Tuesday 18 October 2011

Pusat bisnes maya


PERBADANAN Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) terus berusaha membantu lebih ramai usahawan merancakkan perniagaan mereka apabila melabur RM1.5 juta bagi mewujudkan pusat perniagaan maya, Virtual Office (Vio) by PKNS di lokasi pertama di Shah Alam.

Pengurus Besarnya, Othman Omar berkata, pihaknya juga merancang membina beberapa lagi Vio by PKNS di sekitar Lembah Klang berikutan sambutan menggalakkan daripada usahawan dan bagi fasa pertama ini Vio by PKNS mampu memberi peluang kepada lebih kurang 300 usahawan yang masih mencari ruang pejabat dengan kadar sewa berpatutan.

“Modal RM1.5 juta itu tidak termasuk bangunan, tetapi lebih kepada penyediaan kemudahan dan infrastruktur. Malah, kami menawarkan pakej istimewa kepada usahawan selain membantu mereka membentuk jalinan niaga yang mantap serta peluang bertukar fikiran.

“Permintaan sangat menggalakkan dan lebih 55 syarikat pelbagai sektor seperti minyak dan gas, pembinaan, perundingan, firma guaman dan kewangan mendaftar manakala sebanyak 13 pejabat fizikal habis disewa dan kita akan menambah 12 unit lagi dalam tempoh terdekat ini,” katanya selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara PKNS dan Perdasama Selangor dan FAA Corporate Advisory Sdn Bhd di Shah Alam, semalam.

Hadir sama, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, Dr Yaakob Sapari, Pengarah Urusan FAA Group, Fawzi Abd Aziz dan Naib Presiden II Perdasama, Ami Mohd Salleh.

Vio by PKNS yang beroperasi di PKNS BizPoint Seksyen 7, Shah Alam adalah pusat perniagaan maya yang ditubuhkan Bahagian Pembangunan Usahawan PKNS sebagai alternatif bagi mereka yang ingin memiliki pejabat tanpa bajet tinggi. Othman berkata, Vio by PKNS dibahagikan kepada dua pakej iaitu Pejabat Korporat Maya dan Pejabat Eksekutif sesuai untuk mereka yang baru menceburkan diri dalam bidang perniagaan dan mempunyai bajet terhad.

“Pakej ini memberi pilihan kepada usahawan sama ada menyewa bilik pejabat atau menjalankan perniagaan secara maya, menggunakan semua kemudahan yang sudah disediakan seperti perkhidmatan pengurusan pejabat, khidmat penyambut tetamu, khidmat menjawab telefon dan faks, peti surat persendirian, pengurusan mel dan kurier serta turut dilengkapi tiga bilik mesyuarat, dua bilik perbincangan, dua ruang santai dan satu bilik lembaga,” katanya.

No comments:

Post a Comment