Tuesday 4 October 2011

APEC YES sasar RM48j

KUALA LUMPUR 3 Okt. - Persidangan Usahawan Muda Asia Pasifik (APEC YES 2011) dijangka menerima padanan perniagaan berjumlah AS$15 juta (RM48 juta) pada tahun ini berbanding AS$9 juta (RM28.8 juta) sebelum ini.

Presiden Dewan Perniagaan Antarabangsa Malaysia (IMCC) dan Penganjur Bersama APEC YES 2011, Agil Faisal Ahmad Fadzil berkata, sasaran itu dibuat berdasarkan usaha SME Corporation Malaysia (SME Corp.) untuk membantu memudahkan padanan perniagaan tersebut.


''SME Corp. akan mengenalpasti syarikat dan membantu usahawan-usahawan muda ini untuk berbincang dan bekerjasama terutama dalam mencari peluang perniagaan.

''Selain itu, persidangan ini turut membantu usahawan tempatan dalam mendapatkan idea dan peluang perniagaan baharu yang tidak terdapat di Malaysia terutama dengan penyertaan usahawan muda asing,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pra-pelancaran Persidangan Usahawan Muda Asia Pasifik (APEC YES 2011) di sini hari ini. Majlis itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Mukhriz Mahathir.

APEC YES 2011 akan diadakan pada 18 hingga 20 Oktober ini di Berjaya Times Square dengan tema Merungkai Nilai Ekonomi Melalui Inovasi.

Ia adalah anjuran bersama MITI, SME Corp. dan IMCC.
Tambah Agil, APEC YES 2011 merupakan platform kepada usahawan tempatan dan serantau berkongsi pengalaman dan masalah.

''Pelbagai perkara akan dibincangkan termasuk isu-isu berbangkit dan berpeluang mempertingkatkan lagi jenama tempatan ke pasaran global.
''Setakat ini, seramai 450 usahawan muda dari 21 negara sudah mengesahkan kehadiran mereka,'' jelasnya.

No comments:

Post a Comment