Thursday 6 October 2011

Jakim dicadang lantik pegawai pemantau halal di Kelantan











KOTA BHARU 5 Okt. - Persatuan Usahawan Muda dan Siswazah Kelantan (Gebeta) menyarankan supaya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melantik pegawai pemantau halal dari kalangan ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau badan-badan bebas lain bagi memastikan pengeluaran produk makanan halal dilindungi.

Presidennya, Muhammad Izzat Azman berkata, langkah itu membolehkan pegawai-pegawai pemantau tersebut memastikan kesahihan status dan logo halal dalam penghasilan makanan sekali gus mengelak kesangsian di kalangan orang ramai.

Beliau berkata, langkah itu memudahkan wakil-wakil pengeluar produk makanan berurusan secara langsung untuk membuat permohonan sijil halal berbanding menggunakan kaedah secara dalam talian.

Katanya, jika cadangan pelantikan itu dibuat, ia selaras dengan tindakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang telah melantik 2,000 graduan sebagai pegawai pemantau harga (PPH) pada Mac lalu.

"Langkah diambil kementerian melantik PPH bertujuan mengetahui trend pergerakan harga runcit supaya peniaga tidak mengambil kesempatan mengaut keuntungan melampau dan memastikan bekalan di pihak peruncit sentiasa ada.

"Pada masa sama, pegawai pemantau halal dapat memantau penggunaan logo halal yang betul untuk mengelak kekeliruan mengenai penggunaannya, bukannya berkaitan kandungan produk dihasilkan dan tiada pihak teraniaya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

No comments:

Post a Comment