Tuesday 18 October 2011

Afa Foods ingin tembusi pasaran luar negara

Gambar hiasan

AFA Foods Sdn Bhd (Afa Foods), syarikat pengeluar produk teh sedia diminum dan kacang panggang optimis mampu menembusi pasaran China, Korea dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menjelang hujung tahun ini.

Pengurus Besarnya, Aziun Khalilah Haron berkata, produk utama keluarannya, Afa Delight Instant Tea mendapat perhatian pengguna di pasaran tiga negara itu sejak dibawa menyertai ekspo perdagangan antarabangsa di beberapa negara termasuk di United Kingdom.

“Produk ini mula dikeluarkan pada awal tahun hasil kerjasama dengan Technology Park Malaysia. Dua perisa dihasilkan iaitu Milk Tea dan Jasmine Tea dan kini lebih menumpukan pasaran di sekitar Pulau Pinang.
“Apabila melihat sambutan menggalakkan,, syarikat bercadang mengeluarkan dua lagi perisa iaitu Black Tea dan Green Tea,” katanya kepada Bisnes Metro.

Katanya, sehingga hujung tahun ini dijangkakan Afa Foods mampu memperoleh pendapatan sehingga RM300,000 bersandarkan permintaan tinggi Milk Tea dan Green Tea.

“Bagi pasaran tempatan, syarikat ingin mencari lebih ramai pengedar dengan menawarkan sehingga 30 peratus keuntungan daripada jualan Afa Delight Instant Tea yang dijual pada harga antara RM13 dan RM15 sekotak.

“Selain itu, produk terbaru dikeluarkan oleh syarikat ialah Afa Delight Oven Baked Nuts yang mempunyai tiga perisa iaitu kayu manis, bawang putih dan pedas. Afa Delight Oven Baked Nuts juga akan dibawa ke pasaran luar negara pada penghujung tahun ini bagi mencuba penerimaannya di luar negara,” katanya.

Aziun berkata, produk teh keluarannya mempunyai kualiti tinggi mampu membantu meningkatkan kesihatan pengguna seperti mengawal lemak dalam badan, awet muda, membuang toksid dalam badan dan mencegah kanser. Orang ramai yang berminat untuk menjadi pengedar boleh menghubungi beliau melalui e-mel afasmsb@gmail.com untuk keterangan lanjut.

BSN rancang lantik pekedai ejen bank


BANK Simpanan Nasional (BSN) akan melantik ejennya di kalangan pekedai untuk melakukan transaksi perbankan dalam usaha memberikan perkhidmatan perbankan di kawasan luar bandar.

Naib Presiden Kanannya Azaddin Ngah Tasir berkata, model itu yang dilaksanakan pada tahun depan selaras ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam Belanjawan 2012 untuk menggalakkan syarikat berkaitan kerajaan meluaskan perkhidmatan kepada penduduk di luar bandar.

Katanya melalui model itu pihaknya melantik ejen di kalangan kedai runcit yang boleh melakukan transaksi bank seperti pengeluaran dan simpanan wang, pembayaran bil dan pembelian sijil simpanan premium.

Menurutnya, penduduk yang menjadi pelanggan BSN juga boleh menggunakan kad ATM untuk membeli barang di kedai runcit itu tanpa menggunakan wang tunai dengan pembelian dilakukan menggunakan konsep debit dari akaun mereka.

“Ini adalah komitmen kami kepada masyarakat untuk menyediakan akses perbankan tanpa mengira di mana mereka berada,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian BSN cawangan Beluran yang disempurnakan anggota Parlimen Beluran, Datuk Ronald Kiandee di Beluran, Sabah, Sabtu lalu.

Azaddin yang juga Ketua Perbankan Cawangan BSN berkata, ejen yang dikenal pasti akan diberi latihan sebelum dilantik dan di Sabah, pihaknya sudah mengenal pasti 130 ejen.

Beliau berkata, pelaksanaan model itu selari dengan peranan bank itu yang perlu beroperasi sebagai sebuah bank simpanan dan pada masa sama memenuhi mandat sosial yang diberikan kerajaan.

Pusat bisnes maya


PERBADANAN Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) terus berusaha membantu lebih ramai usahawan merancakkan perniagaan mereka apabila melabur RM1.5 juta bagi mewujudkan pusat perniagaan maya, Virtual Office (Vio) by PKNS di lokasi pertama di Shah Alam.

Pengurus Besarnya, Othman Omar berkata, pihaknya juga merancang membina beberapa lagi Vio by PKNS di sekitar Lembah Klang berikutan sambutan menggalakkan daripada usahawan dan bagi fasa pertama ini Vio by PKNS mampu memberi peluang kepada lebih kurang 300 usahawan yang masih mencari ruang pejabat dengan kadar sewa berpatutan.

“Modal RM1.5 juta itu tidak termasuk bangunan, tetapi lebih kepada penyediaan kemudahan dan infrastruktur. Malah, kami menawarkan pakej istimewa kepada usahawan selain membantu mereka membentuk jalinan niaga yang mantap serta peluang bertukar fikiran.

“Permintaan sangat menggalakkan dan lebih 55 syarikat pelbagai sektor seperti minyak dan gas, pembinaan, perundingan, firma guaman dan kewangan mendaftar manakala sebanyak 13 pejabat fizikal habis disewa dan kita akan menambah 12 unit lagi dalam tempoh terdekat ini,” katanya selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara PKNS dan Perdasama Selangor dan FAA Corporate Advisory Sdn Bhd di Shah Alam, semalam.

Hadir sama, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, Dr Yaakob Sapari, Pengarah Urusan FAA Group, Fawzi Abd Aziz dan Naib Presiden II Perdasama, Ami Mohd Salleh.

Vio by PKNS yang beroperasi di PKNS BizPoint Seksyen 7, Shah Alam adalah pusat perniagaan maya yang ditubuhkan Bahagian Pembangunan Usahawan PKNS sebagai alternatif bagi mereka yang ingin memiliki pejabat tanpa bajet tinggi. Othman berkata, Vio by PKNS dibahagikan kepada dua pakej iaitu Pejabat Korporat Maya dan Pejabat Eksekutif sesuai untuk mereka yang baru menceburkan diri dalam bidang perniagaan dan mempunyai bajet terhad.

“Pakej ini memberi pilihan kepada usahawan sama ada menyewa bilik pejabat atau menjalankan perniagaan secara maya, menggunakan semua kemudahan yang sudah disediakan seperti perkhidmatan pengurusan pejabat, khidmat penyambut tetamu, khidmat menjawab telefon dan faks, peti surat persendirian, pengurusan mel dan kurier serta turut dilengkapi tiga bilik mesyuarat, dua bilik perbincangan, dua ruang santai dan satu bilik lembaga,” katanya.

Usahawan wanita ke peringkat global


WANITA memang sudah lama dikenali sebagai tulang belakang gerakan keusahawanan di negara ini, sejak sebelum negara mencapai kemerdekaan lagi.

Namun, usahawan wanita dilihat masih sukar mencapai tahap perkembangan yang diharapkan kerana belum melangkah melangkaui perniagaan kecil dan sederhana.

Demi membawa usahawan wanita ke tahap lebih tinggi, Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera (Usahanita) akan mengorak langkah besar menonjolkan kemampuan wanita tempatan ke peringkat global.

Usahanita dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa, Himpunan Pengusaha Pribumi Indonesia (HIPPI) akan menganjurkan Konvensyen Antarabangsa Wanita Dalam Perniagaan Pertama (1WBC) bermula 25 hingga 27 Oktober ini di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Melaka.

Dengan tema 'Transformasi Perniagaan Wanita melalui Inovasi', isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor akan menyampaikan ucaptama dan merasmikan program tersebut yang akan menyediakan sebuah platform dan peluang untuk semua usahawan wanita seluruh dunia bertemu.

Program ini merupakan susulan daripada Memoradum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani di Bandung pada 28 Januari lalu antara Usahanita dan HIPPI dan dapat dilaksanakan dengan kerjasama HIPPI, Kerajaan Negeri Melaka dan juga Pusat Kecemerlangan untuk Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (CESMED).

Di samping memperakui peranan usahawan wanita yang telah banyak menyumbang kepada ekonomi negara dan juga kemakmuran keluarga, 1WBC akan membolehkan mereka berkongsi dan seterusnya menjalinkan kerjasama perniagaan dan jaringan perniagaan global.

Kira-kira 25,000 ahli Usahanita dan lebih 50,000 usahawan wanita seluruh dunia dijangka akan menerima manfaat secara langsung atau tidak langsung daripada aktiviti di pameran dagangan 1WBC, di samping berkongsi pengalaman, ilmu dan idea daripada ucapan panel persidangan dari seluruh dunia.

Antara negara yang akan turut serta memberi ucapan sepanjang konvensyen 1WBC termasuk dari Amerika Syarikat, Jerman, Hong Kong, Australia, Nepal, Indonesia, Brunei, Singapura, Afrika Selatan dan Filipina.

Para peserta 1WBC juga bertuah kerana berpeluang menghadiri sesi syarahan makan tengah hari bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada hari kedua persidangan.

Persidangan ini bukan sahaja akan mengambil kira usahawan tempatan dan antarabangsa malahan koperasi, akademia, pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), belia dan usahawan muda.

Selain majlis menandatangai MoU antara pihak-pihak yang akan bekerjasama, peserta juga berpeluang menyertai klinik perniagaan bersama agensi-agensi kerajaan berkaitan.

Pameran dagangan pula akan membolehkan para usahawan bukan sekadar mendengar, tetapi juga berinteraksi dengan pengusaha global dalam mencari bahan mentah atau yang sudah siap diproses, seterusnya diinovasikan dari secara pembungkusan dan pemasaran.

Presiden Usahanita Malaysia, Faridah A. Jabbar memaklumkan, sasaran penyertaan 1WBC semakin hampir dicapai dengan sekitar 500 peserta persidangan dan 200 pameran dagangan semakin dipenuhi usahawan wanita tempatan.

"Antara sasaran 1WBC adalah menyediakan landasan untuk peniaga dan usahawan bertemu dan berinteraksi, menjalin jaringan strategik di peringkat tempatan dan global serta mempelajari amalan terbaik dari satu sama lain.

"Mereka juga boleh mempamerkan barangan dan perkhidmatan berkenaan wanita di bawah satu bumbung bagi tujuan promosi serta mendorong kepada transaksi dengan usahawan atau pembeli dalam dan luar negara," jelasnya.

Beliau menegaskan, antara saaran paling penting yang mahu dicapai melalui 1WBC adalah untuk memperkasakan usahawan wanita supaya berpandangan jauh dan mempunyai cita-cita untuk meneroka dan menemui pasaran baru di peringkat global.

Tambahnya, inisiatif mengadakan konvensyen itu juga pasti dapat membantu merealisasikan hasrat Bajet 2012 yang ketara banyak akan membantu usahawan dan peningkatan kapasiti keusahawan terutamanya di kalangan wanita, usahawan mikro serta industri kecil dan sederhana (IKS).

"Tema untuk 1WBC diharap dapat melahirkan usahawan yang dapat menambah nilai dengan menceburkan diri atau memperkembangkan perniagaan mereka berlandaskan inovasi.

"Hasrat kerajaan untuk memperkasakan wanita melalui aktiviti keusahawanan juga sudah tentu dapat dicapai hasil 'limpahan' penganjuran program sebegini," ujarnya.

Menurutnya lagi, melalui tabung Amanah Ikhtiar Malaysia dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN), sudah tentu dapat mengurangkan beban akses kepada dana yang menjadi halangan tradisi bagi usahawan wanita memajukan perniagaan mereka.

"Bagaimanapun, kita berharap lebih banyak syarikat milik kerajaan (GLC) dan agensi berkaitan turut serta dan menaja program ini. Mungkin ada antara mereka yang belum nampak keistimewaan konvensyen 1WBC ini," katanya.

Penasihat 1WBC yang juga Setiausaha Majlis Perundingan Melayu (MPM), Dr. Hasan Mad pula berpendapat pihak penganjur persidangan tersebut telah mencapai kejayaan awal apabila dapat menarik penyertaan beberapa tokoh ternama termasuk bekas Tun Dr. Mahathir dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.

"Idea persidangan sebegini bukan berakhir di sini dan akan menjadi agenda dwitahunan negara-negara anggota dengan penganjuran berikutan pada 2013 akan berlangsung di Indonesia.

"Sebelum ini, program seperti 1WBC dianjurkan agensi-agensi kerajaan tetapi kali ini dianjurkan sendiri NGO yang mewakili usahawan wanita.

"Usahawan wanita perlu berbangga dengan kemampuan mereka dalam menjayakan 1WBC kerana ia merupakan satu tapak besar ke arah membawa mereka ke peringkat global.

Oleh itu, beliau berharap warga korporat dan agensi kerajaan berkaitan dapat memberi sokongan penuh terhadap menjayakan dan mencapai sasaran 1WBC agar menjadi platform terbaik untuk membentuk jaringan kerjasama usahawan wanita seluruh dunia.

Maklumat lanjut 1WBC boleh diperolehi dengan menghubungi sekretariat penganjur di talian 03-89416442, melalui e-mel 1wbc2011@gmail.com atau dengan melayari laman web www.usahanita.org.my.

Fasa pertama Funtasy Island siap 2013


FUNTASY Island Development Group, pemaju Resort Funtasy Island melabur jutaan ringgit yang tidak dinyatakan nilai sebenar bagi membangunkan pulau yang terletak di antara Malaysia, Singapura dan Indonesia. Fasa pertama pembinaan Funtasy Island yang mempunyai rekaan cantik dan vila eksklusif, Aqua Villas dijangka siap pada 2013.

Pengasas dan pencipta Funtasy Island, Michalel Yong berkata, projek yang dijangka dapat menarik minat pemilik hartanah dan pelancong dari seluruh dunia itu adalah kerjasama pelaburan perniagaan tiga pemegang saham dari tiga negara terbabit. “Jarak Malaysia dengan Singapura hanyalah 16 kilometer, sudah ada pelanggan yang terdiri daripada pelabur, pemilik hartanah dan pelancong menunjukkan minat terhadap projek ini.

“Tambahan pula kedudukan negara Asia yang berdekatan memberi keuntungan kepada pemegang saham dan awam dari segi logistik pembekalan, sokongan sumber manusia dan peluang lain. Kedudukannya juga membuka lebih banyak peluang aktiviti perniagaan seperti di Malaysia, Singapura dan Hong Kong,” katanya pada satu kenyataan di Hong Kong.

Katanya, Funtasy Island terdiri daripada enam pulau tropika yang dibina di atas kawasan seluas 3.28 juta hektar persegi dan mempunyai taman tema ekologi terbesar di dunia.

Survival usahawan bumiputera peringkat global


SEBENARNYA banyak peluang bagi usahawan bumiputera untuk meneroka pasaran luar negara dan ini termasuk menerusi Matrade atau kerjasama dua hala atau pelbagai cara lain.

Dalam hal ini, Konsortium Usahawan Makanan dan Industri Asas Tani Sdn. Bhd. (Komita) turut memainkan peranan membawa serta menggabungkan para usahawan bagi meneroka pasaran global.

Yang terbaru, melalui usaha Komita itu, seramai 33 usahawan bumiputera telah menyertai Pavilion Malaysa pada pameran Perth Royal Show di Perth. Ia merupakan penyertaan kedua dengan yang pertama merupakan penyertaan solo pada tahun lalu.

Dari penyertaan tahun lalu itu, kerajaan Australia Barat telah memilih Malaysia sebagai 'Negara Jemputan' pada Perth Royal Show tahun ini.

Ini bermakna hanya Malaysia sahaja sebagai negara yang diberi peluang serta keistimewaan menyertai pameran berkenaan yang hanya diadakan setahun sekali dan pameran itu dianggap berprestij tinggi.

Seharusnya, peluang menyertai Perth Royal Show 2011 diambil kesempatan oleh usahawan Malaysia bagi mempromosi dan memasarkan produk masing-masing selain mengenal pasti serta meninjau peluang dan pasaran baru di Australia.

Usahawan Komita serta penyertaan para usahawan berkenaan tidak sia-sia apabila penyertaan tersebut mendapat pengiktirafan daripada kerajaan Australia Barat melalui penyerahan Anugerah Cemerlang.

Presiden Komita, Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad memberitahu, penyertaan para usahawan dalam Pavilion Malaysia merupakan satu kejayaan dan menjadi perintis untuk mencari peljuang serta pasaran baru di benua Australia.
Beliau mengakui memang sesuatu yang amat sukar untuk menembusi pasaran Australia berbanding negara-negara maju lain. Ini kerana, kerajaan Australia telah menetapkan sekatan yang amat tinggi terhadap barangan import terutama berkaitan dengan makanan dan sebagainya.

Namun kata Sheikh Ahmad Dusuki, para usahawan bumiputera berkenaan berjaya juga menembusi pasaran Australia melalui Pavilion Malaysia.

Beberapa produk seperti martabak segera, kerepek ubi, puri untuk masakan, kraf dan banyak lagi berjaya diperkenalkan pada Perth Royal Show itu.

Menjadi harapan bahawa produk-produk tersebut dapat terus berada dalam One Malaysia Mart selepas berakhirnya Perth Royal Show, di mana hanya produk-produk keluaran Malaysia sahaja dipasarkan di Australia. One Malaysia Mart menggabungkan semua jenis barangan Malaysia untuk pasaran di benua berkenaan.

Sepanjang berlangsungnya Perth Royal Show, Pavilion Malaysia sentiasa mendapat perhatian ramai bukan sahaja dari kalangan penduduk Australia, malah orang Malaysia sendiri yang bermastautin di negara tersebut.

Dianggarkan lebih 20,000 rakyat Malaysia bermastautin di Perth dan atas alasan itu selain kuasa membeli yang tinggi di kalangan rakyat Australia serta faktor sampingan termasuk penerimaan penduduk sendiri, produk-produk tetapi diterima oleh pembeli.

Menurut Sheikh Ahmad Dusuki, peluang penyertaan Pavilion Malaysia dan seterusnya dalam One Mart Malaysia seharusnya direbut kerana peluang sedemikan bukan mudah diperolehi.

''Persiapan menganjurkan Pavilion Malaysia bukan sesuatu yang mudah bagi memenuhi standard ditetapkan oleh pihak berkuasa Australia.

''Kami bermula dari pameran solo tahun lalu dan setelah mendapat keyakinan kerajaan Australia terhadap produk-produk Malaysia, barulah penyertaan secara rasmi sebagai Negara Jemputan ditawarkan kepada usahawan Malaysia tahun ini," katanya.

Bagi menarik kehadiran pengunjung ke Pavilion Malaysia, pelbagai aturcara menarik diadakan sejak perasmian Pavilion Malaysia pada 1 Oktober hinggalah ia berakhir lapan hari kemudian.

Yang pasti, usaha-usaha itu berjaya dengan kehadiran 10,000 hingga 30,000 pengunjung setiap hari ke Pavilion Malaysia dan perkembangan itu membolehkan para usahawan Malaysia mengenal pasti rakan-rakan perniagaan baru untuk memperluaskan pasaran ke Australia.

Menurut Sheikh Ahmad Dusuki, antara kekuatan produk Malaysia ialah dari segi pembukusan barangan serta harganya yang lebih rendah berbanding produk-produk yang sudah bertapak lama di negara berkenaan.

''Sesuatu yang perlu diberi perhatian ialah apabila sesuatu produk kita melalui Pavilion Malaysia itu berjaya menembusi pasaran Australia walaupun pemeriksaan serta sekatan dikenakan begitu ketat, ini bermakna produk- produk yang sama juga mampu menembusi pasaran lain-lain negara di seluruh dunia.

''Oleh itu, penyertaan usahawan tersebut mendatangkan manfaat yang besar kepada mereka," katanya.
Apabila ditanya penyertaan usahawan Malaysia itu di Perth Royal Show kepada Konsul Jeneral Malaysia ke Australia Barat, Hamidah Ashari, beliau menyatakan ia suatu kejayaan yang amat membanggakan.

Malah Hamidah memberitahu, kerajaan Australia Barat begitu berpuas hati bukan sahaja terhadap produk-produk Malaysia, juga komitmen serta aturcara serta persembahan yang dipamerkan sepanjang pameran itu berlangsung.

''Kerajaan Australia sangat berpuas hati dengan persembahan Pavilion Malaysia," katanya.

Walaupun penyertaan Malaysia itu mendapat kejayaan dan seterusnya membuka jalan baru kepada para usahawan lain memasarkan produk mereka ke benua Australia, namun janganlah sekali-kali mereka dibiarkan bersendirian.

Memang bantuan melalui dana tertentu diberikan kepada usahawan berkenaan sebagai bantuan agar mereka mencapai kejayaan, namun dari sokongan moral dan perhatian tertentu ia juga harus diberi perhatian.

Ada kalangan para usahawan yang menyertai Pavilion Malaysia itu menyatakan sedikit 'terkilan' kerana penyertaan mereka ke Perth Royal Show tidak mendapat 'sokongan moral'.

Apa yang mereka maksudkan dan juga menjadi harapan mereka ialah kehadiran orang kenamaan seperti menteri, timbalan menteri atau wakil-wakil dari kerajaan untuk sama-sama menyatakan 'sokongan' semasa pameran itu berlangsung.

Memang diakui bahawa Konsul Jeneral Malaysia dan juga Pengerusi Matrade turut sama memeriahkan majlis perasmian Pavilion Malaysia itu.

Namun bagi kalangan para usahawan berkenaan, kehadiran orang kenamaan itu dapat meningkatkan lagi keyakinan para usahawan terbabit selain ia dianggap sebagai sokongan moral yang amat tinggi.

Sheikh Ahmad Dusuki ketika ditanya mengenai perkara tersebut, mengakui ada usahawan yang 'terkilan' dengan ketidakhadiran orang-orang kenamaan tersebut yang kelak boleh 'melemahkan' semangat usahawan-usahawan bumiputera.

Menurutnya, para usahawan berkenaan yang begitu bersemangat menyertai pameran di Perth Royal Show dengan pelbagai usaha dan inisiatif sendiri, mahukan sokongan daripada pihak-pihak di peringkat kementerian dan sebagainya.

''Kehadiran para usahawan bumiputera itu membawa nama Malaysia dan jika rungutan yang dinyatakan mereka ini seharusnya diberi sedikit pertimbangan dan perhatian sewajarnya.

''Dalam hal ini, seharusnya para usahawan ini dibiarkan bersendirian terutama apabila berada di peringkat global. Para usahawan ini bertungkus-lumus bersaingan di peringkat antarabangsa dan usaha mereka ini harus diberi sokongan dengan kehadiran pihak-pihak di peringkat kementerian.

''Saya yakin, dengan sokongan moral berterusan, para usahawan berkenaan akan terus mencuba dan memasarkan produk-produk mereka ke seluruh dunia. Malah keadaan ini akan membolehkan rakan-rakan usahawan lain turut serta dalam pameran peringkat antarabangsa. Akhirnya yang untung ialah Malaysia sendiri kerana ekonomi kita dapat berkembang," katanya mengakhiri wawancara dengan Utusan Malaysia.

Proton jamin power window seumur hayat kereta


SHAH ALAM 17 Okt. - Kalau sebelum ini kereta Proton sering kali diberikan persepsi negatif akibat kegagalan tingkap kuasanya (power window) berfungsi, perkara itu dijangka tidak mungkin berlaku lagi.

Berbeza dengan pandangan umum, sebenarnya kegagalan itu bukan melibatkan semua jenama Proton dan peratusan yang rosak juga amat kecil.

Namun begitu, mendepani permasalahan dan meyakinkan orang ramai, Proton kini mengumumkan pemberian jaminan ke atas komponen berkenaan sepanjang hayat kenderaan yang dibeli oleh orang ramai.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Proton, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, jaminan itu meliputi kereta yang dijual di pasaran domestik untuk pendaftaran persendirian dan syarikat.

''Kami memberi jaminan bahawa segala kerosakan berkaitan tingkap kuasa itu akan dilindungi selama 10 tahun (jangka hayat bagi sesebuah kereta) atau 250,000 kilometer pada tarikh kereta tersebut didaftarkan.

''Pemilik boleh menukar komponen tingkap kuasa itu seberapa banyak yang diinginkan tanpa ada bilangan tertentu tetapi bergantung kepada kelayakan dan syarat-syarat yang ditetapkan oleh Proton,'' kata beliau dalam satu taklimat di sini hari ini.

Antara komponen yang terlibat di dalam penukaran itu ialah alat kawal atur tingkap kuasa, motor tingkap kuasa, suis tingkap kuasa dan saluran laluan tingkap kuasa.

Pemilik kereta yang menghadapi masalah itu boleh pergi ke mana-mana pusat servis Proton yang bertauliah tanpa dikenakan bayaran upah dan harga komponen yang ditukar.

Beliau berkata, tawaran ini yang jarang diberikan oleh mana-mana pengeluar kenderaan dunia, memperlihatkan komitmen Proton terhadap hak dan kepuasan pengguna dipinggirkan.

''Masalah tingkap kuasa ini bukan luar biasa malah saya pun mengalaminya satu ketika dulu tetapi stigma dan cakap-cakap orang (dijaja dari mulut ke mulut) telah merosakkan imej Proton,'' katanya.

Syed Zainal berkata, mana-mana kenderaan yang didaftarkan sebelum 31 Ogos 2011 dan masih di bawah jaminan pengeluar boleh menuntut kad jaminan dari mana-mana pusat servis bertauliah, Proton Edar Sdn. Bhd., pusat servis EON.

Manakala bagi kereta yang baru didaftarkan selepas 1 September, pemilik kereta secara automatik telahpun didaftarkan di dalam pangkalan data Proton.

Tamatkan status ejen jualan: Peniaga saman syarikat MLM


16/10/2011 8:35pm

KOTA BHARU 16 Okt. – Seorang peniaga produk jualan langsung memfailkan tuntutan saman sebanyak RM1 juta terhadap sebuah syarikat pengeluar produk jualan langsung yang beribu pejabat di Perlis, di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas alasan menamatkan statusnya sebagai ejen jualan tanpa alasan kukuh.

Mohd. Zurah Jusoh, 28, yang memiliki perniagaan Md Zurah Enterprise di Jalan Long Yunus off Jalan Maju di sini diwakili peguam Saharudin Mohammed mendaftarkan tuntunan tersebut di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Nariman Badruddin.

Dalam tuntutan tersebut, plaintif mendakwa dilantik sebagai ejen berstatus pusat jualan langsung pada 1 Oktober 2009 di kawasan Kota Bharu dan mendakwa telah menjalankan perniagaan dengan baik serta memberi keuntungan yang besar kepada pihak defendan.

Bagaimanapun dakwanya, pada 27 Februari 2011, dia menerima surat penamatan sebagai ejen tanpa bukti yang kukuh atau memberi peluang kepadanya membuat penjelasan.

Akibat daripada tindakan tersebut, plaintif mendakwa kehilangan pendapatan, mengalami kerugian kewangan yang teruk, hilang kepercayaan orang bawahan dan pelanggan, tekanan perasaan dan mental di samping jatuh maruah diri, keluarga dan perniagaan.

Plaintif mendakwa telah membuat laporan polis pada 13 April 2011 bagi menafikan isi kandungan surat tersebut dan selepas panggilan kepada pihak defendan tidak dilayan.

Mohd. Zurah menuntut ganti rugi am sebanyak RM500,000 dan ganti rugi teruk teladan RM250,000 atau apa-apa jumlah yang mahkamah fikirkan sesuai.

Tuntutan juga meliputi ganti rugi teruk sebanyak RM250,000, faedah pada kadar lapan peratus setahun daripada tarikh penyerahan writ saman hingga tarikh penghakiman serta faedah ke atas jumlah penghakiman pada kadar lapan peratus setahun daripada tarikh penghakiman hingga akhir.

Plaintif turut menuntut hadiah insentif ta'wun seperti yang pernah ditawarkan oleh pihak defendan melalui surat bertarikh 18 Januari 2011, insentif kategori ketiga iaitu pencapaian enam Pengarah Jati dan ke atas berupa pakej haji.

Selain itu plaintif juga menuntut defendan mengumumkan plaintif layak menerima anugerah Pengarah Jati Mahkota terbaik 2010 yang juga melayakkan dia menerima anugerah Pusat Jualan Terbaik 2010. – Utusan