Wednesday 19 October 2011

Izyan buka galeri tropika mewah

Izyan mendapat kepercayaan pelanggan bagi menyiapkan
hiasan dalaman berkonsep rumah tropika.

KEDIAMAN yang berkonsep menjadi pilihan bagi golongan yang tidak berkira dalam berbelanja untuk menghias rumah.

Suatu ketika konsep Bali menjadi kegilaan, sebelum beralih kepada gaya zen, oriental, moden, kontemporari dan sebagainya.

Terkini konsep tropika yang menyamai gaya resort mampu memberikan ketenangan dan kedamaian kepada penghuninya sebaik melangkah masuk.

Daripada ruang dalam rumah termasuk ruang tamu, bilik tidur, ruang makan, dapur sehingga ke laman akan dihiasi dan ditanami dengan pokok-pokok menghijau dan bunga-bunga jenis tropika seperti bermacam jenis haleconia.

Bagi sesebuah rumah yang berkonsep tropika perlu ada lima deria, iaitu memandang, mendengar, bau, menyentuh dan rasa.

Demikian kata Pengarah Urusan yang juga pemilik Tropical Lifestyles Home & Living Gallery, Izyan Salleh,semasa ditemui di galerinya ini yang terletak di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Galeri ini yang boleh dikunjungi melalui temujanji membekalkan keseluruhan perabot dan perhiasan rumah gaya tropika daripada ruang dalaman hingga luaran bagi sesebuah rumah yang berkonsep sedemikian.

''Galeri ini bukan sahaja menjual barangan perhiasan atau perabot untuk rumah konsep tropika malah pelanggan boleh berbincang jika mereka berkeinginan untuk membuat sebuah rumah sedemikian.

''Kami menyediakan perunding, arkitek dan pereka hiasan dalaman sendiri di mana pelanggan boleh bertanya atau berbincang tentang konsep yang dikehendaki.

"Sebab itu kami hanya menerima tiga kumpulan pelanggan dalam sehari, iaitu pagi, petang dan malam kerana perbincangan ini biasanya mengambil masa berjam-jam dan kami mahu pelanggan selesa tanpa gangguan orang lain.

''Pelanggan yang datang akan berasa seperti di rumah tropika kerana terdapat bermacam-macam barangan khusus untuk konsep tersebu di galeri ini.

"Selain itu mereka akan dilayan seperti vip dan kami akan menghidangkan teh bersama makanan ringan, makan tengah hari atau makan malam.

''Mereka boleh merasai sendiri produk contoh seperti kerusi yang boleh mereka duduk untuk mengetahui keselesaannya, lampu-lampu yang cantik, perhiasan kayu, pinggan mangkuk berkualiti tinggi dan apa sahaja yang pelanggan inginkan,'' kata Izyan yang turut dibantu oleh bapanya Salleh Samad seorang ahli perniagaan yang telah banyak menimba pengalaman di seluruh dunia.

Tambah gadis penerus legasi perniagaan keluarga ini lagi, golongan yang datang terdiri daripada golongan vip dan jutawan yang tidak selesa membeli barangan rumah di tempat-tempat yang terbuka dan dilihat oleh ramai orang.

Izyan, 27, menambah, biasanya golongan kerabat raja, vip atau jutawan yang datang akan memintanya membuatkan rumah mereka dengan konsep tropika atau resort.

Kos untuk rumah seperti ini katanya, menelan perbelanjaan di antara tiga hingga lima juta ringgit termasuk tanah dan barangan untuk setiap ruang.

Terdapat juga pelanggan yang menjadi kaya-raya pada usia muda dan inginkan sebuah rumah tropika tetapi tidak mengetahui bagaimana hendak menggayakan konsep ini.

Izyan bersama bapanya akan membimbing pelanggan ini daripada cara makan yang betul, penggunaan sudu, garpu dan sebagainya, pemilihan pakaian, kasut dan sebagainya.

''Projek untuk menyiapkan rumah tropika ini dilakukan oleh kumpulan pekerja kami yang mengambil masa di antara satu setengah hingga dua tahun.

''Daripada jenis-jenis batu, kayu, perhiasan, jubin, dan sebagainya diimport dari negara luar supaya disesuaikan dengan sebuah rumah tropika seperti dari Thailand, Vietnam, Bali, China, India, Myanmar dan Itali.

"Namun ada juga sesetengah barangan yang dari Malaysia sendiri. Pendek kata galeri ini boleh diibaratkan sebagai pusat sehenti untuk rumah tropika yang diimpikan.

''Kebiasaannya pemilik rumah akan mengupah arkitek, pereka hiasan dalaman dan kontraktor berbeza untuk menyiapkan rumah mereka namun di sini pemilik tidak perlu risau kerana serahkan segalanya pada kami dan tunggu sahaja rumah mereka siap,'' ujar pemegang Ijazah Perniagaan Antarabangsa daripada Universiti Teknologi Mara (UITM) ini.

Jika berminat dengan cenderahati dan rumah tropikal, boleh berhubung dengan Izyan di 012-2514090.

No comments:

Post a Comment