamzah Ahmad berkata, akademi tersebut akan memberi latihan serta kursus yang lebih bersistematik agar dapat melahirkan usahawan AIM yang maju serta berdaya saing.

Setakat ini, AIM berjaya melahirkan lebih 200,000 usahawan dan 20 usahawan jutawan, katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata, walaupun sebahagian besar mereka kini berjaya menjalankan perniagaan dengan modal permulaan RM2,000, tetapi langkah yang lebih tegas dan komprehensif perlu dilakukan supaya mereka lebih maju dan mencapai matlamat kerajaan untuk melahirkan lebih ramai usahawan.

Peruntukan RM100 juta kepada AIM yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada pembentangan Bajet 2012 Jumaat lepas membolehkan lebih ramai golongan miskin daripada kaum Melayu, Cina dan India membuat pinjaman untuk menjalankan perniagaan masing-masing, katanya. – Bernama

Mr.Bean menghibur seluruh dunia

TIADA siapa kenal Rowan Sebastian Atkinson sepantas mereka mengecam Mr. Bean yang telah diulang tayang berpuluh-puluh kali di televisyen Malaysia.

Malah, malam kelmarin semasa filem Johnny English ditayangkan di televisyen, anak lelaki saya berusia kurang tiga tahun berkata, ‘‘itu Mr. Bean”.

Watak lelaki dungu, kiasu dan sentiasa tidak mahu kalah yang jarang berkata-kata ciptaan Atkinson ini adalah ikon komedi global. Ia juga sudah dikartunkan, menambah kesan ikonik pada golongan kanak-kanak untuk memastikan Mr. Bean kekal di ingatan dua generasi lagi. Mungkin jika ada orang rajin menyelidik, rancangan lawak tanpa dialog Mr. Bean yang diulang-ulang itu boleh menyamai tahap kekerapan ulangan filem-filem P.Ramlee.

Sama seperti lawak P.Ramlee, lawak Mr.Bean tidak jemu-jemu ditonton. Malah, saya secara peribadi menggemari episod Mr. Bean memandu kereta mini dari atas sofa yang diikat pada bumbung. Kemudi sterengnya dikawal menggunakan batang penyapu. Tidak ada logik langsung pemanduan sedemikian dan ia hanya lawak televisyen, itu anda fikir. Tetapi Atkinson telah memberi demonstrasi pemanduan itu di hadapan penonton di litar lumba Goodwood, Britain pada 2009.

Walaupun ramai lebih intim dengan Mr.Bean sebagai watak tanpa dialog dan lebih menekankan pergerakan badan serta paling utama, mimik muka plastiknya, Atkinson juga dikenali dengan dialog monolog yang luar biasa. Satu daripada persembahan lucu beliau boleh ditonton di YouTube mengisahkan Atkinson sebagai ‘penyambut tetamu’ di neraka. (Jangan bimbang, ia tidak menyentuh sensitiviti agama atau menimbulkan syirik).

Watak penyambut tetamu itu sebenarnya setan bernama Toby yang memberitahu ‘tetamu baru’ bahawa mereka dipisahkan mengikut kumpulan. ‘‘Pembunuh sila kumpul di sini. Pencuri ke sebelah kiri saya... awak boleh sertai peguam. Kaki porno... oh ramainya. Penzina sila berkumpul di depan mesin pemancung kecil...”

Kekuatan skrip seumpamanya dibantu oleh dua rakannya, Richard Curtis dan Howard Goodall yang mula dikenalinya semasa menyertai Festival Edinburgh Fringe pada 1976 semasa mengikuti pengajian di Oxford. Atkinson bukan sedungu watak Mr.Bean kerana beliau sebenarnya lulusan Kejuruteraan Elektrik dari Universiti Oxford.

Populariti Atkinson juga tidak terhad kepada watak Mr.Bean tetapi diingati dalam sketsa komedi Not The Nine O‘Clock News dan sitcom Blackadder dan The Thin Blue Line. Oleh kerana hanya Mr.Bean sahaja yang disiarkan di televisyen Malaysia, anda boleh menonton sitcom berkenaan menerusi YouTube.


Lucu

Nama Atkinson juga tersenarai dalam 50 pelakon paling lucu dalam komedi British oleh akhbar The Observer dan undian sesama kalangan pelawak pada 2005.

Kemasyhuran Mr.Bean juga telah menyaksikan ia diangkat ke filem yang menerima sambutan hebat, terutama di pasaran Amerika Syarikat iaitu Bean dan Mr.Bean‘s Holiday. Menurut laporan terbaru, Atkinson berkata, sketsa Mr.Bean tidak akan disambung bagi memastikan ‘Mr.Bean tidak berusia’ kerana beliau yang kini menjangkau usia 56 tahun sudah tidak sesuai lagi memegang watak itu. Begitupun, Blackadder mungkin disambung.

Filem terbarunya, Johnny English Reborn yang sedang ditayangkan sekarang, adalah kesinambungan nama watak perisik British yang meniru James Bond baik daripada segi kesegakan penampilan, alat senjata canggih, kereta hebat (Roll Royce Phantom) dan sentiasa menang di akhir cerita, walaupun dengan penuh dramatik dan kedunguan tetapi sarat dengan lawak. Filem ini sesuai untuk seisi keluarga.

Sebelum filem Johnny English ditayangkan, Atkinson menjadi tajuk berita berikutan kejadian kemalangan kereta yang dipandunya. Dan ia bukan sebarang jenis kereta, sebaliknya McLaren F1 yang tergolong dalam kategori supercar dan hanya mampu dimiliki oleh jutawan sahaja.

Atkinson bukan seorang peminat kereta setelah menjadi kaya. Sebaliknya beliau diiktiraf memiliki pengetahuan yang mendalam mengenai kereta. Beliau pernah menulis ulasan mengenai kereta yang disiarkan dalam majalah kereta British seperti Octane, Evo dan SuperClassics.

Beliau diuji oleh Jeremy Clarkson dalam program popular Top Gear daripada segi pengetahuan (walaupun dengan penuh kelucuan) dan juga di atas litar sebagai pemandu terpantas menewaskan pelakon lain seperti Tom Cruise dengan kepantasan 1 minit 42.2 saat. Atkinson bukan memandu McLaren F1 tetapi hanya Kia Cee‘d.

Dengan kekayaan dianggarkan £100 juta (kira-kira RM500 juta), Atkinson memiliki koleksi kereta yang pelbagai. Selain McLaren F1 yang telah dibinasakan dalam kemalangan, Atkinson dilaporkan memiliki satu lagi kereta berprestasi tinggi iaitu Honda NSX dan kereta keluarga (mungkin!) iaitu Rolls-Royce, Mercedes-Benz dan Aston Martin serta kereta berusia 30 tahun, Morris Traveller. Paling luar biasa, Atkinson memiliki lesen memandu lori yang diperolehinya pada 1981. Ia didorong oleh minat anehnya pada lori.

Di sebalik kerjayanya sebagai pelawak, Atkinson di luar waktu kerja adalah seorang yang menjaga privasinya dengan ketat. Beliau memilih tinggal di rumah kawasan kampung dan menurut isterinya sendiri, Sunetra Sastry yang mengaku kedua-dua mereka tidak gemar ditemubual oleh media.

Merenung sejenak latar belakang Atkinson, jelas beliau adalah seorang profesional yang membezakan dengan jelas siapa dirinya semasa bekerja dan kembali menjadi manusia normal apabila di rumah atau dengan orang sekitar. Selain kisah kemalangan McLaren F1 yang dipandunya, tidak mungkin kita akan membaca kisah liar Atkinson dibaling gelas oleh pengarahnya atau berpoya-poya dengan artis lain atau dicemuh kerana buat lawak tidak kena tempat di khalayak ramai.

Semasa membuat kajian mengenai Atkinson (termasuk ‘terpaksa’ menonton Johnny English Khamis lalu), saya terbaca mengenai Maharaja Lawak Sepah yang kini sudah menjadi Sepahtu. Berpecah juga akhirnya Maharaja Lawak Malaysia 2011 ini. Tindakan terpaksa diambil kerana ia masalah serius, antara alasan diberi.

Rupa-rupanya pelawak ini yang kita ingat sentiasa gembira dan membuat kita bergelak ketawa adalah orang yang serius. Tetapi bagaimana pula orang yang kita harap seharusnya serius seperti ahli-ahli politik tetapi berkelakuan seperti pelawak?

Menangani kenaikan kos sara hidup

PEMBENTANGAN Belanjawan 2012 hari ini sememangnya dinantikan rakyat terutama bagi yang mengikuti perkembangan dan usul-usul yang dicadangkan banyak pihak dengan harapan akan diberi perhatian oleh kerajaan.

Aspek pertumbuhan ekonomi sememangnya diberi perhatian dalam setiap belanjawan. Namun, kita mengharapkan sesuatu lebih jauh mengenai pembangunan masyarakat sementelah kerajaan mengumumkan pada Julai lalu bahawa kos sara hidup akan dijadikan petunjuk yang ketujuh dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Lazimnya, kita terarah untuk melihat kos sara hidup ini dalam lingkungan yang berpendapatan rendah dan mengaitkan dengan corak perbelanjaan yang diperlukan bagi memenuhi keperluan semasa. Sedangkan perihal kos sara hidup bukanlah satu-satunya perkara mengenai peningkatan gaji dan upah kepada sektor atau jawatan tertentu, begitu juga penetapan mengenai gaji minimum dalam sesebuah sektor.

Indikator kos sara hidup sebenarnya turut menceritakan kepada kita perihal keadaan pembangunan masyarakat setempat yang hidup dalam lingkungan sesuatu kos yang terpaksa digunakan dan pilihan yang mereka ada pada setiap tempoh demi kelangsungan hidup.

Masyarakat Malaysia yang bekerja pada hari ini adalah terdiri daripada kira-kira 80% mereka yang mendapat pendidikan sehingga Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja ataupun dengan andaian yang lain ialah mereka menggunakan sijil ini bagi mendapatkan pekerjaan.

Dengan keadaan demikian, maka kita menjangkakan ramai golongan ini terdiri daripada mereka yang menerima gaji dan upah yang rendah pada peringkat permulaan. Maka tidak hairanlah 40% isi rumah termiskin hanya memperoleh hampir satu per tujuh daripada kumpulan 20% isi rumah terkaya yang mencecah RM 9,987 sebulan pada 2009.

Dari situasi ini, kita dapat menyimpulkan ramai memilih untuk bekerja pada usia lebih muda dan dengan tahap pendidikan minimum atas sebab-sebab tertentu. Penghijrahan ke kota besar menjadi tarikan selepas persekolahan manakala pendidikan tinggi tidak menjadi keutamaan.

Walaupun terdapat banyak dasar kerajaan yang membantu terutama kepada golongan kurang berkemampuan mendapat pendidikan hingga pada tahap minimum (SPM), hakikat ini nampaknya tidak lagi sesuai diteruskan memandangkan negara ke arah menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Maka penekanan kepada tahap pendidikan dan kemahiran yang lebih tinggi harus ditambah dan diberi perhatian dalam dasar-dasar pendidikan kerajaan sedia ada.

Matlamat pendidikan, kemahiran juga bantuan pendidikan disediakan perlu disampaikan kepada ibu bapa terutama yang terdiri daripada keluarga berpendapatan rendah dan memiliki tahap pendidikan rendah untuk tidak menggalakkan anak-anak meninggalkan pelajaran pada peringkat selesai peperiksaan utama.

Jika perkara ini tidak dilakukan, kita akan melihat kitaran rakyat yang bekerja menggunakan SPM ini akan berlanjutan selama bertahun-tahun akan datang dengan upah yang rendah.

Usia muda bersama upah dan kemahiran yang rendah tidak menggalakkan aktiviti perbelanjaan yang sihat. Pembelian hanya dapat dilakukan kepada jenis barangan tertentu dan tidak meluas. Begitu juga dengan aspek pelaburan dan simpanan hanya dapat dilakukan dengan terhad dan kadang-kala tiada langsung.

Terdorong dengan aliran semasa, generasi muda akan mengunakan kemudahan tertentu seperti pembelian secara kredit bagi memenuhi keperluan dan bukan lagi hanya keinginan dan kehendak seperti yang sering perkatakan. Maka lahirlah semakin ramai 'jutawan hutang' dalam era menuju wawasan 2020 kelak.

Masalah ini seterusnya membawa kepada kesukaran kepada pihak pemerintah untuk memperkenalkan perubahan dalam aspek pentadbiran ekonomi negara kerana secara tidak langsung akan memberi kesan yang besar kepada golongan yang menerima pendapatan rendah ini.

Rakyat yang terkesan sudah pasti akan menuntut agar tiada beban dikenakan terhadap mereka lantaran kos sara hidup semakin meningkat dengan gaji yang diterima masih lagi rendah, akhirnya membawa kepada cadangan penetapan gaji minimum.

Walaupun disambut baik oleh ramai pihak, penetapan gaji minimum tidak boleh dilihat sebagai satu-satunya cara bagi menangani masalah peningkatan kos sara hidup.

Sebaliknya, kita memerlukan pelan jangka panjang mengatasi masalah kenaikan kos sara hidup dengan memberi tumpuan kepada peningkatan kemahiran dan pendidikan pekerja dan kesediaan majikan memberi upah setimpal dengan kemahiran dan tidak mencari jalan lain seperti menggunakan buruh asing bagi mendapatkan kos paling murah.

Penetapan gaji minimum dengan disertai tahap pendidikan dan kemahiran yang tidak setara dikhuatiri memberi kesan buruk kepada ekonomi begitu juga kepada golongan berpendapatan sederhana yang selama ini tersepit di celah mereka yang begitu tinggi gajinya dengan golongan berpendapatan rendah yang menerima upah hampir dengan mereka.

Bezanya, golongan sederhana ini memiliki sedikit kelebihan dari sudut taraf pendidikan dan kemahiran berbanding dengan golongan berpendapatan rendah.

Kecelaruan sistem ekonomi begini tidak akan memberikan kesan baik kepada masyarakat pada masa akan datang. Malah dikhuatiri semakin ramai anak-anak muda memilih untuk meninggalkan peluang menyambung pendidikan di tahap lebih tinggi disebabkan tawaran penetapan gaji minimum ini.

Sinonimnya golongan miskin atau kurang berkemampuan ini dengan upah yang rendah membawa kita kepada hakikat sesuatu perlu dilakukan bagi membantu mereka menghadapi peningkatan kos sara hidup yang semakin meningkat. Kekurangan dari segi material ini tidak hanya memberi kesan kepada aspek ekonomi namun turut memberi kesan spiritual kepada mereka yang mengalaminya.

Maka tidak hairanlah jika kita melihat banyak permasalahan sosial dialami oleh masyarakat ini dan mudahnya mereka dimanipulasi dan diambil kesempatan walaupun melibatkan soal akidah disebabkan masalah ini.

Negara berpendapatan tinggi adalah juga negara yang mempunyai rakyat dan pekerja yang berkemahiran tinggi. Justeru, penekanan kepada tahap pendidikan dan kemahiran lebih tinggi adalah cara yang tepat bagi mengatasi masalah kos sara hidup yang semakin meningkat.

Jika tidak, kita akan terus melihat 20% kumpulan isi rumah terkaya mengalami pertumbuhan pendapatan yang menggalakkan manakala 40% kumpulan isi rumah termiskin yang terdiri sebahagiannya dari 80% jumlah pekerja berkelulusan SPM ini terus mengalami pertumbuhan pendapatan yang perlahan.

JK: Jika kita tak ubah diri kita sendiri,siapa lagi?