Monday, 24 October 2011

MyAgrosis manfaat kawasan tanah terbiar dalam IPTA


24/10/2011 4:46pm

SUNGAI PETANI 24 Okt. – Kelab Usahawan Siswazah Tani (MyAgrosis) akan memanfaatkan kawasan tanah kosong atau terbiar dalam kawasan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dengan aktiviti pertanian secara ladang kontrak.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, buat permulaan, kelab akan menumpukan kepada tanaman pelbagai sayuran seperti yang disarankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kita nak gunakan tanah terbiar sebab sekarang di negara kita 60 peratus sayur ditanam di tanah setinggan (tidak kekal) dan tidak ada tanaman sayur secara ladang. Macam di UiTM (Universiti Teknologi Mara) Merbok ini ada 170 ekar (68.8 hektar) tanah kosong.

"Kalau dirancang dengan baik, ia boleh jadi ladang kontrak sekali gus menampung masalah bekalan sayur dari negara jiran,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Kelab MyAgrosis Kedah, di UiTM Merbok dekat sini hari ini.

Beliau berkata, buat permulaan, sebanyak RM34 juta diperuntukkan bagi menjayakan projek itu, iaitu RM10 juta masing-masing disediakan Agrobank dan Tekun Nasional, manakala RM14 juta lagi oleh kerajaan yang diumum menerusi Belanjawan 2012 bagi program ladang kontrak. – Bernama

Reactions:

0 comments:

Post a Comment