Tuesday 4 October 2011

Khairil Imran, Peter Holst jadi tumpuan









 KUALA LUMPUR 3 Okt. - Khairil Imran Ghauth, 28, dan Hans Peter Holst, 70, menjadi tumpuan ramai pada Konvokesyen Universiti Malaya (UM) Ke-50 di sini hari ini, apabila mereka tampil untuk menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) masing-masing pada istiadat tersebut.


Ini kerana Khairil Imran, 28, merupakan penerima PhD yang termuda dalam konvokesyen kali ini, manakala Holst menerima ijazah tersebut ketika dia berusia 70 tahun.

Turut mencatat kejayaan membanggakan itu ialah Mohd. Ali Hashim, 70, dari Akademi Pengajian Islam UM.
Khairil Imran yang merupakan Pensyarah Kanan Sains Komputer di Universiti Multimedia (MMU) berkata, kemampuan membahagikan masa bekerja dan belajar telah membantu kejayaannya untuk menamatkan pengajian di peringkat PhD dalam tempoh tiga tahun.

"Memang saya gembira dapat menamatkan pelajaran di peringkat PhD pada usia muda. Saya merupakan seorang ahli akademik, jadi untuk belajar dan mengajar dalam tempoh yang sama bukan satu kesukaran buat saya," katanya.

Anak kedua Naib Canselor UM, Tan Sri Dr. Ghauth Jasmon itu berharap, kejayaannya memperoleh PhD itu akan menjadi inspirasi kepada tiga adik-beradiknya dan generasi muda yang lain untuk terus berjaya dalam bidang pelajaran.

Khairil Imran menerima PhD itu pada sidang pertama Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya (UM) Ke-50 yang disampaikan oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di sini, hari ini.

Sementara itu, Peter Holst berkata, dia cukup gembira menerima PhD daripada universiti tertua di negara ini selain menjadi graduan paling senior dalam kalangan 309 penerima PhD hari ini.

Katanya, dia menjalankan kajian terhadap bidang perniagaan kecil dan besar dalam kalangan usahawan Melayu untuk memperoleh ijazah tersebut memandangkan dia telah menetap di negara ini sejak 15 tahun lalu.

"Saya menunggu selama 10 tahun untuk menamatkan pengajian PhD di Fakulti Perniagaan dan Perakaunan UM dan berjaya menyelesaikannya pada Januari lalu," kata rakyat Denmark itu dan pernah bertugas sebagai Pengarah Eksekutif di syarikat Hap Seng Malaysia.

No comments:

Post a Comment