Sunday 23 October 2011

JCorp tawar peluang jadi usahawan


BATU PAHAT 20 Okt. - Kumpulan Johor Corporation (JCorp) menerusi syarikatnya Usahawan Bistari Ayamas Sdn. Bhd. (UBASB) menawarkan peluang menjadi usahawan pada Karnival Kerjaya Perniagaan dan Kemahiran (Kepak 2011) di Dewan Jubli Intan di sini bermula hari ini.

Syarikat itu mengadakan program Pembangunan Usahawan Bistari dengan tumpuan diberikan kepada suri rumah tangga, ibu tunggal dan mereka yang berminat untuk menambah pendapatan di kampung, rumah pangsa, tanah rancangan seperti Felda dan kawasan bandar.

Eksekutif Jualan dan Pemasaran UBASB, Aishah Lin Abdullah berkata, pemohon yang dipilih menyertai program itu akan menjadi usahawan jualan keluaran Ayamas termasuk produk pek jimat yang tidak dipasarkan di tempat lain termasuk pasar raya atau kedai.

Menerusi program itu, usahawan akan dibekalkan dengan sebuah peti sejuk beku dan sebuah rak pameran malah produk akan dihantar terus ke rumah peserta oleh pengedar produk Ayamas sekali gus dapat membantu mengatasi masalah pengangkutan bagi golongan kurang berkemampuan.

Katanya, sehingga kini 80 peratus peserta program usahawan itu terdiri daripada individu dengan pendapatan isi rumah di bawah RM2,500 yang berdaftar dengan portal e-kasih dan selebihnya ialah usahawan yang mengeluarkan modal sendiri.

"Bagi yang berpendapatan rendah, mereka tidak perlu mengeluarkan modal kerana ia dibiayai geran Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Tenaga Kerja dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

"Mereka yang bukan berpendapatan rendah juga boleh menyertai program ini tetapi perlu menyediakan modal sebanyak RM3,000," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia sempena Kepak di sini.

Karnival anjuran kerajaan negeri selama empat hari bermula hari ini yang berlangsung di Dewan Jubli Intan itu menawarkan pelbagai peluang pekerjaan, perniagaan dan latihan kemahiran kepada orang ramai termasuk orang kelainan upaya (OKU), ibu tunggal dan golongan miskin.

Aishah Lin berkata, UBASB akan memantau perkembangan usahawan tersebut dari pelbagai aspek termasuk kebersihan, kemesraan terhadap pelanggan, kreativiti pemasaran, pengurusan stok dan pengurusan kewangan.

Orang ramai yang berminat menyertai program usahawan itu boleh mengunjungi gerai UBASB pada Kepak atau menghubungi Eksekutif Pembangunan UBASB, Elly Noisna Abu di talian 017-7882726.

Sementara itu, seorang usahawan, Fatimah Abdul Kadir, 42, berkata, program usahawan yang disertainya sejak 2009 banyak membantu meningkatkan pendapatan keluarganya.
Utusan Malaysia adalah media rasmi Kepak 2011.

Syarikat Malaysia ke Lembah Silikon


KUALA LUMPUR 20 Okt. - Impian untuk melihat syarikat Malaysia beroperasi di Lembah Silikon, San Francisco, Amerika Syarikat mendorong Dhakshinamoorthy Balakrishnan mengasaskan satu inisiatif unik yang tidak bermotifkan keuntungan, StartupMalaysia.org.

Menurut Dhakshinamoorthy yang lebih mesra disapa Dash, StartupMalaysia.org menyediakan latihan pendidikan dan mentor di dalam bidang keusahawanan selain memberi peluang kepada usahawan tempatan untuk mendapatkan pendedahan di Lembah Silikon.

Malah syarikat juga berpeluang memperolehi pembiayaan daripada pelabur antarabangsa.
" Sejak dari dulu lagi, saya sangat teruja apabila berada di Lembah Silikon bagaimanapun peluang ini tidak dapat dinikmati oleh ramai usahawan yang lain.

"Disebabkan itulah saya bersama rakan kongsi menganjurkan simposium 'Lembah Silikon Hadir Ke Malaysia' dengan membawa nama-nama besar dari sana untuk berkongsi pengalaman mereka," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Jelas Dash, persidangan dua hari yang berakhir esok itu menghimpunkan lebih 1,200 peserta daripada lebih 800 syarikat dan perusahaan di seluruh Malaysia.

Ia turut mengundang 16 speaker yang juga pakar industri bertaraf global dan sebahagian daripada mereka adalah nama-nama besar di Lembah Silikon untuk berkongsi pengalaman serta mendengar idea-idea bernas yang bakal dibentangkan oleh usahawan tempatan.

Antara speaker yang hadir adalah pengasas bersama YouTube, Jawed Karim, pengasas bersama, Linkedln, Konstantin Guericke, pengasas bersama DipDive.com, Steve Koskie dan pengasas AngelList, Naval Ravikant.

Menurut Dash, StartupMalaysia.org menjangkakan 10 usahawan tempatan akan terpilih untuk memulakan perniagaan atau sekurang-kurangnya berjaya di peringkat mendapatkan pembiayaan di Lembah Silikon dalam tempoh 18 bulan lagi.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan butiran lanjut mengenai syarikat-syarikat terbabit kerana ia masih di dalam proses pemilihan.

Tambahnya, syarikat-syarikat tersebut tidak hanya bergantung kepada kerajaan sahaja untuk mendapatkan pembiayaan bagi memulakan perniagaan.

" Kami tidak bimbang mengenai pembiayaan apa yang penting adalah idea perniagaan yang bernas.

Apabila mereka berjaya melontarkan idea bernas dan menyakinkan pastinya pembiayaan akan datang dengan sendirinya sama ada melalui 'angel', firma modal teroka dan juga kerajaan namun ketika ini kami lebih suka untuk melihat firma-firma swasta yang menghulurkan pembiayaan dan barulah diikuti oleh kerajaan," katanya.

Usahawan muda Malaysia perlu pelajari semangat Lembah Silikon


20/10/2011 3:51pm

KUALA LUMPUR 20 Okt. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, para usahawan muda Malaysia perlu mengambil kesempatan daripada peluang untuk memulakan jejak keusahawanan masing-masing sambil mempelajari daripada semangat Lembah Silikon Amerika Syarikat (AS).

Perdana Menteri berkata, adalah penting mereka menjadi paling kreatif dan bersedia menghadapi cabaran melaksanakan kreativiti itu.

"Tetapkan fikiran yang terbuka bahawa anda boleh melakukannya. Itulah semangat yang dimiliki oleh para usahawan Lembah Silikon.

"Ia adalah jenis semangat yang akan membawa anda menjadi usahawan yang berjaya pada masa depan,” katanya dalam klip video semasa pelancaran sulung simposium “Silicon Valley Comes to Malaysia” di sini hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah telah merasmikan pelancaran simposium itu bagi pihak Najib. - Bernama

200 meriahkan karnival usahawan desa


SUNGAI PETANI 19 Okt. - Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah bersama Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) akan menganjurkan Karnival Usahawan Desa 2011 peringkat zon utara di Padang Awam Taman Ria Jaya, di sini pada 27 hingga 30 Oktober ini.

Pengurus Industri Desa dan Usahawan Keda, Aazmi Chin berkata, karnival itu akan menjadi pemangkin melahirkan usahawan luar bandar yang berdaya saing dan berimpak tinggi.

Selain itu, katanya, penganjuran karnival terbabit dijadikan landasan untuk mewujudkan jaringan dan padanan perniagaan serta memberi peluang pasaran terbuka kepada usahawan luar bandar.

“Lebih 200 usahawan akan menyertai pameran tersebut. Di samping itu, penganjur turut menyediakan pelbagai program menarik seperti pertandingan mewarna, pameran kenderaan dan persembahan wayang kulit,” katanya di sini, hari ini.

Majlis perasmian program akan disempurnakan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hassan Malek pada pukul 2.30 petang, 30 Oktober.

Orang ramai dijemput hadir untuk memeriahkan karnival berkenaan.