Sunday 2 October 2011

Jumlah jutawan Asia Pasifik atasi Eropah


HONG KONG: Jumlah jutawan di Asia Pasifik meningkat mendadak untuk mengatasi Eropah, didorong oleh peningkatan pantas golongan kaya di Hong Kong.
Menurut satu kajian, jutawan di rantau ini, yang memiliki jumlah harta keseluruhan sebanyak AS$11 trilion (RM33 trilion) lebih kaya berbanding rakan mereka di Eropah pada 2009.

Pada masa sama, jumlah mereka kini lebih ramai, 3.3 juta orang berbanding 3.1 juta di Eropah.
Laporan mengenai individu bernilai tinggi (HNWI), yang didefinisikan sebagai seseorang yang memiliki aset yang boleh dilaburkan berjumlah sekurang-kurangnya AS$1 juta (RM3 juta) dikeluarkan oleh syarikat Merrill Lynch Global Wealth Management dan syarikat perunding Capgemini.

“Pencapaian berterusan Asia Pasifik mengukuhkan kepentingan strategik rantau ini kepada setiap syarikat perancang kewangan dengan aspirasi global,” kata Michael Benz, ketua Merrill Lynch Global Wealth Management cawangan Asia Pasifik.

Asia Pasifik berada di tangga kedua selepas Amerika Utara yang mempunyai 3.4 juta jutawan.

Jumlah jutawan di Hong Kong meningkat 33.3 peratus pada 2010 kepada 101,300 berbanding 76,000 pada 2009, tahun kedua berturut-turut yang menyaksikan jumlah penduduk kaya-raya bandar itu meningkat paling banyak.

Peningkatan mendadak itu berpunca daripada pencapaian baik ekonomi serta keuntungan dalam ekuiti dan pasaran hartanah, kata laporan itu.
Ia juga menyatakan, jumlah jutawan India juga meningkat dengan pantas.

Enam daripada 10 negara dengan pertumbuhan tertinggi jumlah jutawan pada 2010 ialah dari Asia Pasifik dengan Vietnam, Sri Lanka, Indonesia dan Singapura melengkapkan senarai itu.

Asia, yang pulih dengan pantas daripada kemelesetan global, menghasilkan beberapa individu paling kaya dunia, termasuk bilionair India, Mukesh Ambani dan Li Ka-shing dari Hong Kong. — AFP

No comments:

Post a Comment