Saturday 15 October 2011

Menangani kenaikan kos sara hidup

PEMBENTANGAN Belanjawan 2012 hari ini sememangnya dinantikan rakyat terutama bagi yang mengikuti perkembangan dan usul-usul yang dicadangkan banyak pihak dengan harapan akan diberi perhatian oleh kerajaan.

Aspek pertumbuhan ekonomi sememangnya diberi perhatian dalam setiap belanjawan. Namun, kita mengharapkan sesuatu lebih jauh mengenai pembangunan masyarakat sementelah kerajaan mengumumkan pada Julai lalu bahawa kos sara hidup akan dijadikan petunjuk yang ketujuh dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Lazimnya, kita terarah untuk melihat kos sara hidup ini dalam lingkungan yang berpendapatan rendah dan mengaitkan dengan corak perbelanjaan yang diperlukan bagi memenuhi keperluan semasa. Sedangkan perihal kos sara hidup bukanlah satu-satunya perkara mengenai peningkatan gaji dan upah kepada sektor atau jawatan tertentu, begitu juga penetapan mengenai gaji minimum dalam sesebuah sektor.

Indikator kos sara hidup sebenarnya turut menceritakan kepada kita perihal keadaan pembangunan masyarakat setempat yang hidup dalam lingkungan sesuatu kos yang terpaksa digunakan dan pilihan yang mereka ada pada setiap tempoh demi kelangsungan hidup.

Masyarakat Malaysia yang bekerja pada hari ini adalah terdiri daripada kira-kira 80% mereka yang mendapat pendidikan sehingga Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja ataupun dengan andaian yang lain ialah mereka menggunakan sijil ini bagi mendapatkan pekerjaan.

Dengan keadaan demikian, maka kita menjangkakan ramai golongan ini terdiri daripada mereka yang menerima gaji dan upah yang rendah pada peringkat permulaan. Maka tidak hairanlah 40% isi rumah termiskin hanya memperoleh hampir satu per tujuh daripada kumpulan 20% isi rumah terkaya yang mencecah RM 9,987 sebulan pada 2009.

Dari situasi ini, kita dapat menyimpulkan ramai memilih untuk bekerja pada usia lebih muda dan dengan tahap pendidikan minimum atas sebab-sebab tertentu. Penghijrahan ke kota besar menjadi tarikan selepas persekolahan manakala pendidikan tinggi tidak menjadi keutamaan.

Walaupun terdapat banyak dasar kerajaan yang membantu terutama kepada golongan kurang berkemampuan mendapat pendidikan hingga pada tahap minimum (SPM), hakikat ini nampaknya tidak lagi sesuai diteruskan memandangkan negara ke arah menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Maka penekanan kepada tahap pendidikan dan kemahiran yang lebih tinggi harus ditambah dan diberi perhatian dalam dasar-dasar pendidikan kerajaan sedia ada.

Matlamat pendidikan, kemahiran juga bantuan pendidikan disediakan perlu disampaikan kepada ibu bapa terutama yang terdiri daripada keluarga berpendapatan rendah dan memiliki tahap pendidikan rendah untuk tidak menggalakkan anak-anak meninggalkan pelajaran pada peringkat selesai peperiksaan utama.

Jika perkara ini tidak dilakukan, kita akan melihat kitaran rakyat yang bekerja menggunakan SPM ini akan berlanjutan selama bertahun-tahun akan datang dengan upah yang rendah.

Usia muda bersama upah dan kemahiran yang rendah tidak menggalakkan aktiviti perbelanjaan yang sihat. Pembelian hanya dapat dilakukan kepada jenis barangan tertentu dan tidak meluas. Begitu juga dengan aspek pelaburan dan simpanan hanya dapat dilakukan dengan terhad dan kadang-kala tiada langsung.

Terdorong dengan aliran semasa, generasi muda akan mengunakan kemudahan tertentu seperti pembelian secara kredit bagi memenuhi keperluan dan bukan lagi hanya keinginan dan kehendak seperti yang sering perkatakan. Maka lahirlah semakin ramai 'jutawan hutang' dalam era menuju wawasan 2020 kelak.

Masalah ini seterusnya membawa kepada kesukaran kepada pihak pemerintah untuk memperkenalkan perubahan dalam aspek pentadbiran ekonomi negara kerana secara tidak langsung akan memberi kesan yang besar kepada golongan yang menerima pendapatan rendah ini.

Rakyat yang terkesan sudah pasti akan menuntut agar tiada beban dikenakan terhadap mereka lantaran kos sara hidup semakin meningkat dengan gaji yang diterima masih lagi rendah, akhirnya membawa kepada cadangan penetapan gaji minimum.

Walaupun disambut baik oleh ramai pihak, penetapan gaji minimum tidak boleh dilihat sebagai satu-satunya cara bagi menangani masalah peningkatan kos sara hidup.

Sebaliknya, kita memerlukan pelan jangka panjang mengatasi masalah kenaikan kos sara hidup dengan memberi tumpuan kepada peningkatan kemahiran dan pendidikan pekerja dan kesediaan majikan memberi upah setimpal dengan kemahiran dan tidak mencari jalan lain seperti menggunakan buruh asing bagi mendapatkan kos paling murah.

Penetapan gaji minimum dengan disertai tahap pendidikan dan kemahiran yang tidak setara dikhuatiri memberi kesan buruk kepada ekonomi begitu juga kepada golongan berpendapatan sederhana yang selama ini tersepit di celah mereka yang begitu tinggi gajinya dengan golongan berpendapatan rendah yang menerima upah hampir dengan mereka.

Bezanya, golongan sederhana ini memiliki sedikit kelebihan dari sudut taraf pendidikan dan kemahiran berbanding dengan golongan berpendapatan rendah.

Kecelaruan sistem ekonomi begini tidak akan memberikan kesan baik kepada masyarakat pada masa akan datang. Malah dikhuatiri semakin ramai anak-anak muda memilih untuk meninggalkan peluang menyambung pendidikan di tahap lebih tinggi disebabkan tawaran penetapan gaji minimum ini.

Sinonimnya golongan miskin atau kurang berkemampuan ini dengan upah yang rendah membawa kita kepada hakikat sesuatu perlu dilakukan bagi membantu mereka menghadapi peningkatan kos sara hidup yang semakin meningkat. Kekurangan dari segi material ini tidak hanya memberi kesan kepada aspek ekonomi namun turut memberi kesan spiritual kepada mereka yang mengalaminya.

Maka tidak hairanlah jika kita melihat banyak permasalahan sosial dialami oleh masyarakat ini dan mudahnya mereka dimanipulasi dan diambil kesempatan walaupun melibatkan soal akidah disebabkan masalah ini.

Negara berpendapatan tinggi adalah juga negara yang mempunyai rakyat dan pekerja yang berkemahiran tinggi. Justeru, penekanan kepada tahap pendidikan dan kemahiran lebih tinggi adalah cara yang tepat bagi mengatasi masalah kos sara hidup yang semakin meningkat.

Jika tidak, kita akan terus melihat 20% kumpulan isi rumah terkaya mengalami pertumbuhan pendapatan yang menggalakkan manakala 40% kumpulan isi rumah termiskin yang terdiri sebahagiannya dari 80% jumlah pekerja berkelulusan SPM ini terus mengalami pertumbuhan pendapatan yang perlahan.

JK: Jika kita tak ubah diri kita sendiri,siapa lagi?

No comments:

Post a Comment