Sunday 23 October 2011

Syarikat Malaysia ke Lembah Silikon


KUALA LUMPUR 20 Okt. - Impian untuk melihat syarikat Malaysia beroperasi di Lembah Silikon, San Francisco, Amerika Syarikat mendorong Dhakshinamoorthy Balakrishnan mengasaskan satu inisiatif unik yang tidak bermotifkan keuntungan, StartupMalaysia.org.

Menurut Dhakshinamoorthy yang lebih mesra disapa Dash, StartupMalaysia.org menyediakan latihan pendidikan dan mentor di dalam bidang keusahawanan selain memberi peluang kepada usahawan tempatan untuk mendapatkan pendedahan di Lembah Silikon.

Malah syarikat juga berpeluang memperolehi pembiayaan daripada pelabur antarabangsa.
" Sejak dari dulu lagi, saya sangat teruja apabila berada di Lembah Silikon bagaimanapun peluang ini tidak dapat dinikmati oleh ramai usahawan yang lain.

"Disebabkan itulah saya bersama rakan kongsi menganjurkan simposium 'Lembah Silikon Hadir Ke Malaysia' dengan membawa nama-nama besar dari sana untuk berkongsi pengalaman mereka," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Jelas Dash, persidangan dua hari yang berakhir esok itu menghimpunkan lebih 1,200 peserta daripada lebih 800 syarikat dan perusahaan di seluruh Malaysia.

Ia turut mengundang 16 speaker yang juga pakar industri bertaraf global dan sebahagian daripada mereka adalah nama-nama besar di Lembah Silikon untuk berkongsi pengalaman serta mendengar idea-idea bernas yang bakal dibentangkan oleh usahawan tempatan.

Antara speaker yang hadir adalah pengasas bersama YouTube, Jawed Karim, pengasas bersama, Linkedln, Konstantin Guericke, pengasas bersama DipDive.com, Steve Koskie dan pengasas AngelList, Naval Ravikant.

Menurut Dash, StartupMalaysia.org menjangkakan 10 usahawan tempatan akan terpilih untuk memulakan perniagaan atau sekurang-kurangnya berjaya di peringkat mendapatkan pembiayaan di Lembah Silikon dalam tempoh 18 bulan lagi.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan butiran lanjut mengenai syarikat-syarikat terbabit kerana ia masih di dalam proses pemilihan.

Tambahnya, syarikat-syarikat tersebut tidak hanya bergantung kepada kerajaan sahaja untuk mendapatkan pembiayaan bagi memulakan perniagaan.

" Kami tidak bimbang mengenai pembiayaan apa yang penting adalah idea perniagaan yang bernas.

Apabila mereka berjaya melontarkan idea bernas dan menyakinkan pastinya pembiayaan akan datang dengan sendirinya sama ada melalui 'angel', firma modal teroka dan juga kerajaan namun ketika ini kami lebih suka untuk melihat firma-firma swasta yang menghulurkan pembiayaan dan barulah diikuti oleh kerajaan," katanya.

No comments:

Post a Comment