Tuesday 4 October 2011

Bursa lancar indeks baharu

Indeks baharu diperkenalkan oleh Bursa Malaysia untuk mencerminkan pasaran secara lebih tepat. Seorang pelabur membaca surat khabar sambil meneliti prestasi saham di salah sebuah galeri pasaran saham di Kuala Lumpur, - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR 3 Okt.- Bursa Malaysia Bhd., dan FTSE Group hari ini mengumumkan pelancaran indeks baharu industri, super sektor dan indeks sektor sebagai melengkapi Indeks FTSE Bursa Malaysia.


Berikutan pelancaran itu, metodologi pengapungan bebas Indeks FTSE Bursa Malaysia dikaji semula dan dipertingkatkan bagi mencerminkan pasaran secara lebih tepat.

Indeks-indeks baharu melibatkan 10 industri, 19 super sektor dan 39 sektor yang boleh digunakan untuk melaksanakan strategi-strategi pelaburan dan mengeluarkan produk-produk berkaitan kewangan berasaskan kriteria-kriteria khusus sektor tersebut.

Hasilnya, pelabur akan memperoleh butiran terperinci selain memahami sektor-sektor dengan lebih mendalam termasuklah faktor-faktor yang memacu prestasi pasaran.

Direka dengan menggunakan Penanda Aras Klasifikasi Industri (ICB) yang bersandar kepada standard saham global, klasifikasi sektor dan industri indeks-indeks ini juga membolehkan pelabur untuk membuat perbandingan sektor dan industri rentas sempadan sama ada di Malaysia ataupun negara luar.

Indeks baharu FTSE Bursa Malaysia Industri Emas akan dikira berasaskan setiap penghujung hari. Pelanggan akan menerima pakej data ini tanpa kos tambahan.

Indeks baharu FTSE Bursa Malaysia Industri Emas telah direka bagi menyediakan alat yang komprehensif bagi analisis lengkap untuk pelabur bagi pasaran saham Malaysia.

Dalam pada itu, perubahan dalam maksud sekatan apungan bebas akan terus menyediakan pelabur domestik dengan penanda aras serta indeks-indeks boleh didagang yang lebih tepat dan teguh.

Penambahbaikan kepada peraturan asas indeks tersebut berkuatkuasa serta merta selain turut melibatkan kesemua tawaran awam permulaan (IPO) baharu yang layak di dalam Indeks Bursa Malaysia FTSE. Bahagian apungan bebas sedia ada akan dikaji semula pada Disember ini.

No comments:

Post a Comment