Wednesday 19 October 2011

Kerajaan galak FDI dalam industri baru

MUHYIDDIN Yassin bersalaman dengan tetamu yang hadir selepas
merasmikan Persidangan Usahawan Muda di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 18 Okt. - Kerajaan hari ini mempelawa lebih banyak syarikat luar membuat pelaburan atau meningkatkan nilainya di Malaysia terutama dalam sektor industri baru seperti bioteknologi, teknologi hijau dan aeroangkasa.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penglibatan syarikat-syarikat berkenaan amat diperlukan kerana ia mampu mempercepatkan pembangunan serta perkembangan sektor tersebut di negara ini.

Tambah beliau, ia juga dapat mempelbagaikan bidang industri sekali gus merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara sejak sektor tersebut mula bertapak beberapa dekad yang lalu.

"Bermula 1981 kerajaan memperkenalkan inisiatif melalui polisi-polisi tertentu bagi menggalakkan pelaburan langsung asing (FDI) setelah Malaysia menjadi sebuah negara industri.

"Mereka terbabit dalam pelbagai industri antaranya elektronik, logistik, automotif, tekstil dan juga reka bentuk dan kini kerajaan berusaha membangunkan satu lagi sektor iaitu industri baru. Oleh itu kita berusaha mendapatkan pelabur untuk membangunkan lagi sektor ini di Malaysia," katanya.

Beliau berucap merasmikan Sidang Kemuncak Usahawan Muda Asia Pasifik (APEC YES) 2011 di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir; Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Paul W. Jones; Pengerusi SME Corp. Malaysia, Datuk Ir. Mohamaed Al Amin Abdul Majid dan Presiden Dewan Perniagaan Antarabangsa Malaysia (IMCC) dan Penganjur Bersama APEC YES 2011, Agil Faisal Ahmad Fadzil.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin berkata, kerajaan sentiasa komited memperkasakan kebolehan ekonomi negara melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D), teknologi dan inovasi.

Untuk itu katanya, tiga langkah penting dilakukan oleh kerajaan supaya pembangunan negara serta kemajuan ekonomi sejajar dengan komitmen tersebut.

"Ia berkaitan dengan teknologi, kemudahan infrastruktur logistik dan usaha meningkatkan jumlah tenaga mahir dalam bidang pembuatan," katanya.

Mengenai sidang kemuncak hari ini, beliau berkata, kerajaan Malaysia amat menggalakkan budaya inovasi dalam kalangan masyarakat.

"Kerajaan mempunyai beberapa polisi untuk mempromosi budaya inovasi. Justeru, saya lihat usahawan muda boleh berperanan sebagai ejen perubahan bagi memastikan budaya inovasi ini benar-benar berlaku dalam masyarakat.

"Mereka (usahawan muda) mempunyai kemampuan mencetuskan satu bentuk perniagaan yang berasaskan inovasi melalui pengetahuan, kreativiti selain pengetahuan mereka dalam teknologi terkini," katanya.

No comments:

Post a Comment