Saturday 7 June 2014

5 Tip/Rahsia Mudah Berniaga Produk Secara Online

Salam sejahtera... Lama admin tak jenguk blog ni. Harap pelawat dan follower blog ni sihat semua. Ok, admin tak pandai nak celoteh panjang, harini admin nak cerita tip atau pun rahsia berniaga secara online. Ini dari pengalaman admin sendiri dan study pon dulu memang dalam bidang IT, dari KPTM hinggalah UiTM termasuklah kerja 5-6 tahun. Pernah jual online hanya 1 produk hingga ratusan ribu jualan setahun melebihi jualan walk in customer di stokis dan service center. Berikut adalah tip-tip nya:

1-Kekuatan produk
2-Beri akses dan kemudahan
3-Bina keyakinan pelanggan dan servis
4-SEO
5-Pemasaran/iklan

Kekuatan produk maksudnya produk mampu dijual, beli, mudah. Contoh produk pelangsingan. Harga rendah sekitar RM50-RM400. Produk mudah di pos, kos pos yang rendah, produk tidak mudah pecah, dsb. Pelanggan yang malu, sibuk boleh terus beli online. Harga produk perlu munasabah dengan laman web anda. Jangan terlalu mahal. Kalau produk harga RM3k nak jual dekat blog free blogspot, memang tak munasabah. Kalau produk harga 13k juga tak munasabah untuk jual secara online tanpa tanpa berjumpa dan bertulis.

Akses dan kemudahan maknanya medium untuk pelanggan merujuk maklumat, membuat pembelian seperti laman web berbayar seperti lamananda.com mahupun free macam lamananda.blogspot.com serta sokongan media sosial seperti Facebook. Penjelasan mengenai produk dan cara pembelian hendaklah jelas. Proses pembelian pula perlulah mudah, jangan sampai pelanggan fedup kena isi form terlalu banyak. Ada FAQ atau soalan biasa ditanya tersedia di laman web anda.

Bina keyakinan pelanggan boleh dibuat dalam pelbagai kaedah seperti nyatakan rekod pembelian sedia ada di laman web anda (nama, tracking no, etc), sediakan laman untuk soal jawab pelanggan bukannya testimoni yang direka-reka, daftar laman web anda di Persatuan Usahawan Internet Malaysia(PUIM) dan dapatkan batch, nyatakan nama syarikat anda jika berdaftar, guna akaun bank syarikat jika ada, sediakan pelbagai medium untuk dihubungi seperti telefon, sms, whatapp, fb, email, message form dsb. Servis atau respon perlu baik, tepat dan cepat. Perlu tahu 200% maklumat produk untuk berikan servis yang baik. Jangan biar pelanggan menunggu jawapan terlalu lama.

SEO atau Search Engine Optimization ataupun memudahkan carian enjin pelayar seperti Google, Bing, Yahoo dsb. SEO termasuklah url atau address setiap laman anda, labels, tags, headings, meta tag, image title, image alt, dsb. SEO ini menentukan ranking atau ketepatan carian pengguna di enjin carian. SEO yang baik membolehkan laman anda berada di carta teratas atau pon di muka pertama carian.

Pemasaran atau iklan ada pelbagai cara. Cara mudah dan terbukti berkesan ialah menggunakan Google Adwords. Bayaran minima untuk menggunakan adwords ini ialah RM40. Bayaran boleh dibuat secara online debit menggunakan kad atm Maybank anda. Jumlah ini akan di topup di dalam akaun adwords anda dan ditolak biasanya mengikut klik atau pay per click(PPC). Setkan seminima mungkin seperti 0.02 - 0.05 sen per klik bagi setiap keyword atau lebih kurang RM4.00 untuk 200 klik.

Penjelasan ini hanya secara ringkas serta sedikit contoh. Jika anda dah buat semua tip ini tetapi tiada jualan atau  jualan sangat rendah, maklumkan kepada saya, insyallah saya boleh bantu. Atau anda tidak faham mana-mana tip ini sila komen di bawah. Selamat maju jaya dari saya.

Monday 24 October 2011

Perdagangan dengan Jerman tidak terjejas


KUALA LUMPUR 23 Okt.- Perdagangan dua hala di antara Malaysia dan Jerman dijangka tidak terjejas walaupun negara tersebut terletak di zon Eropah yang sedang hebat dilanda krisis ketika ini.

Pengurus Besar Dewan Perniagaan dan Industri Malaysia-Jerman, Thomas Brandt berkata, persekitaran ekonomi Jerman masih baik dan merupakan salah satu negara di Eropah yang masih stabil walaupun berdepan dengan situasi sukar ketika ini.

" Saya tidak ada mempunyai statistik yang lengkap namun ekonomi Jerman masih lagi tumbuh dan kami masih lagi mengeluarkan peralatan-peralatan baharu yang berteknologi tinggi," katanya kepada Utusan Malaysia ketika diminta mengulas sama ada angka perdagangan dua hala di antara kedua-dua negara akan merosot disebabkan oleh krisis ekonomi global ketika ini.

Perdagangan dua hala di antara Malaysia-Jerman berjumlah AS$12 bilion (RM37.2 bilion) pada tahun lalu dengan eksport ke negara tersebut adalah AS$5.4 bilion (RM16.74 bilion) ataupun 25.3 peratus daripada eksport Malaysia ke Kesatuan Eropah (EU). Ia sekali gus menjadikan Jerman sebagai pasaran eksport kedua terbesar di EU.

Jerman juga adalah sumber import terbesar Malaysia di kalangan negara anggota EU dengan nilai AS$6.6 bilion (RM20.46 bilion) atau 39.4 peratus daripada keseluruhan import.

Tahun lalu, syarikat-syarikat Jerman telah melabur AS$5.2 bilion (RM16.12 bilion ) bagi melaksanakan 339 projek terutama di dalam elektrik dan elektronik, kimia dan produk kimia, petroleum dan produk petroleum, produk asas besi, jentera dan peralatan.

Menurut Brandt, selain itu, kerjasama kedua-dua negara turut meneroka pasaran teknologi hijau dan terbaru adalah pembuatan roti.

"Jerman terkenal dengan penghasilan peralatan dan jentera yang canggih termasuklah mesin pembuat roti, jadi kami menjemput usahawan-usahawan Malaysia untuk melihat sendiri dan belajar mengenainya," ujar beliau lagi.

Tambah Brandt, usahawan tempatan perlu lebih banyak ke luar negara untuk mencari peluang perniagaan, mendapatkan idea-idea baharu dan belajar mengenai teknologi terkini untuk digunakan di Malaysia berbanding mengambil sikap menanti peluang tersebut datang kepada mereka.

Malah Brandt turut menjemput usahawan-usahawan Malaysia terutama yang terlibat di dalam pembuatan roti dan bakeri supaya menghadiri pameran perdagangan antarabangsa untuk roti dan kek, IBA 2012 di Munich, Jerman September tahun depan.

Menurut beliau, perkembangan positif industri itu di Malaysia seharusnya menjadi pendorong kepada pengusaha tempatan untuk menambah pengetahuan dan memperolehi idea yang lebih baik serta unik bagi mengukuhkan lagi pertumbuhannya.

"Mereka boleh belajar daripada Jerman kerana industri roti dan kek di sana sudah maju dan menggunakan peralatan terkini yang mampu meningkatkan kapasiti serta dijamin lebih bersih," katanya.

Tahun lalu, industri bakeri Jerman merekod keseluruhan jualan sebanyak 12.93 bilion euro (RM55.46 bilion) dengan 14,594 perniagaan di samping menyediakan 293,300 pekerjaan.

MyAgrosis manfaat kawasan tanah terbiar dalam IPTA


24/10/2011 4:46pm

SUNGAI PETANI 24 Okt. – Kelab Usahawan Siswazah Tani (MyAgrosis) akan memanfaatkan kawasan tanah kosong atau terbiar dalam kawasan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dengan aktiviti pertanian secara ladang kontrak.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, buat permulaan, kelab akan menumpukan kepada tanaman pelbagai sayuran seperti yang disarankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kita nak gunakan tanah terbiar sebab sekarang di negara kita 60 peratus sayur ditanam di tanah setinggan (tidak kekal) dan tidak ada tanaman sayur secara ladang. Macam di UiTM (Universiti Teknologi Mara) Merbok ini ada 170 ekar (68.8 hektar) tanah kosong.

"Kalau dirancang dengan baik, ia boleh jadi ladang kontrak sekali gus menampung masalah bekalan sayur dari negara jiran,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Kelab MyAgrosis Kedah, di UiTM Merbok dekat sini hari ini.

Beliau berkata, buat permulaan, sebanyak RM34 juta diperuntukkan bagi menjayakan projek itu, iaitu RM10 juta masing-masing disediakan Agrobank dan Tekun Nasional, manakala RM14 juta lagi oleh kerajaan yang diumum menerusi Belanjawan 2012 bagi program ladang kontrak. – Bernama

90 peratus peminjam TEKUN di Kedah bayar balik pinjaman


ALOR SETAR 23 Okt. - Sikap bertanggungjawab para peminjam Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) di negeri ini semakin meningkat apabila kira-kira 90 peratus daripada mereka berjaya melangsaikan pinjaman mengikut jadual ditetapkan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, jumlah peratusan itu sekali gus menjadikan negeri ini berada pada kedudukan tertinggi membayar balik pinjaman untuk tiga bulan berturut-turut mulai Julai lalu.

Beliau berkata, sikap berkenaan memudahkan peminjam membuat pinjaman susulan selain membantu TEKUN mendapat pusingan modal mencukupi untuk diberikan kepada pemohon lain.

"Saya berharap peniaga dapat mengekalkan sikap membayar balik pinjaman mengikut jadual manakala mereka yang masih gagal berbuat demikian perlu lebih bertanggungjawab.

"Sikap liat membayar hutang hanya menyusahkan termasuk kepada usahawan kecil lain yang memerlukan bantuan tabung ini untuk mengembang atau memulakan perniagaan," katanya selepas merasmikan program Juara Rakyat (Karnival Pertanian) Parlimen Alor Setar di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA Tajar di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Datuk Abdul Rahim Salleh dan Pengurus TEKUN Kedah, Mohamad Saidi Azizan.

Menurut Ahmad Bashah, TEKUN mengeluarkan pinjaman sebanyak RM22.7 juta kepada 2,364 usahawan di negeri ini sejak Januari hingga 31 Ogos lalu bagi membantu mereka menjalan atau mengembangkan perniagaan.

Katanya, jumlah pinjaman yang diberikan itu melepasi sasaran iaitu RM16 juta bagi tahun ini dan pembiayaan masih diteruskan.

"Secara keseluruhan, sebanyak 18,161 peniaga negeri ini dibantu melalui pembiayaan TEKUN berjumlah RM162.33 juta sejak 1998," ujar beliau.

Sementara itu, Mohamad Saidi memberitahu, pihaknya mengambil pelbagai pendekatan baru dalam usaha memastikan para peminjam TEKUN lebih bertanggungjawab dalam melunaskan hutang masing-masing secara berterusan dan mengikut jadual.

Antaranya kata beliau, ialah dengan memperbanyakkan program turun padang dan kesedaran selain memberi khidmat nasihat serta mendekati peniaga secara terus.

RM20j majukan industri kraf

MUSA Aman (dua dari kiri) bertanya sesuatu kepada Harman Mohammad
mengenai satu ukiran kayu di Dewan Masyarakat Tawau, kelmarin.

TAWAU 23 Okt. – Kerajaan negeri akan terus komited membangunkan industri kraf tangan di negeri ini dengan memanfaatkan peruntukan RM20 juta yang disalurkan oleh kerajaan Persekutuan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, industri itu akan dipastikan dapat bergerak seiring dengan hala tuju negeri yang memfokuskan kepada sektor pertanian, pembuatan dan pelancongan.

“Bagi mencapai hasrat itu, kerajaan kini giat membina Pusat Kraftangan Sabah di Keningau di bawah Koridor Pembangunan Sabah (SDC).”

“Apabila pusat itu siap kelak ia bakal menjadi pusat pemprosesan dan pengumpulan kraf tangan berteknologi terkini yang berkualiti secara lebih efisien,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Kraftangan Peringkat Zon Pantai Timur Selatan anjuran Kumpulan Yayasan Sabah di Dewan Masyarakat Tawau di sini, semalam.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulabayan, Datuk Harman Mohammad.

Tambah Musa, kerajaan juga giat memajukan program pembangunan usahawan kraf tangan di bawah konsep Satu Daerah Satu Industri yang bermatlamat melahirkan lebih ramai usahawan dan meningkatkan nilai jualan produk kraf tangan.

Katanya, ia amat tepat memandangkan Sabah direkodkan sebagai negeri yang memiliki pengusaha kraf tangan paling ramai di negara ini iaitu 2,182 orang pada tahun lalu.

Sunday 23 October 2011

JCorp tawar peluang jadi usahawan


BATU PAHAT 20 Okt. - Kumpulan Johor Corporation (JCorp) menerusi syarikatnya Usahawan Bistari Ayamas Sdn. Bhd. (UBASB) menawarkan peluang menjadi usahawan pada Karnival Kerjaya Perniagaan dan Kemahiran (Kepak 2011) di Dewan Jubli Intan di sini bermula hari ini.

Syarikat itu mengadakan program Pembangunan Usahawan Bistari dengan tumpuan diberikan kepada suri rumah tangga, ibu tunggal dan mereka yang berminat untuk menambah pendapatan di kampung, rumah pangsa, tanah rancangan seperti Felda dan kawasan bandar.

Eksekutif Jualan dan Pemasaran UBASB, Aishah Lin Abdullah berkata, pemohon yang dipilih menyertai program itu akan menjadi usahawan jualan keluaran Ayamas termasuk produk pek jimat yang tidak dipasarkan di tempat lain termasuk pasar raya atau kedai.

Menerusi program itu, usahawan akan dibekalkan dengan sebuah peti sejuk beku dan sebuah rak pameran malah produk akan dihantar terus ke rumah peserta oleh pengedar produk Ayamas sekali gus dapat membantu mengatasi masalah pengangkutan bagi golongan kurang berkemampuan.

Katanya, sehingga kini 80 peratus peserta program usahawan itu terdiri daripada individu dengan pendapatan isi rumah di bawah RM2,500 yang berdaftar dengan portal e-kasih dan selebihnya ialah usahawan yang mengeluarkan modal sendiri.

"Bagi yang berpendapatan rendah, mereka tidak perlu mengeluarkan modal kerana ia dibiayai geran Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Tenaga Kerja dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

"Mereka yang bukan berpendapatan rendah juga boleh menyertai program ini tetapi perlu menyediakan modal sebanyak RM3,000," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia sempena Kepak di sini.

Karnival anjuran kerajaan negeri selama empat hari bermula hari ini yang berlangsung di Dewan Jubli Intan itu menawarkan pelbagai peluang pekerjaan, perniagaan dan latihan kemahiran kepada orang ramai termasuk orang kelainan upaya (OKU), ibu tunggal dan golongan miskin.

Aishah Lin berkata, UBASB akan memantau perkembangan usahawan tersebut dari pelbagai aspek termasuk kebersihan, kemesraan terhadap pelanggan, kreativiti pemasaran, pengurusan stok dan pengurusan kewangan.

Orang ramai yang berminat menyertai program usahawan itu boleh mengunjungi gerai UBASB pada Kepak atau menghubungi Eksekutif Pembangunan UBASB, Elly Noisna Abu di talian 017-7882726.

Sementara itu, seorang usahawan, Fatimah Abdul Kadir, 42, berkata, program usahawan yang disertainya sejak 2009 banyak membantu meningkatkan pendapatan keluarganya.
Utusan Malaysia adalah media rasmi Kepak 2011.

Syarikat Malaysia ke Lembah Silikon


KUALA LUMPUR 20 Okt. - Impian untuk melihat syarikat Malaysia beroperasi di Lembah Silikon, San Francisco, Amerika Syarikat mendorong Dhakshinamoorthy Balakrishnan mengasaskan satu inisiatif unik yang tidak bermotifkan keuntungan, StartupMalaysia.org.

Menurut Dhakshinamoorthy yang lebih mesra disapa Dash, StartupMalaysia.org menyediakan latihan pendidikan dan mentor di dalam bidang keusahawanan selain memberi peluang kepada usahawan tempatan untuk mendapatkan pendedahan di Lembah Silikon.

Malah syarikat juga berpeluang memperolehi pembiayaan daripada pelabur antarabangsa.
" Sejak dari dulu lagi, saya sangat teruja apabila berada di Lembah Silikon bagaimanapun peluang ini tidak dapat dinikmati oleh ramai usahawan yang lain.

"Disebabkan itulah saya bersama rakan kongsi menganjurkan simposium 'Lembah Silikon Hadir Ke Malaysia' dengan membawa nama-nama besar dari sana untuk berkongsi pengalaman mereka," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Jelas Dash, persidangan dua hari yang berakhir esok itu menghimpunkan lebih 1,200 peserta daripada lebih 800 syarikat dan perusahaan di seluruh Malaysia.

Ia turut mengundang 16 speaker yang juga pakar industri bertaraf global dan sebahagian daripada mereka adalah nama-nama besar di Lembah Silikon untuk berkongsi pengalaman serta mendengar idea-idea bernas yang bakal dibentangkan oleh usahawan tempatan.

Antara speaker yang hadir adalah pengasas bersama YouTube, Jawed Karim, pengasas bersama, Linkedln, Konstantin Guericke, pengasas bersama DipDive.com, Steve Koskie dan pengasas AngelList, Naval Ravikant.

Menurut Dash, StartupMalaysia.org menjangkakan 10 usahawan tempatan akan terpilih untuk memulakan perniagaan atau sekurang-kurangnya berjaya di peringkat mendapatkan pembiayaan di Lembah Silikon dalam tempoh 18 bulan lagi.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan butiran lanjut mengenai syarikat-syarikat terbabit kerana ia masih di dalam proses pemilihan.

Tambahnya, syarikat-syarikat tersebut tidak hanya bergantung kepada kerajaan sahaja untuk mendapatkan pembiayaan bagi memulakan perniagaan.

" Kami tidak bimbang mengenai pembiayaan apa yang penting adalah idea perniagaan yang bernas.

Apabila mereka berjaya melontarkan idea bernas dan menyakinkan pastinya pembiayaan akan datang dengan sendirinya sama ada melalui 'angel', firma modal teroka dan juga kerajaan namun ketika ini kami lebih suka untuk melihat firma-firma swasta yang menghulurkan pembiayaan dan barulah diikuti oleh kerajaan," katanya.