Sunday 2 October 2011

Rahsia nilai mainan dan figura


MAINAN kini bukan sekadar kegilaan kanak-kanak malah menjadi pelaburan bernilai tinggi untuk orang dewasa. - IHSAN ahli-ahli Fan Page Collector's Hangout (CShot)


MEMBELI dan mengumpul mainan dan figura watak animasi atau filem sering dikaitkan sebagai hobi di kalangan kanak-kanak yang tidak melangkaui alam persekolahan.
Namun, ramai yang tidak menyedari aktiviti mengumpul mainan dan figura sebenarnya satu hobi yang sering diamalkan dari sehingga ke usia dewasa, seterusnya diwariskan pula kepada anak mahupun cucu para pengumpul sekali pun.
Tidak kurang juga yang memperlekehkan pengumpul mainan dan figura sebagai membazir dan tiada faedah tanpa menyedari betapa besarnya potensi dan nilai semasa industri mainan serta mempunyai jaringan pengumpul seluruh dunia.
Hakikatnya, hobi mengumpul mainan tidak jauh bezanya dengan hobi mengumpul produk lain tetapi tidak menelan belanja besar berbanding mengumpul barang kemas, beg tangan, kasut, gajet elektronik mahupun mengubah suai kenderaan.
Namun, pengumpulan mainan dan figura kini lebih menyerupai pengumpulan barangan antik dengan nilainya terus meningkat dengan usia selagi ia dijaga dengan baik dan lengkap komponennya, lebih-lebih lagi jika masih mempunyai kotak dan bungkusan asal.
Industri mainan dan figura juga semakin berkembang dengan bertambahnya bilangan peminat dan pengumpul jika mempunyai siri televisyen atau filemnya sendiri, sama ada dalam bentuk animasi (terutama dari Jepun dan Hong Kong) mahupun blockbuster Hollywood seperti Star Wars, Transformers serta watak adiwira daripada komik DC dan Marvel.
Peningkatan jumlah pengikut dan pengumpul mainan dan watak hero animasi atau filem, termasuk di kalangan artis dan hartawan, juga telah membawa kepada pembentukan dan perkembangan kelab dan persatuan pengumpul di seluruh dunia.
Dengan perkembangan dunia yang semakin maju, ada di antara kelab dan persatuan itu berkembang ke arah entiti aktiviti belia, badan amal, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan juga penggerak industri sebagai pengeluar mainan sendiri (custom made) atau mula dikenali sebagai pihak ketiga (third party).
Dengan itu, realisasi impian kanak-kanak telah membolehkan sebahagian peminat dan pengumpul mainan dan figura menjadi jutawan muda dengan menghasilkan produk mainan mereka sendiri mahupun mengaplikasikannya dalam kerjaya sebagai pakar animasi, pelukis, penulis skrip, pereka bentuk mainan, jurutera, arkitek, saintis dan banyak lagi.
Mainan dan figura yang mungkin remeh bagi kebanyakan anggota masyarakat sebenarnya pemangkin imaginasi kanak-kanak untuk menzahirkan cita-cita mereka dan merupakan antara aspek penting perkembangan minda dan koordinasi fizikal anak kecil.
Mungkin jika semua itu difahami, kumpulan pengumpul mainan dan figura akan dipandang secara positif seperti mana pengumpul barangan antik atau koleksi barang yang sukar ditemui.

No comments:

Post a Comment