Tuesday 4 October 2011

Irfan Khairi bantu artis























TUJUAN hidup bagaikan berada di kemuncaknya apabila ada kuasa, harta yang melimpah dan popular. Namun ada juga yang memiliki elemen itu tetapi masyarakat belum kenal siapa dia. Lalu bagaimana cara untuk menjadi insan dikenali ramai bagi menyempurnakan laluan hidupnya?


Mereka yang bergelar artis dianggap bertuah kerana masyarakat mengenali mereka dan nama mereka menjadi jenama kukuh. Buatlah apapun, pasti sekejap saja menjadi perbualan ramai.

Namun Allah SWT menjadikan semua di muka bumi ini untuk saling lengkap melengkapi. Wujudnya orang kaya untuk membantu yang susah, adanya kaum Hawa untuk berkongsi hidup dengan kaum Adam.

Sama juga dengan golongan artis. Jika selama ini mereka bijak ‘memasarkan’ diri sendiri dalam bidang seni, namun apabila ingin menceburi cabang perniagaan lain, mereka bagaikan ‘mati kutu’ untuk memulakan.

Lantaran itu, Irfan Khairi, 34, yang bergelar jutawan pada usia belum pun menjangkau 30 tahun (ketika itu) tampil mewujudkan web radio yang dinamakan Web Radio — Ikon Niaga With Irfan Khairi.

Sekembalinya Irfan dari United Kingdom (UK) selepas habis belajar dan mencari rezeki di sana sehingga menjadi jutawan Internet, bapa kepada empat cahaya mata itu mahu ‘bersara’ dan menetap di Senawang, Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, selepas dia menerbit dan menulis buku tips kejayaannya, hasrat itu terpaksa dibatalkan.

Masyarakat mahu berkongsi rahsia kejayaan dengannya. Melihatkan anak bangsa yang bersungguh-sungguh mahu maju, Irfan mengambil keputusan menyumbangkan bakti membangkitkan inspirasi anak muda untuk menjejaki kejayaannya.

“Jika sebelum ini saya banyak membantu orang biasa, kini teringin pula memberi khidmat nasihat dan pandangan kepada golongan artis kerana ramai bercita-cita menjadi ahli perniagaan namun tidak tahu hendak mulakan dari mana dan cara memasarkan produk.

“Ada artis yang berjumpa saya secara peribadi minta panduan seperti Fahrin Ahmad dan Ogy Ahmad Daud yang berniaga sejadah Raudah.

“Barangkali usaha mereka boleh menjadi ikutan peminat, oleh itu saya wujudkan web radio itu serta memberi ruang kepada artis menguar-uarkan perniagaan mereka.

“Saya akan panggil artis yang berniaga itu untuk ditemubual di pejabat saya yang menyediakan peralatan rakaman menceritakan pengalaman mereka sebagai ahli perniagaan.

“Artis senang berniaga kerana orang kenal mereka. Dapat pula produk bagus, lagi cepat membuahkan hasil. Begitupun, ramai belum ada ilmu perniagaan.

“Berbeza dengan saya dulu, saya sudah berjaya tetapi orang tidak kenal saya. Pulang dari UK, saya terpaksa bekerja keras untuk memperkenalkan diri saya pada masyarakat.

“Alhamdulillah, dengan apa yang ada hari ini, tiba masa untuk membantu orang lain pula,” katanya yang ditemui di pejabat barunya di Mutiara Damansara, Selasa lalu.

Ruang pejabat dihiasi gaya moden dan mempesonakan itu juga akan dijadikan kelas bimbingan dan keusahawanan.

No comments:

Post a Comment