Wednesday 5 October 2011

Martabak kentang keluaran Muslim Best laris dijual

KAKITANGAN Muslim Best bersama produk yang dibawa dan
diperkenalkan pada Perth Royal Show, Australia semalam.

PERTH 4 Okt. - Martabak kentang dalam bentuk sejuk beku keluaran Muslim Best yang dipasarkan di Pavilion Malaysia di sini berjaya dijual 100 kotak sehari sejak Perth Royal Show bermula Sabtu lalu.

Menurut Pengurus Bahagian Francais dan Pemasaran Muslim Best Marketing Sdn. Bhd., Umi Kalsom Salleh, pihaknya membawa 500 kotak martabak untuk dipasarkan pada pameran tersebut yang akan berakhir 8 Oktober ini.


"Kita tidak jangka sambutan begitu baik hinggakan setiap hari sebanyak 100 keping martabak berjaya dijual.
"Pengunjung begitu menggemari martabak ubi kentang dan sayur-sayuran ini kerana ia mudah dimasak dan dipanaskan," katanya di sini hari ini.

Muslim Best mempromosikan martabak sejuk beku di bawah jenama 'Murtabak Raja'.
Kotak bersaiz keluarga mengandungi empat keping martabak manakala kotak bersaiz kecil mengandungi satu keping martabak.

Umi Kalsom berkata, pihaknya pada tahun lalu pernah menyertai pameran solo di Perth melalui usaha Konsortium Usahawan Makanan dan Industri Asas Tani Sdn. Bhd. (Komita) bagi meninjau pasaran makanan sejuk beku dalam kalangan penduduk Australia.

Menurutnya, antara pilihan penduduk Australia ialah mereka suka memilih makanan segera selain ia mudah disediakan.

"Pada tahun lalu kami perkenalkan martabak tuna tetapi kurang mendapat sambutan.
Tapi kali ini martabak ubi kentang dan sayur-sayuran sangat digemari pengunjung," katanya.

Beliau menambah, martabak ubi kentang dan sayur-sayuran itu akan terus dipasarkan di Australia walaupun setelah tamat pameran Perth Royal Show melalui wakil jualan yang bakal dilantik.

"Martabak ubi kentang dan sayur-sayuran ini memang dibuat khas untuk pasaran Australia dan ia tidak terdapat di Malaysia," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment