Monday 17 October 2011

50,000 kunjungi Halfest 2011

KUALA LUMPUR 16 Okt. - Seramai 50,000 orang pengunjung telah melawat Halal Fiesta Malaysia (Halfest) 2011 yang diadakan dari 12 Oktober hingga 16 Oktober di Pusat Dagangan Dunia Putra.

Pegawai Perhubungan Awam Shapers Malaysia Sdn. Bhd., Liyana Abdul Rahman berkata, bilangan pengunjung begitu membanggakan walaupun ia merupakan acara julung kali diadakan.

Menurutnya, Halfest agak berbeza dengan ekspo-ekspo lain kerana ia menampilkan pameran produk yang diiktiraf halal dalam kehidupan sambil menonjolkan produk-produk buatan syarikat industri kecil dan sederhana tempatan.

"Sebanyak 600 ruang pameran melibatkan 500 syarikat tempatan menyertainya.
"Di samping pameran, turut diadakan program demonstrasi masakan bersama Chef Zam dan Master Chef Noordin Ahmad serta penampilan istimewa ikon industri muzik, Datuk Siti Nurhaliza yang hadir sebagai usahawan produk SimplySiti.

Pada hari ini, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut hadir melawat pameran dan menyaksikan pertunjukan fesyen muslimah yang diadakan sempena hari terakhir Halfest tersebut.

Ceburi perniagaan bernilai tinggi

ORANG ramai mengunjungi Ekspo Halal Fiesta Malaysia 2011 di PWTC yang akan berakhir hari ini.

KUALA LUMPUR 15 Okt. - Usahawan bumiputera disaran mempelopori bidang-bidang perniagaan bernilai tinggi seperti nanoteknologi, bioteknologi, dan teknologi maklumat bagi melonjakkan lagi kemampuan mereka bersaing di pasaran terbuka.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, buat masa ini minat usahawan bumiputera untuk menceburi perniagaan dalam bidang tersebut masih rendah walaupun ramai menyedari ia memberi pulangan tinggi.

"Saya mengharapkan usahawan bumiputera menceburi bidang-bidang baru yang bernilai tinggi kerana sehingga kini penglibatan usahawan bumiputera dalam bidang seperti nanoteknologi, bioteknologi dan teknologi maklumat masih rendah," katanya semasa berucap pada majlis makan malam gala Halfest dan Anugerah Usahawan Mara (AURA) 2011 di sini, malam ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Mara, Datuk Seri Idris Jusoh.
Anugerah AURA menawarkan lima kategori meliputi Usahawan Korporat, Tekno Usahawan, Usahawan Pembuatan, Usahawan Peruncitan dan Usahawan Wibawa.

Kategori Usahawan Korporat yang menawarkan wang tunai RM30,000 beserta plak dan sijil dimenangi oleh syarikat Nor Alfa Holding Sdn. Bhd.

Sementara bagi kategori Tekno Usahawan dimenangi oleh Mysysnet Sdn. Bhd.; Usahawan Pembuatan (Pearl Haya Sdn. Bhd); Usahawan Peruncitan (Oli Collection Sdn. Bhd.) dan Usahawan Wibawa (Adhwa Enterprise).

Masing-masing menerima wang tunai RM20,000.
Halfest diadakan buat julung kali bermula 12 Oktober lepas dan akan berakhir esok. Ekspo selama lima hari itu menyaksikan lebih 600 ruang pameran dibuka membabitkan usahawan industri kecil, sederhana dan syarikat besar yang mempunyai sijil halal mempamerkan produk masing-masing.

Ia merupakan sebuah ekspo pesta halal yang diwujudkan untuk memperkukuh dan merangsang industri halal tempatan sebelum melangkah ke pasaran global.

Dalam pada itu, Mohd. Shafie menyeru kepada Mara dan agensi kerajaan lain supaya mempergiatkan lagi usaha membangunkan masyarakat bumiputera yang masih ketinggalan jauh berbanding pencapaian kaum lain dalam aspek ekonomi.

Katanya, sehingga kini, laporan yang dikeluarkan Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MTEN) menunjukkan 40 peratus isu rumah di Malaysia berpendapatan di bawah RM1,500 sebulan dan daripada jumlah tersebut, 70 peratus adalah golongan bumiputera.

Jutawan Ekspress Mutiara - tiada hasrat lupus harta

KOTA BAHARU 16 Okt. - Seorang jutawan hari ini membuat aku janji di Mahkamah Tinggi Syariah di sini yang beliau sama sekali tidak berhasrat untuk menukar, menjual atau melupuskan harta milik sepencarian bersama arwah isterinya seperti yang dituntut 11 orang anaknya.

Che Ibrahim Che Ismail, 56, yang merupakan pemilik syarikat bas Ekspres Mutiara membuat aku janji itu di hadapan Hakim Abu Bakar Abdullah Kutty setelah mahkamah mahukan kepastian seperti dalam tuntutan anak-anak jutawan itu.

"Saya tidak berhasrat untuk memindah milik harta-harta berkenaan sebaliknya mahu membangunkan lagi di tanah yang ada (bagi tujuan pembangunan)," kata Che Ibrahim.

Ketika ditanya Abu Bakar apakah pembangunan yang mahu dilakukan akan menjadikan nilai hartanah itu terus bertambah, Che Ibrahim berkata: "Ya diyakini nanti akan terus bertambah". Pada prosiding itu anak-anak Che Ibrahim diwakili anak sulung Khalilullah, 31 dan anak keempatnya, Khairul Anam, 26, yang kesemua mereka menuntut satu perintah interim secara exparte bagi menghalang bapa mereka daripada melakukan sebarang transaksi terhadap harta sepencarian milik ibu mereka itu.

Tanpa diwakili peguam syarie, Khairul Anam ketika berhujah berkata kesemua harta berkenaan adalah milik sepencarian bersama arwah ibu mereka iaitu Paizah Mohd. Yusoff yang telah meninggal dunia pada 2008 akibat kemalangan jalan raya, empat tahun sebelum itu.

"Harta-harta ini adalah harta sepencarian bersama arwah ibu kami dan kami juga mempunyai hak ke atas harta-harta berkenaan," katanya.

Abu Bakar, selepas mendengar aku janji Che Ibrahim yang diwakili peguam syarie Mohd. Alawi Mohd. Rosid kemudiannya turut bertanya kepada Khairul Anam apakah mereka berpuas hati dengan aku janji berkenaan dan Khairul Anam berkata mereka bersetuju dan meminta mahkamah merekodkan keterangan itu serta mengambil tindakan jika bapa mereka melanggar akuan itu.

Selain Khalilullah dan Khairul Anam, sembilan lagi anak-anak Che Ibrahim bersama arwah isterinya yang turut dinamakan sebagai plaintif ialah Tamtini, 30; Amalina, 29; Khairul Azhan, 28; Khairul Adnin, 24; Salsabila, 20; Siti Nahwan, 18; Muhammad Atifuddeen, 16; Muhammad Amar, 11, dan Nurul Aufa, 13.

Abu Bakar selepas itu memutuskan agar Che Ibrahim berpegang kepada aku janji berkenaan dan sebarang keputusan lain yang mahu dilakukan, jutawan itu perlu mendapat kebenaran daripada mahkamah itu.

Pada 2 Oktober lepas, kesemua anak jutawan itu memfailkan tuntutan terhadap Che Ibrahim menuntut harta sepencarian dipercayai bernilai jutaan ringgit milik ibu mereka.

Mereka selaku plaintif menuntut harta berkenaan bermula dari tarikh perkahwinan arwah dengan Che Ibrahim pada 22 Februari 1979 sehingga ibu mereka meninggal dunia pada 24 September 2008.

Kes itu bagaimanapun akan didengar di mahkamah yang sama pada 22 November. - BERNAMA