Tuesday 4 October 2011

Lipat ganda industri pertanian – TPM

MUHYIDDIN Yassin melihat replika buah nenas sambil diiringi Noh Omar (kanan) pada Majlis Perasmian Kompleks Bimbingan Usahawan Tani Pagoh di Muar, Johor, semalam. – MINGGUAN/ISHAK RAHMAD
 
PAGOH 1 Okt. – Peranan industri pertanian perlu dilipatgandakan bagi menjamin keselamatan bekalan makanan negara dalam menghadapi zaman mencabar masa ini, bukan sahaja di peringkat nasional malah antarabangsa.


Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sehubungan itu berkata, penggiat industri tani perlu lebih fokus dalam mengeluarkan hasil pertanian yang mampu menampung permintaan negara yang semakin bertambah.

“Soal jaminan keselamatan bekalan makanan adalah agenda nasional dan antarabangsa. Oleh kerana itu, peranan yang lebih penting ini perlu dimainkan oleh golongan nelayan, petani dan usahawan tani.

“Di Malaysia dan di tempat lain, kita masih belum berjaya memenuhi 100 peratus keperluan dalam negara. Selagi tidak mencukupi, selagi itu soal jaminan keselamatan makanan menjadi isu besar,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Kompleks Bimbingan Usahawan Tani Pagoh, di sini hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Ab. Aziz Kaprawi dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Hashim Abdullah.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut menyampaikan geran dan bantuan pertanian bernilai RM9.4 juta kepada 366 petani dan usahawan tani di daerah Muar di samping melapangkan masa melawat kompleks bimbingan tersebut.

Sementara itu, Noh berkata, Kompleks Bimbingan Usahawan Tani bernilai RM23.8 juta itu dibina di kawasan berkeluasan enam hektar dan telah beroperasi sejak Februari lalu bagi menawarkan kursus, aktiviti pemasaran serta bimbingan teknologi terkini.

Katanya, antara agensi yang beroperasi di kompleks itu adalah Jabatan Pertanian, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), Lembaga Pemasaran Pertanian Pesekutuan (FAMA) serta Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).

No comments:

Post a Comment