Wednesday 19 October 2011

Pinjaman rumah perlu lebih fleksibel


KUALA LUMPUR 17 Okt. - Pemaju hartanah, Allstones Group Asia Sdn. Bhd. meminta industri perbankan melihat kepada langkah-langkah pemberian pinjaman yang lebih fleksibel dan mesra bagi memastikan Skim Rumah Pertamaku berjaya.

Pengerusinya, KH Sim dalam satu kenyataan di sini berkata, institusi kewangan mungkin boleh mempertimbangkan penawaran faedah perkhidmatan pinjaman perumahan berbanding kaedah pembayaran ansuran yang diamalkan ketika ini.

Menurut beliau, skim tersebut merupakan satu inisiatif yang baik daripada kerajaan yang mana ia telah diperluaskan kepada rumah yang berharga maksimum RM400,000 berbanding RM200,000 sebelum ini.
Bagaimanapun, ia terhad kepada pembeli yang mempunyai pendapatan kurang RM3,000 sebulan yang mana pada dasarnya tidak layak untuk membeli rumah yang berharga sekitar RM300,000 hingga RM400,000.

" Inisiatif kerajaan ini adalah baik malah banyak pemaju-pemaju utama dijangka melancarkan rumah pada harga RM300,000 sehingga RM400,000 tetapi sayangnya, dengan pendapatan kurang RM3,000 sebulan, pembeli-pembeli masih belum berkelayakan untuk memiliki rumah pada harga itu.

" Jika golongan muda benar-benar mendapat manfaat daripada inisiatif ini, bank seharusnya mempertimbangkan untuk menawarkan faedah perkhidmatan pinjaman perumahan sahaja, ditambah dengan pelunasan secara sedikit demi sedikit mengikut peningkatan pendapatan pembeli berbanding apa yang diamalkan ketika ini iaitu pembayaran secara ansuran dan prinsipal bulanan," katanya,

Jelas Sim, jika kadar faedah perkhidmatan pinjaman perumahan ditawarkan, contohnya pada kadar lima peratus setahun bagi pinjaman RM200,000, pembeli hanya perlu membayar kira-kira RM917 sebulan.

Ia sekali gus membolehkan lebih ramai penduduk negara ini mampu membeli rumah yang lebih mahal dengan kemudahan-kemudahan pengangkutan awam sedia ada ataupun yang masih di dalam perancangan yang lebih dekat.

"Bank sepatutnya memperkenalkan faedah perkhidmatan ini hanya kepada pembeli pertama kali ataupun yang berpendapatan rendah berbanding kaedah yang diamalkan ketika ini, malah banyak negara sudah mengamalkan cara ini termasuklah Australia," katanya.

Peminjam PTPTN boleh tukar kepada kaedah Ujrah - Khaled


17/10/2011 2:41pm

PUTRAJAYA 17 Okt. – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan membuka semula peluang kepada peminjam untuk menukar pinjaman pendidikan mereka kepada sistem pinjaman Islam atau Ujrah bermula 1 Januari depan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, peluang itu wajar digunakan sepenuhnya oleh peminjam, memandangkan tawaran bertukar kepada sistem Ujrah tersebut sepatutnya berakhir 30 September lepas.

“Walau bagaimanapun, ia berasaskan hutang semasa dan tidak ”backdated kepada 1 Jun 2008,” katanya kepada pemberita, selepas perhimpunan bulanan kementerian itu, di sini hari ini.

Sehingga bulan lepas, seramai 55,546 peminjam PTPTN memilih bertukar kepada sistem Ujrah yang menawarkan bayaran upah satu peratus setahun berkuat kuasa 1 Jun 2008, berbanding sistem konvensional yang menetapkan kadar tiga peratus.

Terdahulu ketika berucap, Khaled berkata, PTPTN juga masih membuka peluang kepada peminjam yang berhasrat mendapatkan penurunan kos pentadbiran daripada tiga dan lima peratus kepada satu peratus untuk membuat pembayaran penuh hutang, tanpa perlu bertukar kepada Ujrah.

"Mereka yang membuat penyelesaian penuh sebelum 31 Disember ini, akan dilaraskan akaun mereka secara backdated mulai 1 Jun 2008 dan PTPTN akan mengembalikan apa-apa lebihan kepada peminjam,” kata beliau.

Katanya sehingga bulan lepas, seramai 1,518 peminjam telah membuat penyelesaian penuh dan layak diberikan bayaran balik dengan jumlah keseluruhan RM1.2 juta. - Bernama

Kerajaan galak FDI dalam industri baru

MUHYIDDIN Yassin bersalaman dengan tetamu yang hadir selepas
merasmikan Persidangan Usahawan Muda di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 18 Okt. - Kerajaan hari ini mempelawa lebih banyak syarikat luar membuat pelaburan atau meningkatkan nilainya di Malaysia terutama dalam sektor industri baru seperti bioteknologi, teknologi hijau dan aeroangkasa.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penglibatan syarikat-syarikat berkenaan amat diperlukan kerana ia mampu mempercepatkan pembangunan serta perkembangan sektor tersebut di negara ini.

Tambah beliau, ia juga dapat mempelbagaikan bidang industri sekali gus merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara sejak sektor tersebut mula bertapak beberapa dekad yang lalu.

"Bermula 1981 kerajaan memperkenalkan inisiatif melalui polisi-polisi tertentu bagi menggalakkan pelaburan langsung asing (FDI) setelah Malaysia menjadi sebuah negara industri.

"Mereka terbabit dalam pelbagai industri antaranya elektronik, logistik, automotif, tekstil dan juga reka bentuk dan kini kerajaan berusaha membangunkan satu lagi sektor iaitu industri baru. Oleh itu kita berusaha mendapatkan pelabur untuk membangunkan lagi sektor ini di Malaysia," katanya.

Beliau berucap merasmikan Sidang Kemuncak Usahawan Muda Asia Pasifik (APEC YES) 2011 di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir; Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Paul W. Jones; Pengerusi SME Corp. Malaysia, Datuk Ir. Mohamaed Al Amin Abdul Majid dan Presiden Dewan Perniagaan Antarabangsa Malaysia (IMCC) dan Penganjur Bersama APEC YES 2011, Agil Faisal Ahmad Fadzil.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin berkata, kerajaan sentiasa komited memperkasakan kebolehan ekonomi negara melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D), teknologi dan inovasi.

Untuk itu katanya, tiga langkah penting dilakukan oleh kerajaan supaya pembangunan negara serta kemajuan ekonomi sejajar dengan komitmen tersebut.

"Ia berkaitan dengan teknologi, kemudahan infrastruktur logistik dan usaha meningkatkan jumlah tenaga mahir dalam bidang pembuatan," katanya.

Mengenai sidang kemuncak hari ini, beliau berkata, kerajaan Malaysia amat menggalakkan budaya inovasi dalam kalangan masyarakat.

"Kerajaan mempunyai beberapa polisi untuk mempromosi budaya inovasi. Justeru, saya lihat usahawan muda boleh berperanan sebagai ejen perubahan bagi memastikan budaya inovasi ini benar-benar berlaku dalam masyarakat.

"Mereka (usahawan muda) mempunyai kemampuan mencetuskan satu bentuk perniagaan yang berasaskan inovasi melalui pengetahuan, kreativiti selain pengetahuan mereka dalam teknologi terkini," katanya.

Operasi Agropolitan Februari ini


Oleh M. SHAHRINNAHAR ABD. LATIB
PEKAN 18 Okt. – Pembinaan kemudahan untuk Projek Agropolitan Pekan di Kampung Tanjung Batu di sini dijangka siap sepenuhnya menjelang Februari tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Ishak Muhamad berkata, untuk itu, projek yang berteraskan aktiviti perladangan kelapa sawit tersebut dijangka bakal dimulakan kira-kira sebulan selepas segala kemudahan disiapkan.



“Pembinaan kawasan itu hampir 80 peratus siap dan dijangka kira-kira 200 orang akan dipilih menyertai program tersebut,” katanya ketika berucap pada Majlis Taklimat Projek Agropolitan kepada pemimpin setempat di sini, semalam.

Ishak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebar berkata, projek kedua di dalam kawasannya itu bakal dilengkapi dengan 213 buah rumah, tadika, surau dan dewan.



“Sebanyak 20 hektar tanah digunakan untuk kawasan penempatan manakala kawasan ladang kelapa sawit pula merangkumi kira-kira 1,000 hektar tanah,” katanya.

Tambahnya lagi, selain kelapa sawit sebagai aktiviti utama, terdapat juga aktiviti sampingan seperti penternakan burung walit, penanaman nanas dan juga penternakan ayam.

Beliau memberitahu, projek agropolitan ini merupakan salah satu projek kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk membela nasib rakyat yang tidak berkemampuan.

Katanya, beliau berharap pemimpin masyarakat di kawasan DUN Bebar supaya dapat mengenal pasti penduduk di kawasan mereka yang sesuai untuk dijadikan peserta projek ini.

Ananda tidak akan disiasat


KUALA LUMPUR 18 Okt. – Kes yang difailkan oleh Biro Siasatan Pusat India (CBI) terhadap taikun Malaysia dan pemilik Maxis, T. Ananda Krishnan tidak memberi impak kepada industri telekomunikasi negara.

Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang Gandum berkata, pihak berkuasa Malaysia tidak akan menjalankan siasatan terhadap jutawan itu.

"Buat masa ini, ia hanya penyiasatan (oleh CBI). Tidak ada siasatan di pihak Malaysia memandangkan kita cukup telus dalam menguruskan industri telekomunikasi,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Forum Komunikasi dan Rangkaian Masa Depan 2011 bagi pihak menterinya, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Terdahulu dalam teks ucapan Rais yang dibacanya, memberitahu menerusi Inisiatif Jalur Lebar Kebangsaan, negara telah mencapai kadar penembusan hampir 61.5 peratus dan menyasarkan peningkatan sehingga 75 peratus pada akhir 2015. – BERNAMA.

Izyan buka galeri tropika mewah

Izyan mendapat kepercayaan pelanggan bagi menyiapkan
hiasan dalaman berkonsep rumah tropika.

KEDIAMAN yang berkonsep menjadi pilihan bagi golongan yang tidak berkira dalam berbelanja untuk menghias rumah.

Suatu ketika konsep Bali menjadi kegilaan, sebelum beralih kepada gaya zen, oriental, moden, kontemporari dan sebagainya.

Terkini konsep tropika yang menyamai gaya resort mampu memberikan ketenangan dan kedamaian kepada penghuninya sebaik melangkah masuk.

Daripada ruang dalam rumah termasuk ruang tamu, bilik tidur, ruang makan, dapur sehingga ke laman akan dihiasi dan ditanami dengan pokok-pokok menghijau dan bunga-bunga jenis tropika seperti bermacam jenis haleconia.

Bagi sesebuah rumah yang berkonsep tropika perlu ada lima deria, iaitu memandang, mendengar, bau, menyentuh dan rasa.

Demikian kata Pengarah Urusan yang juga pemilik Tropical Lifestyles Home & Living Gallery, Izyan Salleh,semasa ditemui di galerinya ini yang terletak di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Galeri ini yang boleh dikunjungi melalui temujanji membekalkan keseluruhan perabot dan perhiasan rumah gaya tropika daripada ruang dalaman hingga luaran bagi sesebuah rumah yang berkonsep sedemikian.

''Galeri ini bukan sahaja menjual barangan perhiasan atau perabot untuk rumah konsep tropika malah pelanggan boleh berbincang jika mereka berkeinginan untuk membuat sebuah rumah sedemikian.

''Kami menyediakan perunding, arkitek dan pereka hiasan dalaman sendiri di mana pelanggan boleh bertanya atau berbincang tentang konsep yang dikehendaki.

"Sebab itu kami hanya menerima tiga kumpulan pelanggan dalam sehari, iaitu pagi, petang dan malam kerana perbincangan ini biasanya mengambil masa berjam-jam dan kami mahu pelanggan selesa tanpa gangguan orang lain.

''Pelanggan yang datang akan berasa seperti di rumah tropika kerana terdapat bermacam-macam barangan khusus untuk konsep tersebu di galeri ini.

"Selain itu mereka akan dilayan seperti vip dan kami akan menghidangkan teh bersama makanan ringan, makan tengah hari atau makan malam.

''Mereka boleh merasai sendiri produk contoh seperti kerusi yang boleh mereka duduk untuk mengetahui keselesaannya, lampu-lampu yang cantik, perhiasan kayu, pinggan mangkuk berkualiti tinggi dan apa sahaja yang pelanggan inginkan,'' kata Izyan yang turut dibantu oleh bapanya Salleh Samad seorang ahli perniagaan yang telah banyak menimba pengalaman di seluruh dunia.

Tambah gadis penerus legasi perniagaan keluarga ini lagi, golongan yang datang terdiri daripada golongan vip dan jutawan yang tidak selesa membeli barangan rumah di tempat-tempat yang terbuka dan dilihat oleh ramai orang.

Izyan, 27, menambah, biasanya golongan kerabat raja, vip atau jutawan yang datang akan memintanya membuatkan rumah mereka dengan konsep tropika atau resort.

Kos untuk rumah seperti ini katanya, menelan perbelanjaan di antara tiga hingga lima juta ringgit termasuk tanah dan barangan untuk setiap ruang.

Terdapat juga pelanggan yang menjadi kaya-raya pada usia muda dan inginkan sebuah rumah tropika tetapi tidak mengetahui bagaimana hendak menggayakan konsep ini.

Izyan bersama bapanya akan membimbing pelanggan ini daripada cara makan yang betul, penggunaan sudu, garpu dan sebagainya, pemilihan pakaian, kasut dan sebagainya.

''Projek untuk menyiapkan rumah tropika ini dilakukan oleh kumpulan pekerja kami yang mengambil masa di antara satu setengah hingga dua tahun.

''Daripada jenis-jenis batu, kayu, perhiasan, jubin, dan sebagainya diimport dari negara luar supaya disesuaikan dengan sebuah rumah tropika seperti dari Thailand, Vietnam, Bali, China, India, Myanmar dan Itali.

"Namun ada juga sesetengah barangan yang dari Malaysia sendiri. Pendek kata galeri ini boleh diibaratkan sebagai pusat sehenti untuk rumah tropika yang diimpikan.

''Kebiasaannya pemilik rumah akan mengupah arkitek, pereka hiasan dalaman dan kontraktor berbeza untuk menyiapkan rumah mereka namun di sini pemilik tidak perlu risau kerana serahkan segalanya pada kami dan tunggu sahaja rumah mereka siap,'' ujar pemegang Ijazah Perniagaan Antarabangsa daripada Universiti Teknologi Mara (UITM) ini.

Jika berminat dengan cenderahati dan rumah tropikal, boleh berhubung dengan Izyan di 012-2514090.

Terminal kapal angkasa pertama Virgin Atlantic dibuka secara rasmi

Richard Branson (tengah) mengejutkan para hadirin apabila muncul bersama
artis menuruni dinding bangunan menggunakan tali di hangar Spaceport America
di New Mexico, Amerika Syarikat, kelmarin. - AP

LONDON 18 Okt. - Jutawan Britain, Richard Branson hari ini merasmikan pembukaan lapangan terbang kapal angkasa yang pertama di dunia bernilai AS$209 juta (RM627 juta) bagi memberi peluang kepada pelancong untuk terbang ke orbit.

Terminal itu dibina di kawasan gurun di New Mexico dan akan memulakan operasi pada tahun depan.
Terminal tersebut akan menempatkan kapal angkasa Virgin Galactic, pusat kawalan misi dan kawasan menunggu khas apabila penerbangan pertama dijangka berlepas pada akhir 2012.

Semasa upacara pembukaan, jutawan tersebut disertai Gabenor New Mexico, Susana Martinez, angkasawan Buzz Aldrin serta orang ramai bagi menyaksikan ciptaan unik itu.

Syarikat Virgin kini dalam usaha melakukan ujian roket di lapangan terbang itu.
"Lapangan terbang itu sangat hebat dan menjadi antara yang paling unik di dunia.

"Kami berharap mempunyai sumber kuasa yang mencukupi untuk melakukan penerbangan ke angkasa lepas menjelang 2012," kata Branson.

Sementara itu, kira-kira 450 orang telah membeli tiket untuk menyertai penerbangan ke orbit dengan 150 daripada mereka hadir pada upacara pembukaan tersebut.

Sebelum memasuki kawasan hangar, pengunjung disajikan dengan simulator penerbangan kapal angkasa WhiteKnightTwo yang akan menjadi kapal utama untuk membawa penumpang ke orbit.

Tambang bagi penerbangan ke orbit menaiki kapal angkasa WhiteKnightTwo melibatkan kos sebanyak AS$200,000 (RM600,000) bagi perjalanan pergi balik.

Penerbangan ke orbit itu dijangka mengambil masa selama dua jam setengah dan penumpang berpeluang menyaksikan Bumi dari orbit serta berada dalam keadaan terapung-apung, yang sebelum ini hanya dialami oleh angkasawan. - AGENSI

Malaysia dapat projek RM10 bilion di Bangladesh

19/10/2011 10:27am

DHAKA 19 Okt. - Malaysia telah mendapat projek infrastruktur bernilai RM10 bilion di Bangladesh yang akan dilaksanakan mulai awal tahun depan sehingga antara dua hingga lima tahun akan datang, kata Duta Khas Malaysia Datuk Seri S. Samy Vellu di sini hari ini.

Malaysia dan Bangladesh telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memudahkan pelaksanaan projek berkenaan di sini semalam.

Dokumen itu akan diserahkan kepada Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina oleh Samy Vellu di sini esok.
Samy Vellu, bekas Menteri Kerja Raya Malaysia, sedang melakukan lawatan kerja empat hari ke Bangladesh yang menyifatkan jalinan kerjasama itu sebagai “menang-menang” berkata, projek itu termasuk projek perumahan, perbandaran satelit, jejambat, rawatan air serta loji pemprosesan kumbahan.

Katanya, projek pertama melibatkan pembinaan 161 blok pangsapuri 16 tingkat bernilai hampir RM3 bilion di Uttara, dekat sini, yang akan dimulakan awal tahun depan. - Bernama