Tuesday 18 October 2011

BSN rancang lantik pekedai ejen bank


BANK Simpanan Nasional (BSN) akan melantik ejennya di kalangan pekedai untuk melakukan transaksi perbankan dalam usaha memberikan perkhidmatan perbankan di kawasan luar bandar.

Naib Presiden Kanannya Azaddin Ngah Tasir berkata, model itu yang dilaksanakan pada tahun depan selaras ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam Belanjawan 2012 untuk menggalakkan syarikat berkaitan kerajaan meluaskan perkhidmatan kepada penduduk di luar bandar.

Katanya melalui model itu pihaknya melantik ejen di kalangan kedai runcit yang boleh melakukan transaksi bank seperti pengeluaran dan simpanan wang, pembayaran bil dan pembelian sijil simpanan premium.

Menurutnya, penduduk yang menjadi pelanggan BSN juga boleh menggunakan kad ATM untuk membeli barang di kedai runcit itu tanpa menggunakan wang tunai dengan pembelian dilakukan menggunakan konsep debit dari akaun mereka.

“Ini adalah komitmen kami kepada masyarakat untuk menyediakan akses perbankan tanpa mengira di mana mereka berada,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian BSN cawangan Beluran yang disempurnakan anggota Parlimen Beluran, Datuk Ronald Kiandee di Beluran, Sabah, Sabtu lalu.

Azaddin yang juga Ketua Perbankan Cawangan BSN berkata, ejen yang dikenal pasti akan diberi latihan sebelum dilantik dan di Sabah, pihaknya sudah mengenal pasti 130 ejen.

Beliau berkata, pelaksanaan model itu selari dengan peranan bank itu yang perlu beroperasi sebagai sebuah bank simpanan dan pada masa sama memenuhi mandat sosial yang diberikan kerajaan.

No comments:

Post a Comment