Tuesday 4 October 2011

Dulu saintis, kini jual arowana

Mohd. Zalalnudin Latipi melihat ikan kelisa jenis Malaysia Gold Cross Back Golden Arowana.

ALOR SETAR 3 Okt. – Ikan arowana atau lebih dikenali ikan kelisa merupakan antara ikan hiasan yang popular di negara ini sehingga harganya mencecah ribuan ribu ringgit.

Ikan kelisa amat digemari oleh kaum Cina kerana dipercayai membawa feng shui yang baik atau tuah kepada pemiliknya.


Kini peminat ikan itu tidak terhad kepada kaum Cina sahaja, malah kaum Melayu juga semakin berminat untuk membela ikan tersebut.

Bagi Mohd. Zalalnudin Latipi, 32, dia tidak menyesal kerana meninggalkan tugasnya sebagai seorang saintis di Sabah demi minatnya terhadap ikan itu.

Bermula dengan hobi dan minat yang mendalam terhadap ikan itu, dia kini menjadikan ikan tersebut sebagai sumber pendapatan tetapnya.

Bekas graduan dalam bidang sosiologi pemuliharaan Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu mula meminati ikan kelisa sejak dari kecil lagi.

“Dulu saya hanya bela ikan ini di rumah dan saya ada tujuh akuarium di rumah untuk mengisi ikan-ikan ini.
“Namun pada 2005, saya mengambil keputusan untuk berhenti daripada menjadi seorang saintis kerana mahu melibatkan diri secara serius dalam perniagaan menjual ikan kelisa,” katanya ketika ditemui di Star Arowana World di Jalan Seberang Perak di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, pada awal pembukaan kedai menjual ikan kelisa tersebut, dia menerima sambutan yang agak menggalakkan daripada peminat ikan kelisa di bandar raya in.

“Memang ramai peminat ikan ini yang menghabiskan masa berjam- jam di kedai semata-mata mahu melihat liuk lentuk ikan ini di dalam air.
“Ada juga peminat yang sanggup berhabis ribuan ringgit semata-mata mahu mendapatkan ikan kelisa yang mereka minati,” ujarnya.

Jelasnya, dia mempunyai mempunyai dua kolam ikan kelisa di kawasan Bukit Merah bagi mendapatkan bekalan ikan-ikan kelisa untuk dijual di kedainya.

Mohd. Zalalnudin berkata, di kedainya terdapat lebih 200 ekor ikan kelisa pelbagai variasi seperti Malaysia Gold Cross Back Golden Arowana, Malaysia Super Red Arowana, Indonesia Chili Red dan sebagainya.

Tambahnya, harga ikan kelisa tidak pernah jatuh malahan semakin meningkat jika ikan itu semakin membesar.
“Bagi saya ikan ini memang membawa tuah kepada pemiliknya terutama dari segi harga yang semakin lama semakin bernilai.

“Ikan ini juga tidak memerlukan penjagaan yang rapi daripada pemiliknya dan bagi mereka yang berminat untuk mengetahui cara-cara penjagaan ikan ini mereka boleh datang terus ke kedai saya,” jelasnya.

3 comments: