Tuesday 4 October 2011

Jualan Sharp meningkat RM650 juta

Anuar Tan Abdullah menyampaikan bantuan alatan elektrik sumbangan Sharp kepada wakil anak-anak Darul Aitam , Norjihan Abdullah sambil diperhatikan oleh Hiroyuki Nuizato (dua dari kanan) di Kota Bharu, kelmarin

KOTA BHARU 3 Okt. – Syarikat Sharp-Roxy Sales & Services Company (M) Sdn. Bhd., (Sharp) menyasarkan jualan produk kelengkapan rumah keluarannya melonjak kepada RM650 juta sehingga hujung tahun ini berbanding RM546 juta tahun lalu.


Pengarah Urusannya, Hiroyuki Nuizato berkata, sasaran tersebut berdasarkan kepada peningkatan jualan secara keseluruhan pada tahun lalu sebanyak 19 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Berdasarkan peningkatan itu, Sharp yang kini berada di tangga ketiga bersedia bersaing untuk merebut tempat kedua pada tahun ini dan yakin mampu mencapainya melalui sokongan pengedar serta pengguna,” katanya pada majlis pembukaan semula cawangan perkhidmatan selepas jualan Sharp di sini, kelmarin.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat negeri, Datuk Anuar Tan Abdullah, Pengarah Besar Jualan Sharp, Tok Sang Man dan Pengurus Besar Pemasarannya, Lau Siong Giap.

Pada majlis itu, Hiroyuki mengumumkan sejak tiga tahun terakhir ini, Sharp Kelantan mencapai lonjakan jualan memberangsangkan sebanyak 36.8 peratus pada tahun kewangan berakhir 2010.

“Pasaran di Kelantan diramal akan lebih kukuh apabila syarikat mempunyai rangkaian 30 pengedar.
“Pembukaan semula cawangan ini akan menjadikan perkhidmatan selepas jualan akan lebih lancar dan cekap. Ia juga akan mengukuhkan lagi jualan dan pemasaran produk jenama Sharp dalam situasi ekonomi yang berkembang pesat kini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau melahirkan keyakinan syarikat yang akan menyambut ulang tahun ke-100 tahun depan, untuk bersaing dengan jenama lain di pasaran tempatan, mengambil kira kemampuan Sharp mendahului syarikat lain dalam menghasilkan produk tertentu.

No comments:

Post a Comment